toc

Upload: gekchieng-yeo

Post on 08-Jan-2016

227 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

bm

TRANSCRIPT

TOC adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah berdasar pemikiran yang logik dan sistematik. Teknik ini adalah sebagai satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid.Menerusi perlaksanaan teknik TOC dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dan guru berupaya mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran, menyelesaikan masalah dengan berkesan, membuat keputusan secara bertanggungjawab, berkomunikasi dengan baik dan memperoleh pembelajaran sepanjang hayat. Melalui aplikasi teknik TOC juga, tiga kemahiran dapat digabungjalinkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kemahiran berfikir secara kritis, kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran generik. Contoh yang boleh kita ambil menerusi penggunaan teknik TOC dalam pendidikan sejarah adalah sebagaimana berikut; sesi bercerita (pemahaman konflik dan cara watak membuat keputusan), kajian kes (modifikasi kelakuan dan tingkah laku, pembelajaran nilai murni dan kerohanian), dan kandungan Huraian Sukatan Pelajaran (kemahiran berfikir dan perancangan strategik).

Dalam pendidikan terutamanya pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah, terdapat beberapa teknik atau aktiviti TOC yang boleh diaplikasikan iaitu, teknik awan (the cloud ), teknik sebab dan akibat ( logic branch ), teknik penyelesaian masalah (problem solving ). Teknik awan adalah satu teknik yang mengkehendak pelajar memikirkan tentang sesuatu kejadian, idea, situasi dan penyelesaian konflik yang bertentangan kehendak. Konflik yang hendak diselesaikan mungkin berbentuk konflik internal yang hanya melibatkan satu pihak sahaja atau konflik eksternal yang melibatkan dua pihak. Dalam usaha menyelesaikan konflik, hanya satu kehendak sahaja yang dicapai atau diperolehi. Penyelesaian win-win diberikan oleh pelajar berdasarkan pemikiran yang logik dan sistematik agar kedua-dua keperluan yang menjurus kepada matlamat bersama boleh dicapai.

Teknik sebab dan akibat menerangkan bagaimana sesuatu tingkah laku, idea atau kejadian mengakibatkan kesan-kesan berikutnya. Penekanan yang perlu diberikan ketika melaksanakan teknik sebab dan akibat dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah termasuklah, Memahami teks atau maklumat yang diberikan, mengenal pasti objektif pengajaran dan pembelajaran (what to learn). Menentukan titik tolak atau permulaan peristiwa (the begining event), mengenalpasti perkara-perkara penting yang terkandung dalam teks, menyusun perkara-perkara tersebut mengikut turutan yang bermula dengan titik tolak peristiwa, mengemukakan maklumat yang menyokong perkara-perkara penting (anggapan antara sebab dan akibat) yang memperkembangkan higher-order thinking.

Teknik penyelesaian masalah pula satu teknik pengajaran yang bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar lebih produktif dan bertukar pandangan dalam usaha untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukakan kepada mereka. Teknik ini boleh digunakan bagi merancang langkah-langkah dengan sistematik secara kolaboratif untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa langkah yang perlu diberikan perhatian ketika melaksanakan teknik penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah. Antaranya, mengenal pasti matlamat yang diingini dan matlamat tersebut mestilah jelas, mengenal pasti cabaran-cabaran yang akan dihadapi sebelum pencapaian matlamat yang telah ditetapkan, mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran dan menyusun langkah-langkah untuk mengatasi cabaran mengikut keutamaan.

Selain menggunakan teknik tersebut, guru-guru juga boleh mengubah suai teknik-teknik yang sedia ada kepada suatu teknik yang lebih kreatif. Contohnya dalam menggunakan pendekatan penyelesaian masalah, guru boleh menggantikan pemberian masalah secara formal kepada mengenalpasti masalah dalam pantun teka-teki (lihat lampiran). Para pelajar perlu menyelesaikan masalah teka-teki tersebut. Seterusnya guru akan membimbing pelajar mendalami persoalan teka teki tersebut dan mengadakan sesi perbincangan. Dengan itu, para pelajar akan lebih faham dan berminat dengan pelajaran mereka. Dalam pada itu, pengaplikasian teknik permainan dalam sesi pembelajaran juga boleh menjadikan proses P&P menjadi lebih menarik. Contohnya mengaplikasikan teknik permainan poker dalam proses pembelajaran koperatif. Teknik ini mengkehendaki guru menyuruh pelajar membentuk kumpulan kecil seramai empat orang dengan satu set kad poker. Set poker dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian yang mengandungi soalan dan bahagian yang mengandungi jawapan. Kad yang mengandungi soalan dipilih dan dicabut terlebih dahulu oleh pelajar sebelum memulakan permainan (prinsip terbuka). pelajar akan mencabut set kad yang mengandungi jawapan secara bergilir. Kad jawapan yang tepat akan disimpan oleh pelajar manakala kad yang mempunyai jawapan yang tidak tepat akan diletakkan semula pada kad di bahagian bawah sekali. Setelah berjaya memadankan kad-kad soalan dengan kad-kad jawapan, pelajar perlu membuat analisis atau deskripsi atas jawapan tersebut. Setelah itu, semua laporan diselesaikan, atau setelah masa yang diperuntukkan telah tamat, setiap pelajar hendaklah berkongsi laporan mereka dengan pelajar-pelajar yang lain. Laporan yang dikongsi akan dilanjutkan dengan penambahbaikkan oleh pelajar-pelajar disertai dengan pendapat dan bukti dengan dibantu oleh guru. Selepas itu pelajar membuat kesimpulan setelah mendapat penjelasan daripada guru. Walau apapun kaedah atau teknik yang digunakan oleh guru dalam proses P&P, perkara yang paling penting adalah kesediaan dan kekreatifan guru itu sendiri dalam mengenal pasti kehendak dan kebolehan pelajar, suasana bilik darjah dan beberapa faktor lain. Hal ini bukan sahaja memerlukan usaha yang gigih daripada kalangan guru-guru bahkan juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dalam memastikan kesesuaian kaedah dalam bilik darjah.

ALAT BANTUAN MENGAJARAlat bantuan mengajar (ABM) merupakan satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira dalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Charles B. Klasek menjelaskan bahawa pengajaran yang bersistematik adalah guru yang dapat menggabungkan penggunaan media dan bahan-bahan pengajarannya. Wilkinson dalam strategi pengajaran sejarah KBSM, menyenaraikan sembilan sumbangan media pendidikan kepada proses pembelajaran. Penggunaan alat bantuan mengajar menurut William dapat memberikan latar belakang pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar dalam membantu aktiviti pembelajaran dan memahami konsep-konsep sesuatu subjek. Selain itu, penggunaan ABM juga dapat menggalakkan minat pelajar, dapat mendalam serta memberi makna kepada pembelajaran, dapat memberi pengalaman-pemgalaman yang bermakna di samping dapat mengembangkan kemahiran komunikasi pelajar. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pengekalan pembelajaran, dapat menggalakkan pembacaan dan penyelidikan dalam kalangan pelajar dan juga dapat memberi kesan ekonomi masa dalam pembelajaran. Para pelajar yang kurang pandai juga dapat dibantu dan meningkatkan kefahaman mereka melalui pengginaan alat ini.

Terdapat beberapa jenis alat bantuan mengajar yang boleh digunakan dalam proses P&P. Antaranya bahan bergambar dan grafik seperti penggunaan fotograf, carta-carta, poster, poskad dan glob, alat pandang tayang seperti transparensi, slaid, dan filem jalur, alat dengar seperti radio dan pita rakaman dan alat pandang dengar seperti televisyen dan filem. Selain itu, bahan-bahan sumber sejarah seperti artifak, dokumen sejarah dan tinggalan arkeologi turut sesuai digunakan semasa pengajaran.

Walaupun terdapat banyak alat bantuan mengajar yang boleh digunakan semasa mengajar, guru tidak seharusnya lupa akan perlunya memilih alat-alat yang sesuai dengan setiap topik yang diajar. Alat yang dipilih mestilah menepati dengan objektif pelajaran. Perkara ini penting dalam mencapai tujuan khusus. Contohnya guru boleh menggunakan gambar dan tayangan bagi menambah kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang diajar. Selain itu, guru juga perlu menentukan kesesuaian alat yang dipilih dan mengkaji dahulu minat pelajar dalam sesuatu bilik darjah. Hal ini demikian bertujuan menarik perhatian pelajar dan menjadikan sesuatu sesi P&P itu seronok dan pelajar dapat memahaminya dengan mudah. Dalam pada itu, guru juga perlu melihat tahap kebolehan pelajar. Perkara ini penting untuk menentukan kesesuaian bahan yang dipilih dengan tahap pemikiran pelajar. Contohnya dalam mengajar pelajar yang pandai, guru hanya boleh menggunakan ABM yang ringkas sahaja seperti penggunaan slaid dan jadual. Selain itu juga, guru perlu peka dengan faktor masa dan gerak kerja susulan. Penggunaan alat haruslah disesuaikan dengan masa mengajar. Guru juga perlu menjadi lebih kreatif dengan melibatkan aktiviti lain dengan hanya menggunakan satu ABM. Hal ini demikian penting dalam membantu guru menjimatkan kos dan masa untuk menyiapkan sesuatu ABM itu.

KESIMPULANSejarah merupakan satu mata pelajaran yang penting. Hal ini demikian kerana pengajaran sejarah mampu membentuk jiwa, akhlak dan jati diri bangsa khususnya dalam memupuk semangat patriotisme. Sungguhpun begitu, pengajaran dan pembelajaran subjek ini memerlukan penghayatan dan minat bagi menimbulkan konsep kesedaran atau celik dalam sejarah. Oleh yang demikian, peranan guru amatlah ditagih dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan mampu membawa pelajar menghayati peristiwa sejarah itu seperti yang sebenarnya. Guru yang kreatif dapat mempengaruhi tahap kesedaran pelajar. Jadi, penggunaan pelbagai teknik, alat bantu mengajar, dan minat guru sejarah itu sendiri merupakan nadi penggerak pada kejayaan tersebut.