Transcript

TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN & PEMBELAJARAN (EDU 3053)2.0 Reka Bentuk Pengajaran 2.1 Pengenalan

Dalam merancang pengajaran dan pembelajaran berbagai elemen dan aspek yang perlu difikirkan oleh pendidik dan mereka yang terlibat dengan pengajaran. Harus diingat bahawa elemen yang mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja wujud di dalam kelas malahan terdapat juga di luar bilik darjah. Memandangkan elemen yang perlu difikirkan terlalu banyak dan meluas, pendidik perlu memikirkan satu reka yang terbaik untuk membina dan merancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bersesuaian.

Perkembangan teknologi pendidikan sebagai sistem pengajaran dan reka bentuk pengajaran bermula pada awal tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, yang menambah dimensi baru kepada komunikasi media dan juga teknologi dalam pendidikan. Teknologi ini berlandaskan kepada keyakinan bahawa manusia dan bukan manusia boleh membentuk satu keperluan pengajaran yang berkesan. Berdasarkan kepada pandangan tersebut, teknologi pendidikan bukan sahaja menjadi medium kepada komunikasi pengajaran tetapi juga menjadi pendekatan yang lebih bersistematik untuk mereka bentuk, membangunkan dan menyampaikan pengajaran.

Reka bentuk pengajaran merupakan mekanisme yang digunakan oleh perancang bagi membina dan merancang dalam segala aspek pengajaran dan pembelajaran. Tanggapan yang menyatakan reka bentuk pengajaran hanya perlu difikirkan oleh pentadbiran pendidikan sahaja adalah tidak tepat. Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1987), kandungan dan corak pembelajaran mestilah dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang baik. Seorang pendidik akan merancang pengajaran dan pembelajaran sebelum memasuki bilik darjah. Justeru itu, setiap pendidik seharusnya dapat menguasai reka bentuk pengajaran bagi menjamin kualiti pembelajaran dan pengajaran yang baik dan berkualiti.

2.2 Definisi Reka Bentuk Pengajaran

Reka bentuk merupakan proses menentukan keadaan untuk pembelajaran. Unsur ini terdiri daripada analisis keperluan, sintesis, reka bentuk, blueprints dan penilaian. Proses reka bentuk pengajaran berasaskan jejaring yang lengkap terdiri daripada tiga fasa iaitu reka bentuk, pembangunan dan penyampaian

Dick & Reiser yang dipetik daripada Wah Wan Ali et al (2008) memberi pengertian reka bentuk merupakan Suatu proses sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran.Manakala Richey yang dipetik daripada Noriati A. Rashid et al (2009) pula menyatakan reka bentuk pengajaran adalah Sains untuk mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran tidak kira kecil atau besar dalam sesuatu mata pelajaran. Secara khususnya, reka bentuk pengajaran menetapkan apa yang hendak diajar atau diukur serta diuji dan bagaimana proses pembelajaran itu berlaku sehingga objektif tercapai.

Suatu aktiviti penting yang mesti dilaksanakan dalam pendidikan dan latihan ialah proses penyampaian atau pengajaran. Setiap proses penyampaian atau pengajaran perlu mempunyai matlamat yang nyata dan jelas dan boleh dicapai. Matlamat ini akan tercapai sekiranya ia mempunyai perancangan yang lengkap dan sistematik. kesimpulannya, reka bentuk pengajaran merupakan satu catatan lengkap menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) boleh berlaku dengan terancang dan teratur.2


Top Related