Download - Esei Moral
4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PELAJAR
PENGENALAN
Pendidikan Moral bertujuan melahirkan insan yang bermoral dan mempunyai nilai-nilai
murni. Menyedari hakikat ini, maka adalah wajar bagi guru-guru matapelajaran
Pendidikan Moral mengembelengkan tenaga menyelaraskan aktiviti-aktiviti dan tugas-
tugas mengajar dengan baik dan tersusun. Guru-guru Pendidikan Moral juga harus
bekerjasama, saling bantu-membantu dan berkongsi fikiran, pengalaman untuk
memperbaiki dan mempertingkat kecekapan dan keberkesanan mutu pengajaran
masing-masing dari masa ke semasa.
Oleh yang demikian guru-guru Pendidikan Moral berpeluang untuk menyelaraskan
usaha dengan lebih terkelola dan bersepadu. Dengan wujudnya Panitia Pendidikan
Moral guru-guru yang menganggotainya berpeluang untuk mencari penyelesaian
kepada masalah-masalah bukan sahaja dalam bidang pengajaran, bahkan juga
masalah yang berhubung dengan motivasi, sikap dan tabiat belajar pelajar-pelajar.
Sebagai Ketua Panitia Pendidikan Moral, mesyuarat telah dijalankan dan beberapa
langkah telah dicadangkan bagi mengatasi masalah yang dikemukakan oleh Guru
Besar. Antara langkah-langkah yang dicadangkan ialah:
A) Langkah-langkah mengatasi masalah vandalisme dan buli dalam kalangan
pelajar
Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan
masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan
jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun
percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah
negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan
ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan
remaja sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan
segera dan mengekang gejala ini daripada merebak hingga meruntuhkan moral remaja
masa kini.
Tidak dapat dinafikan bahasa usaha yang paling utama dan efisien untuk
mengatasi masalah buli dan vandalisme dalam kalangan pelajar di sekolah ini adalah
dengan cara didikan ibu bapa mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam
kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”
merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam
mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi
pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak dapat membezakan perbuatan yang
salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam
kabut untuk mengambil tindakan. Apabila anak-anak telah meningkat remja mereka
susah menerima pendapat atau pandangan ibu bapa kerana mereka telah mempunyai
pendirian yang tersendiri.
Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah
jenayah dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak
berkuasa perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini
merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah
dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara
langkah untuk mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan
pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan
sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut bebas daripada kes-kes
kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada
pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja yang ingin
melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah
berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di
kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya
terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan
tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan
usaha yang efektif bagi mencegah jenayah dalam kalangan remaja.
Di peringkat sekolah usaha telah dijalankan untuk membendung masah
vandalisme dan buli dalam kalangan pelajar iaitu pengenalan semula matapelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah. Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi
pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi.
Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para
remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap
remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya
menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami
kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan
negara.
Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja
juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di
sekolah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja terutamanya peringkat
sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap ini kurang
terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi
pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam
kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan
jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah.
Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti
tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan
kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan
dan hukuman kepada kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya
diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan
ini amat membimbangkan.
Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara
modus operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang
semakin berleluasa. Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah
(SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah.
Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah
malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang
berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan
sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan sebagai pertubuhan
yang mencegah sebarang perlakuan jenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih
parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi
membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat
antijenayah sosial di sekolah merupakan salah satu langkah pragmatik dalam
menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.
Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak
negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidemik yang
akan menjatuhkan imej negara di mata seanterio dunia. Oleh sebab itu, begitu
pentingnya setiap orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah
dalam kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah
menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah di
Malaysia. Hal ini sekaligus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial dalam
kalangan remaja seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang
bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti.
B) Langkah-langkah meningkatkan kualiti soalan peperiksaan
Sebagai seorang guru, kita sudah pasti melalui suatu proses membuat pemilihan
jenis item/soalan untuk ujian pencapaian akademik pelajar. Adalah agak sukar dan
rumit membina item/soalan ujian itu sendiri. Dengan adanya Penggunaan Jadual
Penentuan Ujian (JPU), sudah pasti sedikit sebanyak akan dapat membantu para guru
memilih jenis item/soalan tersebut. Sepertimana lazimnya, kita sudah pasti mengetahui
bahawa terdapat dua jenis item ujian bertulis, iaitu (a) item objektif, seperti item yang
memerlukan pelajar memilih jawapan yang betul atau melengkapkan ayat; dan (b) item
subjektif, yang memerlukan pelajar menggubal jawapan sendiri. Item objektif
termasuklah item betul-salah, beraneka pilihan, padanan atau pelengkapan; sementara
item subjektif termasuklah item berjawapan pendek, sederhana atau panjang; item
berjawapan terbuka; atau item berkaitan penyelesaian masalah. Secara amnya,
pembina/penggubal item ujian boleh merancang sesuatu ujian dari segi jenisnya,
bilangan item, kandungan pengajaran serta domain dan peringkat objektif pengajaran.
Penggubalan sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian yang
ditetapkan. Beberapa pertimbangan perlu dibuat, seperti ujian yang hendak ditadbirkan
sebaiknya mewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang mungkin merangkumi
komponen pengetahuan, kemahiran dan sikap yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini
dibuat untuk memastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan
dengan sukatan pelajaran/objektif pengajaran.
Pengubalan kertas ujian perlu mengikuti pelbagai proses, termasuk penyediaan
JPU, pembinaan item ujian, membuat ujian rintis dan memurnikan item ujian. Akhir
sekali, sebelum ujian tersebut ditadbirkan, item-item ujian hendaklah dinilai oleh pakar
mata pelajaran tertentu. Keseluruhan proses ini boleh membantu untuk memastikan
kualiti item ujian dari segi kebolehpercayaan, kesahan, dan seterusnya, pengukuran
yang adil.
Dari segi pembinaan item ujian, JPU akan menjadi panduan kepada guru supaya
item-item yang dibina merangkumi semua kandungan pengajaran daripada awal hingga
akhir. Dengan demikian, JPU seharusnya dibina seawal mungkin, misalnya sebelum
kita memulakan pengajaran.
Langkah Pembinaan JPU
1. Mengkaji Sukatan Pelajaran
Kita perlu mengkaji sukatan pelajaran untuk memperoleh maklumat yang
menyeluruh tentang kurikulum yang telah dibina. Kandungan sukatan pelajaran perlu
dianalisis untuk menentukan kepentingan tiap-tiap tajuk kandungannya. Antara aspek-
aspek yang dikaji ialah:
• skop dan kedalaman pengajaran bagi sesuatu tajuk;
• pendekatan yang telah diambil dalam pengajaran sesuatu tajuk;
• kepentingan bandingan di antara satu tajuk dengan tajuk-tajuk lain;
• kompleksiti sesuatu tajuk; dan
• masa pengajaran yang diperuntukkan bagi sesuatu tajuk.
2. Menganalisis Objektif Pengajaran
Di samping mengkaji sukatan pelajaran, objektif pengajaran dianalisis untuk
menentukan pengetahuan dan kemahiran yang perlu diuji dan pada tahap kesukaran
mana ia perlu diuji. Lazimnya aras pengetahuan dan kemahiran diasaskan kepada
pembahagian yang dibuat oleh Bloom dan rakan-rakannya, seperti yang dijelaskan
dalam tajuk sebelum ini. Maklumat-maklumat di atas adalah amat penting kepada
penggubal kertas ujian dan pembina soalan ujian untuk menentukan jenis dan bilangan
soalan yang perlu dibina.
3. Menentukan Jenis Soalan
Bagi menentukan jenis soalan yang sesuai, kita perlu terlebih dahulu
menentukan domain objektif pengajaran (kognitif, psikomotor, afektif atau sosial) dan
peringkat objektif pengajaran yang ingin diukur.
4. Menentukan Bilangan Soalan
Jumlah soalan harus mencukupi untuk mewakili kandungan pengajaran, domain
objektif pengajaran dan peringkat objektif pengajaran yang hendak diukur. Jumlah
soalan adalah penting kerana ia mempengaruhi kebolehpercayaan dan kesahan
sesuatu ujian. Secara ringkasnya, kebolehpercayaan ujian bermaksud keupayaan
sesuatu ujian member markah yang sama, sekiranya pelajar menjawab semula ujian
tersebut. Kesahan ujian pula bermaksud keupayaan sesuatu soalan mengukur apa
yang ujian itu ingin mengukur. Selain memberi perhatian kepada kebolehpercayaan dan
kesahan ujian, penentuan jumlah soalan juga perlu mengambil kira jangka masa ujian,
jenis soalan dan kesukaran soalan, yang bergantung kepada peringkat objektif
pengajaran, panjang soalan, kemampuan bahasa pelajar dan lain-lain. Aras kesukaran
soalan biasanya sukar ditentukan, kecuali melalui pengalaman pembina soalan atau
kajian rintis yang diadakan sebelum sesuatu set soalan digunakan.
Kepentingan JPU
JPU yang dibina dengan baik akan membantu penggubal kertas ujian dan pembina
item/soalan ujian. Antara kepentingannya ialah:
• kertas ujian dapat digubal secara sistematik;
• kesahan dari segi persampelan sukatan pelajaran adalah terjamin;
• taburan soalan mengikut tajuk adalah seimbang;
• ujian meliputi keseluruhan sukatan pelajaran; dan
• aras kesukaran ujian dapat dikekalkan dari tahun ke tahun, walaupun item dibina oleh
pembina lain.
Terdapat lima (5) langkah am pembinaan item ujian, iaitu (1) meyediakan JPU,
(2)menulis item ujian, (3) menyemak item ujian, (4) menilai item ujian, dan (5) membuat
kajian rintis terhadap keseluruhan item.
1. Menyediakan JPU
Langkah awal dalam pembinaan item ujian ialah menyediakan JPU seperti yang
dijelaskansebelum ini, iaitu mengkaji sukatan pelajaran, menganalisis objektif
pengajaran, menentukan jenis soalan dan menentukan bilangan soalan. Tujuan utama
penyediaan JPU ialah supaya item-item ujian yang dibina itu mewakili keseluruhan
kandungan pelajaran mengikut domain dan peringkat objektif pengajaran yang
ditentukan sebelum pengajaran dimulakan. Perancangan awal ini dapat menjamin
soalan-soalan ujian yang terhasil akan dapat mengukur pengetahuan, kemahiran atau
sikap yang kita ingin pelajar-pelajar kita kuasai. Objektif pengajaran juga menjadi
panduan kepada kita tentang bentuk soalan yang akan digunakan.
2. Menulis Item Ujian
Sebaik sahaja anda siap menyediakan JPU (yang sebaiknya mengandungi jenis
dan bilangan item ujian bagi setiap tajuk dan objektif pengajaran), anda telah bersedia
untuk membina/menulis item-item ujian. Terdapat beberapa prinsip pembinaan item
yang sama, yang boleh digunakan untuk menulis item-item ini. Prinsip-prinsip tersebut
dijelaskan dalam bahagian berikut.
• Arahan menjawab bagi setiap item hendaklah ringkas dan mudah difahami pelajar.
• Menggunakan bahasa yang mudah dan jelas supaya pelajar dapat memahami
maklumat dalam soalan dan juga kehendak soalan tersebut, yang seterusnya akan
membantu pelajar memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh soalan.
• Membina item yang memerlukan jawapan berkaitan pengetahuan/kemahiran yang
spesifik daripada tajuk pengajaran tertentu, dan bukannya berbentuk pengetahuan/
kepintaran am.
• Bagi item berkaitan pengiraan atau lukisan, nyatakan unit dan ketepatan ukuran
yang dikehendaki. Contohnya, unit ukuran dalam meter dan tepat kepada dua titik
perpuluhan.
3.Menyemak Item Ujian
Selepas semua item ujian siap ditulis, kita perlu menyemak semula item-item
tersebut. Semakan ini perlu dibuat bagi menentukan perkara-perkara berikut:
• Arahan menjawab bagi setiap bahagian ujian dan setiap soalan adalah tepat dan
mudah difahami pelajar.
• Soalan ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar dan
mengandungi maklumat dan kehendak soalan yang jelas dan mencukupi.
• Soalan yang dibina mencukupi dan seimbang dari segi kandungan dan objektif
pengajaran.
• Soalan yang diberi, terutama soalan jenis objek, tidak mengandungi petanda
(clue) kepada jawapan yang dikehendaki.
4. Menilai Item Ujian
Selepas semua item ujian disemak oleh pembina/penulisnya, item-item ini perlu
disemak dan dinilai oleh pakar mata pelajaran. Semakan dan penilaian ini perlu dibuat
bagi menentukan perkara-perkara yang hampir sama dengan apa yang disebut di atas,
iaitu:
• Arahan menjawab dan bahasa yang digunakan dalam soalan adalah mudah
difahami pelajar.
• Soalan dan kehendak soalan adalah jelas dan soalan mengandungi maklumat yang
cukup untuk pelajar menjawabnya.
• Soalan-soalan yang dibina adalah mencukupi dan semimbang untuk mengukur
kandungan dan objektif pengajaran yang ditetapkan.
• Jawapan yang diberikan oleh penulis adalah mengikut kehendak soalan dan boleh
dijawab dalam masa yang diperuntukkan
5. Membuat Kajian Rintis Terhadap Keseluruhan Item
Selepas semua item ujian disemak dan dinilai oleh pakar mata pelajaran,
sebaiknya,kajian rintis dibuat terhadap keseluruhan item/kertas ujian. Kajian rintis di sini
bermaksud kajian awal tentang kesesuain item-item kepada pelajar yang setara dari
segi keupayaan dengan pelajar sasaran. Biasanya, kajian rintis tidak dibuat untuk
menjaga kerahsiaan ujian. Bagaimanapun, kajian rintis perlu dibuat untuk soalan-soalan
yang ingin disimpan dalam bank soalan. Kajian rintis begini perlu dibuat bagi
menentukan perkara-perkara berikut:
• Arahan menjawab dan bahasa yang digunakan dalam soalan dapat difahami pelajar
dan tidak ada kesilapan ejaan/istilah yang digunakan.
• Soalan dan kehendak soalan adalah jelas dan soalan mengandungi maklumat yang
cukup untuk pelajar menjawabnya.
• Soalan-soalan yang diberikan adalah sepadan dengan kandungan pelajaran yang
diajar guru dan tidak ada soalan yang “terkeluar” daripada kandungan tersebut.
• Pelajar dapat menjawab soalan-soalan dalam masa yang diperuntukkan mengikut
kehendak soalan.
C) Langkah–langkah mempertingkatkan kerjasama dalam kalangan guru
Setiap guru mempunyai kepakaran dan kemahiran yang berbeza mengikut
pengkhususan mereka, maka sudah tentu mereka tidak dapat melaksanakan sesuatu
aktiviti secara berseorangan. Penubuhan panitia mata pelajaran dan jawatankuasa
khusus bagi sesuatu aktiviti adalah bertujuan untuk mengatasi masalah ini. Walau
bagaimanapun, kadangkala panitia dan jawatankuasa yang dibentuk akan
menimbulkan lebih banyak masalah kerana tiada semangat kerja berpasukan. Biasanya
ketua panitia atau pengerusi sesuatu jawatankuasa adalah mereka yang menjalankan
sesuatu aktiviti atau tugas tanpa mendapat sokongan pada ahli-ahli lain. Ini antara
sebab mengapa guru keberatan menerima pelantikan sebagai ketua panitia atau
pengerusi sesebuah jawatankuasa.
Jika semangat kerja berpasukan serta semangat kekitaan yang kuat wujud
dalam kalangan guru di sesebuah sekolah, maka perjalanan sekolah itu akan lebih baik.
Hasil dari kejayaan yang dicapai oleh sekolah sudah tentu akan menyebabkan guru-
guru yang terlibat merasa puas hati terhadap kerja mereka.
Semua masalah di atas perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak yang
berkenaan bagi membolehkan guru merasa puas hati terhadap kerja mereka bagi
memenuhi hasrat falsafah pendidikan negara untuk melahirkan insan seimbang bagi
menghadapi dan mengisi wawasan 2020.
Semangat berpasukan ialah unsur yang menyatupadukan guru-guru dalam
menjayakan peningkatan kualit guru itu sendiri. Semangat ini dipraktikkan melalui
kerjasama, komitmen dan penyertaan guru-guru secara menyeluruh di dalam program-
program peningkatan kualiti yang dijalankan di sekolah.
Peningkatan kualiti bukanlah usaha yang boleh diserahkan kepada guru-guru
secara individu. Ini kerana masalah-masalah dalam proses kerja adalah bersifat
komplek, melibatkan berbagai bahagian dan sistem. Oleh itu lazimnya penyelesaian
masalah tersebut adalah di luar kemampuan individu. Dalam keadaan yang demikian
setiap pihak di sekolah perlu bertindak secara berpasukan supaya segala kekuatan dan
sumber yang ada di sekolah dapat digemblengkan sepenuhnya. Manfaat yang akan
diperolehi oleh sekolah dengan bertindak secara berpasukan ini ialah:
a. Pelbagai bidang kepakaran, pengetahuan dan kemahiran dapat
digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini akan melahirkan
penyelesaian yang berkesan.
b. Bertindak secara berpasukan boleh membantu meningkatkan moral guru-
guru dan kepuasan bekerja kerana mereka sama-sama diberi peluang
menyelesaikan masalah-masalah kualiti sekolah.
c. Masalah-masalah yang dikongsi bersama oleh berbagai-bagai fungsi dan
bahagian boleh diselesaikan dengan cepat dan berkesan.
d. Cadangan yang dibuat oleh guru-guru secara berpasukan akan lebih
mudah untuk dilaksanakan berbanding dengan cadangan-cadangan yang
dibuat oleh individu.
Apabila guru-guru mengamalkan semangat berpasukan, mereka akan secara
langsung boleh mengukukuhkan tiga aspek yang penting kepada proses peningkatan
kualiti. Aspek-aspek tersebut meliputi:
a. Pertukaran maklumat dan idea-idea yang lebih meluas.
b. Semangat saling percaya-mempercayai dalam kalangan guru-guru.
c. Komunikasi yang lancar dalam organisasi.
Melalui penyertaan dalam aktiviti-aktiviti berpasukan, guru-guru akan mempunyai
peluang yang luas untuk bertukar pengetahuan, pengalaman, maklumat dan idea
dengan rakan sekerja. Dengan ini akan meningkatkan kebolehan seseorang guru untuk
mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif bagi mempertingkat kualiti kerja
yang dijalankan.
Dalam suasana kerja berpasukan, guru-guru akan mudah menjalankan perasaan
percaya mempercayai sesama mereka. Dengan perasaan ini individu akan merasa
bebas dan lebih yakin untuk bertindak dalam menjalankan tanggungjawab masing-
masing. Dengan itu mereka akan dapat membuat keputusan-keputusan dengan cepat,
menggunakan budi bicara dengan sempurna dan mengembangkan bakat serta potensi
yang ada dalam diri masing-masing bagi menggerakkan proses peningkatan kualiti.
Perasaan mempercayai yang ada dalam kalangan guru itu seterusnya
memudahkan proses komunikasi di sekolah. Dengan ini bahagian-bahagian dan unit-
unit di sekolah bebas berhubung antara satu sama lain untuk berkongsi data dan
maklumat serta sumber-sumber lain. Ini seterusnya memupuk semangat bekerjasama
dan kerja bepasukan yang mana akhirnya boleh membantu memantapkan prestasi
sekolah.
Semangat berpasukan dalam kalangan guru boleh diperkukuhkan melalui usaha
yang bersungguh-sungguh oleh pihak pengurusan. Tindakan-tindakan yang sesuai
diambil bagi tujuan ini ialah:
a. Menjalankan kempen kesedaran.
b. Mengadakan latihan.
c. Mewujudkan struktur pasukan.
d. Memberi lebih kuasa bertindak (empowerment) kepada pasukan kerja.
e. Memberi pengiktirafan.
a. Kempen Kesedaran
Kempen ini bertujuan menarik minat dan kesedaran guru-guru tentang perlunya
semangat berpasukan dalam organisasi. Kempen ini boleh dilaksanakan melalui sesi
ceamah, taklimat, tayanagan video dan risalah-risalah. Aspek-aspek yang sesuai
ditekankan dalam kempen ini ialah:
a. Konsep semangat berpasukan.
b. Faedah kepada prestasi kerja individu.
c. Faedah kepada organisasi.
d. Peranan individu untuk menjayakan semangat berpasukan.
e. Bentuk-bentuk sokongan yang disediakan oleh organisasi.
b. Mengadakan latihan
Latihan ini diadakan untuk melengkapkan guru-guru dengan pengetahuan dan
kemahiran asas bagi menjalankan kerja secara berpasukan. Oleh yang demikian,
mereka akan dapat memberikan sumbangan dengan berkesan kepada pasukan-
pasukan kerja yang mereka anggotai. Semasa latihan ini pihak pengurusan boleh
memberi penekanan kepada kemahiran-kemahiran yang berikut:
a. Kepimpinan bagi Pasukan Kerja.
b. Penetapan objektif dan aktiviti Pasukan
c. Kemahiran komunikasi
d. Teknik-teknik penyelesaian masalah.
c. Mewujudkan Struktur Pasukan
Semangat berpasukan dalam kalangan guru akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya
apabila pihak sekolah mewujudkan struktur-struktur seperti Pasukan Kerja. Pasukan
Petugas, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) dan sebagainya. Melalui struktur
ini individu akan dapat menyalurkan sumbangan mereka secara sistematik dan
berkesan. Pihak pengurusan pula boleh menggunakan pasukan-pasukan ini untuk
menjelaskan dasar-dasar jabatan tentang penningkatan kualiti.
d. Memberi Lebih Kuasa Bertindak (Empowerment) Kepada Pasukan Kerja
Prestasi Pasukan-pasukan Kerja di jabatan akan cemerlang apabila pihak
pengurusan memberikan lebih kuasa bertindak (empowerment) kepada mereka. Melalui
tindakan ini Pasukan-pasukan Kerja mampu bertindak balas dengan cepat dan
menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menyelesaikan masalah-masalah
kualiti kerja. Pihak pengurusan boleh melaksanakan empowerment dalam pelbagai
bentuk seperti:
a. Penurunan Kuasa
b. Menyediakan kemudahan dan sumber yang mencukupi untuk
menjalankan kerja.
c. Memberi kepercayaan untuk menjalankan kerja-kerjanya yang lebih besar
dan penting.
d. Memberi peluang kepada Pasukan-pasukan Kerja untuk turut serta dalam
penggubalan matlamat kualiti sekolah.
f. Memberi Pengiktirafan
Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh pasukan-pasukan kerja perlu diberi pengiktirafan
yang sewajarnya oleh pihak sekolah. Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa sekolah
benar-benar menghargai sumbangan mereka dan nilai bekerja secara berpasukan.
Dengan ini guru-guru akan lebih bermotivasi untuk mengamalkan semangat
berpasukan dan komited terhadap nilai berkenaan.
D) Langkah-langkah meningkatkan motivasi pelajar
Sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggungjawab dan tugas yang
harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesion guru.Tugas utama dan terpenting
yang menjadi tanggungjawab seorang guru adalah memajukan, merangsang dan
membimbing pelajar dalam proses belajar. Segala usaha ke arah itu harus dirancang
dan dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah guru yang
berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran. Oleh itu untuk
keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha memahami makna motivasi
belajar itu sendiri dan mengembangkan serta menggerakkan motivasi pembelajaran
pelajar itu ke tahap yang maksimum. Guru dapat memahami motivasi belajar jika
sewaktu mengajar dia dapat melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:
1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar.
2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar.
3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan keperluan dan minat
pelajar.
4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar.
5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik.
6. Melaksanakan penilaian diagnostik.
7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.
Memotivasi pelajar merupakan salah satu langkah awal yang harus dilakukan
oleh seorang guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika guru telah berjaya
membangun motivasi pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran bermakna guru itu
telah berjaya mengajar. Namun pekerjaan ini tidaklah mudah. Memotivasi pelajar tidak
hanya menggerakkan pelajar agar aktif dalam pelajaran, tetapi juga mengarahkan dan
menjadikan pelajar terdorong untuk belajar secara terus menerus walaupun dia berada
di luar kelas ataupun setelah meninggalkan sekolah.
Sesungguhnya usaha memotivasi pelajar dalam pendidikan adalah merupakan
suatu proses (1) membimbing pelajar untuk memasuki pelbagai pengalaman yakni
proses belajar sedang berlangsung; (2) proses menimbulkan semangat dan keaktifan
pada diri pelajar sehingga dia benar-benar bersedia untuk belajar; dan (3) proses yang
menyebabkan perhatian pelajar tertumpu kepada satu arah atau tujuan pada satu
masa, iaitu tujuan belajar.
Situasi kelas yang pelajar-pelajarnya termotivasi dapat mempengaruhi sikap
belajar dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang termotivasi untuk belajar akan sangat
tertarik dengan pelbagai tugas belajar yang sedang mereka kerjakan; menunjukkan
ketekunan yang tinggi; variasi aktiviti belajar mereka pun akan lebih banyak. Di
samping keterlibatan mereka dalam belajar lebih besar, mereka juga kurang menyukai
tingkah laku yang negatif yang dapat menimbulkan masalah disiplin.
Oleh itu, dalam usaha menjaga dan meningkatkan disiplin kelas maka motivasi
pelajar mesti dipertimbangkan. Ini bermakna meningkatkan motivasi pelajar dalam
belajar merupakan suatu cara yang baik dalam menghindari tingkah laku pelajar yang
negatif, kerana mereka terlibat aktif dalam pembelajaran dan terangsang untuk belajar.
Sebenarnya tujuan jangka panjang dalam membangun dan mengembangkan
motivasi pelajar dalam belajar adalah terbentuknya motivasi kendiri. Kita sebagai guru
ingin agar pelajar selalu terdorong untuk mengembangkan minatnya untuk belajar
walau di mana pun dia berada. Kita berharap agar pelajar-pelajar kita sentiasa ingin
menimba pelbagai ilmu pengetahuan walaupun mereka telah lepas dari bimbingan kita.
Tujuan pendidikan yang paling utama adalah untuk membangkitkan dalam diri pelajar
suatu motivasi yang kuat dan terus menerus untuk belajar. Hal ini akan menjadi suatu
kecenderungan dan kebiasaan dalam melakukan proses belajar selanjutnya.
Dalam proses pembelajaran, guru dituntut memiliki pelbagai pengetahuan dan
pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan meningkatkan motivasi
pelajarnya semasa belajar, sehingga proses belajar yang dibimbingnya berjaya secara
optimum. Oleh sebab itu, guru perlu memahami dan menghayati serta menerapkan
pelbagai prinsip dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan meningkatkan motivasi
pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip dan teknik yang berbeza-
beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana dalam usaha memotivasi pelajar
sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan teknik yang paling mujarab dipakai untuk
semua pelajar, sepanjang masa, dan untuk semua situasi. Berbeza matapelajaran,
berbeza keperibadian pelajar, dan berbeza keperibadian guru menuntut perbezaan
prinsip dan teknik yang dipakai dalam memotivasi pelajar. Oleh kerana itu, perbezaan
matapelajaran, keperibadian pelajar dan keperibadian guru harus dipertimbangkan
dalam memilih prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi
pelajar.
Di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya terdiri daripada kelompok yang memiliki
kemampuan yang sama namun berbeza keperibadian dan minat, variasi prinsip-prinsip
dan teknik-teknik yang dipakai akan lebih banyak. Di dalam kelas mungkin kita akan
menemui beberapa orang pelajar yang mampu memotivasi dirinya sendiri. Pelajar-
pelajar seperti ini tidak banyak memerlukan pertolongan dari guru untuk merangsang
minat mereka dalam belajar, kerana mereka mampu mendorong diri mereka sendiri.
Kebanyakan pelajar akan mempunyai motivasi belajar jika kita menggunakan pelbagai
teknik untuk memotivasi mereka, namun ada pula sejumlah pelajar yang akan
termotivasi jika kita melakukan usaha-usaha khusus bagi mereka. Justeru, kita sebagai
guru hendaklah fleksibel dalam menggunapakai pelbagai pendekatan dalam
merangsang minat pelajar dalam belajar, serta mampu menerapkan pelbagai prinsip
dan teknik yang berbeza sesuai dengan keperluan masing-masing
Motivasi merupakan jantung proses belajar. Oleh kerana motivasi begitu penting
dalam proses pembelajaran, maka tugas guru yang pertama dan terpenting ialah
membangkitkan atau membangun motivasi pelajar terhadap apa yang akan dipelajari
oleh pelajar. Motivasi bukan sahaja menggerakkan tingkah laku, tetapi juga
mengarahkan dan memperkuat tingkah laku. Pelajar yang bermotivasi dalam
pembelajaran akan menunjukkan minat, semangat dan ketekunan yang tinggi dalam
pelajaran, tanpa banyak bergantung kepada guru.
Dengan memahami teori-teori yang termasyhur tentang motivasi, maka guru
dapat mengembangkan lapan (8) jenis motivasi di dalam kelas, iaitu: (1) motivasi tugas;
(2) motivasi aspirasi; (3) motivasi persaingan; (4) motivasi afiliasi; (5) motivasi
kecemasan; (6) motivasi menghindar; (7) motivasi penguatan; dan (8) motivasi yang
diarahkan oleh diri sendiri.
Motivasi tugas adalah motivasi yang ditimbulkan oleh tugas-tugas yang
ditetapkan sama ada oleh guru, murid sendiri, mahupun yang dirancangkan oleh guru
dan murid secara bersama-sama. Pelajar yang memiliki motivasi tugas memperlihatkan
keterlibatan dan ketekunan yang tinggi dalam menyelesaikan tugas-tugas belajar.
Motivasi tugas hendaklah dibangun dalam diri pelajar dan ini dapat dilakukan oleh guru
sekiranya diketahui cara-caranya.
Motivasi aspirasi yang tinggi tumbuh dengan subur jika pelajar memiliki perasaan
yakin. Perasaan gagal dapat menghancurkan aspirasi pelajar dalam belajar. Oleh itu
guru tidak patut selalu menggagalkan pelajar, walaupun ini bukan bermakna guru harus
menjadikan pelajar sukses terus menerus. Suatu konsep yang harus ditanam oleh guru
kepada pelajar agar ia memiliki aspirasi yang tinggi adalah bahawa kejayaan atau
kegagalan ditentukan oleh 'usaha', bukan oleh kemampuan atau kecerdasan.
Persaingan yang sihat dapat menjadi motivasi yang kuat dalam belajar. Namun
memupuk rasa persaingan yang berlebih-lebihan, dalam kalangan pelajar dapat
menimbulkan persaingan yang tidak sihat, kerana pelajar bukan menjadi giat belajar,
tetapi dengan pelbagai cara berusaha mengalahkan pelajar lain untuk mendapatkan
status. Membina persaingan dengan diri sendiri oleh setiap pelajar akan menimbulkan
motivasi persaingan yang sihat dan berkesan dalam pembelajaran.
Motivasi afiliasi adalah dorongan untuk melaksanakan kegiatan belajar dengan
sebaik-baiknya, kerana ingin diterima dan diakui oleh orang lain. Pelajar-pelajar yang
masih kecil berusaha meningkatkan usaha dan prestasi dalam belajar agar dia dapat
diterima dan diakui oleh orang dewasa, iaitu guru dan ibu bapanya. Namun para remaja
lebih terdorong belajar untuk mendapatkan penerimaan dan perakuan daripada rakan
sebaya. Justeru, guru-guru yang mengajar pelajar-pelajar yang masih kecil hendaknya
memberikan perhatian dan penghargaan yang penuh terhadap peningkatan usaha dan
hasil belajar yang ditampilkan oleh pelajar. Bagi pelajar remaja, guru hendaknya dapat
memanfaatkan kelompok untuk meningkatkan usaha dan prestasi belajar ahli
kelompok.
Kecemasan dapat mendorong usaha dan hasil belajar. Tetapi kecemasan yang
berlebihan dapat menurunkan keghairahan dan hasil belajar. Pelajar yang telah
memiliki motivasi yang tinggi dalam belajar jika mengalami kecemasan dapat
menurunkan motivasinya itu. Demikian juga dengan pelajar-pelajar yang memiliki
kecerdasan (IQ) rendah kalau mengalami kecemasan menyebabkan usaha dan hasil
belajar mereka menjadi bertambah merosot. Tetapi kecemasan sangat berkesan untuk
meningkatkan usaha dan hasil belajar pelajar yang bermotivasi rendah dan yang
memiliki kecerdasan tinggi.
Motivasi penguatan dapat ditimbulkan melalui diagram kemajuan belajar murid,
memberikan komentar pada setiap kertas tugas, ujian dan peperiksaan pelajar dan
memberikan penghargaan. Guru hendaklah menjauhi pemahaman bahawa pemberian
angka sebagai sumber utama untuk menimbulkan motivasi penguatan, kerana menitik-
beratkan pemberian angka dalam memotivasi pelajar dapat menimbulkan persaingan
yang tidak sihat dan akan menimbulkan kecemasan di dalam kelas.
Motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri sangat berkesan dalam meningkatkan
motivasi pelajar dalam belajar. Pelajar-pelajar ini menunjukkan tingkah laku yang
mandiri dalam belajar dan mempunyai sistem nilai yang baik yang melatarbelakangi
tingkah laku mereka itu. Pembentukan sistem nilai-nilai yang menjadi tanggungjawab
guru pada setiap pelajar, sehingga pelajar-pelajar memiliki motivasi yang diarahkan
oleh diri sendiri adalah sangat penting. Bagi pelajar-pelajar yang telah memiliki motivasi
kendiri, guru hanya perlu memberikan layanan yang sesuai dengan tuntutan aktiviti
belajar mereka.
Kaedah mengajar yang dapat mengghairahkan dan meraih minat pelajar untuk
belajar adalah memungkinkan pelajar terlibat secara aktif dalam belajar. Pelbagai
model mengajar yang dikembangkan oleh Bruce Joyce dan Marsha, memungkinkan
keterlibatan pelajar yang maksimum dalam belajar. Model-model kaedah mengajar ini
menuntut keaktifan pelajar sesuai dengan taraf perkembangan masing-masing . Pada
taraf perkembangan pelajar yang tertinggi diharapkan pelajar-pelajar dapat belajar
mandiri; melakukan kegiatan belajar tanpa tergantung banyak terhadap guru.
Bahan pengajaran sangat penting peranannya dalam meningkatkan motivasi
pelajar dalam proses pembelajaran. Guru harus mengenal faktor-faktor yang harus
dikembangkan dalam memilih bahan pelajaran. Di samping itu guru juga harus mahir
dalam mengelola bahan pengajaran sehingga menarik dan memudahkan pelajar untuk
memahami bahan pengajaran tersebut.
Media pengajaran dapat berfungsi untuk mendorong murid belajar dengan minat
dan keghairahan yang tinggi apabila media pengajaran itu dipilih dengan
mempertimbangkan ciri-ciri pelajar, tujuan pengajaran, jenis bahan pengajaran itu
sendiri dan bentuk penilaian pengajaran yang akan dilaksanakan. Untuk memilih media
pengajaran yang baik maka guru perlu mengetahui langkah-langkah yang harus
diikutinya.
Aspek pengajaran lainnya yang dapat mempengaruhi motivasi pelajar dalam
belajar adalah pelaksanaan penilaian pengajaran. Penilaian pengajaran yang dapat
meningkatkan aktiviti murid dalam belajar, adalah penilaian yang dapat memberitahu
pelajar tentang kelemahan dan kekuatannya dalam belajar dan penilaian itu dirasakan
oleh pelajar sebagai penggambaran yang benar tentang taraf penguasaannya dalam
belajar. Penilaian hendaknya diikuti dengan tindak lanjut dari guru, iaitu membantu
pelajar untuk meningkatkan taraf penguasaan belajar yang sempurna, sehingga pelajar
dapat berprestasi lebih tinggi.
Banyak teknik yang dapat digunakan guru untuk meningkatkan motivasi murid
dalam belajar. Guru hendaklah selalu mengingati betapa pentingnya memberikan
alasan-alasan kepada pelajar mengapa mereka harus belajar dengan sungguh-
sungguh dan berusaha untuk berprestasi sebaik-baiknya. Guru juga perlu menjelaskan
kepada pelajar-pelajar apa yang diharapkan daripada mereka semasa dan sesudah
proses belajar berlangsung. Lebih jauh, guru perlu mengusahakan agar pelajar-pelajar
mengetahui tujuan jangka pendek daripada pelajaran yang sedang diikutinya. Ingatlah
bahawa ada cara-cara yang berkesan dan ada pula cara-cara yang tidak berkesan
dalam memberikan penghargaan untuk meningkatkan kegiatan belajar, sikap terhadap
belajar dan sikap terhadap diri sendiri murid, tetapi jangan lupa bahawa untuk pelajar-
pelajar tertentu mungkin dapat merosak motivasi belajar mereka. Oleh sebab itu, kita
sebagai guru harus berhati-hati dalam melaksanakan ujian dan memberikan angka atau
markah kepada pelajar.
Guru perlu melakukan sesuatu yang menimbulkan kekaguman kepada pelajar
untuk merangsang perasaan ingin tahunya. Memang baik sekali untuk menimbulkan
minat belajar, jika sekali-sekala guru memberikan aktiviti dengan memperkenalkan
sesuatu yang baru bagi para pelajar. Berilah pelajar-pelajar kesempatan untuk
mendapatkan penghargaan. Jadikan jangka masa belajar awal (permulaan) menjadi
lebih mudah bagi pelajar dan usahakan agar semua pelajar mendapat kesempatan
untuk merasa kejayaan. Tingkatkan motivasi pelajar dengan merangsang perasaan
ingin tahu dengan cara memperkenalkan contoh-contoh yang khas dalam menerapkan
konsep-konsep dan prinsip-prinsip. Doronglah pelajar untuk menggunakan
pengetahuan dan kemahiran serta pengalaman yang telah mereka pelajari daripada
bahan pelajaran sebelumnya untuk mempelajari bahan-bahan yang baru. Terapkan
unsur permainan dalam proses belajar untuk menarik minat dan memudahkan
pemahaman pelajar terhadap bahan yang dipelajari. Doronglah pelajar anda untuk
melaksanakan usaha-usaha penemuan atau pelbagai percubaan (penyelidikan) untuk
menemukan sesuatu yang belum pernah ada.
Guru haruslah berusaha seboleh mungkin mengurangi persaingan antara
pelajar-pelajar dalam meningkatkan motivasi untuk mencapai prestasi akademik.
Jauhilah perkara-perkara atau kejadian-kejadian yang dapat menimbulkan keengganan
murid untuk belajar, sama ada yang merupakan ketidakselesaan secara fizikal
mahupun yang menyebabkan hilangnya harga diri pelajar. Jangan ada keinginan guru
untuk menghukum pelajar dengan maksud agar pelajar akan belajar, tetapi sebaliknya
berilah mereka penghargaan. Perkara terakhir yang patut diperhatikan oleh guru dalam
meningkatkan motivasi pelajar adalah bahawa guru hendaklah peka terhadap suasana
atau iklim sosial sekolah dan benar-benar memahami bagaimana pengaruh iklim sosial
itu terhadap nilai-nilai yang dipegang oleh para pelajar.
Guru hendaklah berhati-hati terhadap apa yang sedang berlangsung di dalam
kelasnya dan cuba merasakan apabila mengajar sesuatu topik dengan cara tertentu.
Guru perlu berani melakukan pelbagai percubaan untuk menemukan cara yang terbaik
dalam mengajar. Oleh itu guru harus yakin akan pentingnya belajar melalui
pengalaman. Jika suatu cara yang kita lakukan berjalan lancar, lakukan lagi; tetapi jika
cara itu tidak atau sedikit sekali memotivasi murid dalam belajar, tinggalkan cara itu.
Mengajar adalah suatu proses yang menuntut perubahan ke arah yang lebih baik
secara berhemat dan terus menerus.