kelestarian alam sekitar

Upload: velmurugan-subramaniam

Post on 18-Jul-2015

484 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Kelestarian alam sekitarManusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang teristimewa berbanding dengan makhluk ciptaan lain. Sebagai khalifah Allah, manusia bertanggungjawab memakmurkan alam kurniaan Allah dengan sebaik-baiknya melalui interaksi yang positif. Perhubungan manusia bukan hanya terbatas dengan Pencipta dan sesama manusia sahaja tetapi merangkumi perhubungan dengan alam. Oleh yang demikian, alam sekitar merupakan sebahagian daripada elemen-elemen yang penting yang perlu dipelihara oleh manusia sebagai satu khazanah yang amat berharga.

Kemusnahan alam hijau anugerah Allah adalah disebabkan oleh kerakusan manusia mengekploitasi hasil alam melampaui batas. Implikasinya menyebabkan pelbagai fenomena alam berlaku antaranya, pemanasan global, tanah runtuh, banjir kilat dan pelbagai lagi yang mengganggu ketidaksabilan eko sistem. Justeru itu, pengurusan alam sekitar yang efektif dan konsisten sangat diperlukan bagi memastikan alam anugerah Allah tidak dimusnahkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Bahkan ia sangat bertepatan dengan falsafah syariat yang bersifat universal. Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita........ Begitulah sebahagian terjemahan kata-kata Chief Seattle sebagai bahan rujukan oleh penceramah dan aktivis alam sekitar di seluruh dunia tentang pentingnya menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab setiap penduduk dalam sesebuah negara supaya tidak merosakkan alam sekitar ini dengan sewenang-wenangnya dalam apa jua cara untuk mengelakkan kesan buruk kepada generasi yang akan datang. Keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi oleh manusia antaranya adalah disebabkan perhubungan murni antara manusia dan alam. Masalah ini telah pun dijelaskan oleh alQuran, Allah S.W.T berfirman bermaksud: Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali

insaf. (Rum:41). Berdasarkan ayat tersebut jelaslah menunjukkan sikap manusia yang tidak menghormati, melakukan pencerobohan terhadap alam sekitar dengan cara berlebihlebihan menyebabkan berlakunya kemusnahan alam. Oleh yang demikian, jelaslah Allah sebagai arkitek kepada penciptaan manusia lebih mengetahui sifat-sifat negatif yang ada dalam diri manusia dan memberi amaran kepada manusia melakukan pencerobohan tersebut agar kembali insaf dan bertaubat. Islam secara amnya sangat menitikberatkan berkenaan dengan permasalahan sekitar. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti manusia yang boleh mengancam dan memusnahkan kehidupan alam ini adalah dilarang sama sekali dan ia bertentangan dengan tuntutan syarak dan tindakan ini sama sekali bertentangan dengan sunnatullah. Sebagai contoh, aktiviti pemusnahan hutan yang tidak terkawal, membuang bahan-bahan toksid dalam sungai atau laut, pencemaran asap oleh kilang-kilang, dan sebagainya. Manusia perlu mengingati bahawa setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi adalah makhluk Allah. Sekiranya manusia melakukan pencebohan secara tidak munasabah dan untuk kepentingan diri maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zalim. Perbuatan dan tingkah laku tersebut sudah tentulah berlaku kontradiksi dengan prinsip Islam yang murni. Tegasnya, pengurusan alam semulajadi yang sistematik perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan bersifat mesra alam. Bersesuaian dengan gagasan Perdana Menteri yang ingin melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai peradaban tinggi yang seimbang dari aspek pembangunan insan dan pembangunan fizikal. Interaksi manusia dengan alam perlu dilihat dalam dimensi yang luas ia bersifat mesra alam. Sebagai hamba Allah kita perlu ingat bahawa setiap tingkah laku kita terhadap semua makhluk ciptaan Allah akan dinilai dan dihitung oleh Allah di hari akhirat kelak.http://ibnshukri.blogspot.com/2009/06/manusia-merupakan-makhluk-ciptaan-allah.html

Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab BersamaSMAHADZIR

Masalah alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi dan sebagainya telah lama mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada alam. Permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat setiap lapisan masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya. Manusia telah diberikan akal fikiran oleh Allah SWT di mana ini meletakkan taraf manusia melebihi makhluk yang lain. Dengan akal fikiran itulah manusia membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Selepas pertimbangan dibuat, barulah unsur nafsu digerakkan ke arah mencapai keinginan itu. Bagaimanapun, ada kalanya wujud ketidakharmonian antara unsur akal dan nafsu dalam jiwa manusia.

Akibatnya, tindak-tanduk itu memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat. Maka, timbullah krisis seperti masalah pencemaran alam sekitar. Alam sekitar juga anugerah Allah bagi memudahkan manusia hidup sebagai khalifahNya. Pada alam sekitar yang terbentang luas, tersedia sumber asli seperti hutan rimba menghijau yang mengimbangi ekosistem, lautan dalam yang menakung limpahan karbon untuk menyejukkan suhu bumi, sekali gus menjadi tempat membiaknya pelbagai hidupan akuatik. Di samping mengetahui manfaat alam sekitar, kewujudan dan konsep manusia perlu difahami setepatnya untuk kita lebih memahami konsep agama terhadap alam sekitar. Hal ini penting kerana manusia adalah makhluk yang menjadi khalifah, mempunyai kedudukan khusus dan mulia dalam struktur alam ini. Hakikatnya, manusia antara komponen alam yang juga tergolong sebagai makhluk Allah. Manusia mempunyai peranan dan keistimewaan tersendiri berbanding komponen alam lain. Status manusia tinggi di sisi Allah jika diterasi dengan keimanan, melebihi kemuliaan malaikat. Manusia juga boleh menjadi lebih hina daripada haiwan jika jiwa dan fikirannya kosong iman. Firman Allah SWT bermaksud: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan. (surah al-Qasas, ayat 77) Tidak salah untuk melaksanakan proses pembangunan. Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dalam bentuk terkawal agar agenda pembangunan yang dijalankan lebih banyak memberi manfaat bukannya keburukan kepada manusia dan alam sekitarnya. Etika berkaitan penjagaan alam sekitar ada digariskan dalam Islam. Contohnya, ketika peperangan, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya memotong pokok atau membakar tanaman kecuali keadaan benar-benar memaksa supaya berbuat demikian. Malangnya, kemusnahan alam sekitar di beberapa kawasan di negara kita, adalah akibat kerakusan nafsu manusia. Jika merosakkan alam sekitar, tentu sistem ekologi juga akan terjejas. Ia bukan saja akan menyebabkan kehilangan spesies alam dan fauna yang amat berharga, malah haiwan liar serta unggas turut diancam kepupusan. Di samping kesan ke atas ekologi, pembangunan yang tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara kita tidak sedar bahawa kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit, mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Bukit-bukau yang menjadi pasak kepada bumi seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah an-Naba, ayat 7 tidak lagi berperanan untuk menstabilkan persekitarannya akibat proses meratakan kawasan.

Punca utama masalah ini adalah sifat rakus manusia yang mementingkan keuntungan wang ringgit. Mereka mengambil kesempatan atas platform yang didakwa sebagai pembangunan. Hal ini seperti firman Allah SWT bermaksud: Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (surah ar-Rum, ayat 41) Dalam Islam, aspek akhlak meliputi semua perkara. Kita bukan saja disuruh berakhlak kepada Allah atau manusia, malah menjaga akhlak kepada haiwan, alam sekitar dan sebagainya. Contohnya, setiap haiwan itu ada hak yang perlu kita tunaikan, lebihlebih lagi haiwan peliharaan. Begitu juga dengan alam sekitar. Kita tidak boleh rakus dalam usaha pembangunan, yang akhirnya bukan saja memusnahkan ekologi yang menjadi habitat kepada mahkluk lain, malah memudaratkan manusia. Sebenarnya, segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan pelestariannya sangat berkait rapat dengan ilmu-ilmu Islam yang dasar. Ilmu-ilmu Islam dasar tersebut ialah kefahaman dan pendidikan alam sekitar serta kaitannya dengan ilmu usuluddin, etika, fikh, usul fikh (maqasid syariah) dan ilmu Al-Quran dan sunah. Ilmu usuluddin (ilmu tauhid) mempunyai hubungan yang erat dengan hal-hal yang berkaitan pemuliharaan alam sekitar serta semua elemen yang berada dalamnya, sama ada makhluk yang hidup atau mati, berakal atau sebaliknya. Untuk membangunkan peradaban di muka bumi, ia telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, bermaksud: Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya. (surah Hud: 61). Pengertian yang dapat difahami sebagai pemakmurnya di sini ialah manusia sebagai makhluk yang membangunkan bumi menerusi usaha-usaha seperti aktiviti pertanian, perindustrian, memperbaiki taraf hidup serta menghindarkan diri dan bumi daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar. Melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah. Terdapat pelbagai perintah Allah supaya manusia memberi perhatian dan berbuat baik kepada alam sekitar berserta dengan seluruh unsur yang dikandungnya iaitu berbuat baik kepada sesama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan tanah. Berbeza dengan Barat yang menganggap bahawa antara punca menyebabkan berlakunya kemerosotan dan kerosakan alam sekitar ialah bertambahnya jumlah penduduk dunia dan permintaan terhadap sumber alam semakin meningkat, maka Al-Quran menyatakan bahawa nikmat Allah itu tidak dapat dihitung, sumber-sumber alam itu adalah sangat banyak dan subur. Sebagai manusia yang berakal, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik-pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana

secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini. Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ehsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan. Kita harus sedar dan insaf bahawa kepentingan alam sekitar menjangkaui keperluan estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup ke arah kemajuan negara. Tanpa hutan, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan kurang dan tanpa udara yang bebas bahan cemar, kesihatan awam terganggu. Jika kembali kepada ajaran pelbagai agama dan falsafah hidup, kita menemui asas kukuh peranan alam sekitar sebagai antara unsur terpenting dari segi ketuhanan dan kosmologi. Dalam apa juga agama, alam sekitar ditanggapi secara kudus dan tertib. Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya. Kita harus insaf kerana kini pelbagai kerosakan telah melanda darat, pencemaran udara dan lautan. Ia adalah hasil daripada sikap dan tindak-tanduk kita sendiri yang cuai, pentingkan diri sendiri, rakus, tidak bertanggungjawab serta tidak bertimbangrasa terhadap alam sekitar. Kecuaian seperti ini amat bertentangan dengan kehendak apa juga agama, lebih-lebih lagi agama Islam. Islam sebagai cara hidup, menerangkan hakikat bahawa tiada pengasingan antara manusia, alam sekitar dan Allah. Perkara ini telah diterangkan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: Kepunyaan Allah SWT jualah apa-apa yang di langit dan di bumi, dan pengetahuan Allah maha meliputi segala sesuatu. (surah an-Nisa, ayat 126) Rasulullah SAW juga bersabda, yang bermaksud: Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (Hadis riwayat Muslim) Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan konsep yang harus dimiliki oleh umat manusia terhadap alam sekitar. Antaranya adalah peranan manusia sebagai khalifah atau wakil Allah di bumi. Ia adalah prinsip asas ajaran Islam. Manusia tidak sebebasnya memiliki semua khazanah di muka ini. Alam sekitar sekadar amanah Allah SWT kepada manusia dan kita berkewajiban mengurusnya dengan baik. Melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada alam ini adalah tanda pengkhianatan terhadap amanah tersebut. Alam sekitar turut berperanan sebagai kesatuan benda yang membuktikan kekuasaan Yang Maha Pencipta dan pembangkit kesedaran terhadap rasa dan jiwa ketuhanan. Dalam pengertiannya yang lebih utilitarian, alam sekitar juga petunjuk bagi

memudahkan manusia menempuh ranjau kehidupan. Bintang, bulan dan matahari, misalnya, menjadi penunjuk arah dan waktu untuk mengingatkan manusia fitrah kewujudannya di dunia ini. Alam sekitar juga buku ilmu pengetahuan yang sangat bermanfaat. Menerusi pengetahuan dan kajian mengenai alam sekitar, kita mengetahui dan memanfaatkan ilmu zoologi, botani, mikrobiologi, bioteknologi, fizik, kimia, geologi, geografi, kosmologi dan hidrologi. Dengan menekuni dan mendalami bidang ilmu berkaitan alam sekitar, jiwa dan fikiran manusia lebih dekat dan mesra kepada Yang Maha Pencipta. Inilah objektif dan gagasan sains dari perspektif Islam seperti yang dikemukakan ramai sarjana Islam. Ingatlah, Allah SWT mencipta alam ini dengan segala keindahan dan kenikmatannya demi kebaikan dan faedah kepada manusia itu sendiri. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk sentiasa memelihara kelestarian alam sekitar, supaya ia dapat dimanfaatkan secara berterusan. Bahkan dalam ungkapan orang tua-tua Melayu turut dikatakan: Kalau hidup hendak selamat, peliharalah laut beserta selat, peliharalah tanah berhutan lebat, di situ terkandung rezeki dan rahmat, di situ terkandung tamsil ibarat, di situ terkandung aneka nikmat, di situ terkandung beragam manfaat, di situ terkandung petua adat. Sebab itu juga dikatakan, adat hidup memegang adat: beramu tidak merosak kayu, berotan tidak merosak hutan, bergetah tidak merosak rimba, berumah tidak merosak tanah, berkebun tidak merosak dusun, berkampung tidak merosak gunung, berladang tidak merosak padang. Kesimpulannya, menjaga alam sekitar ini bukanlah menjadi tugas individu atau kerajaan semata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua secara bersama. Semua makhluk yang bernama manusia, tidak kira apa bangsa dan agama harus bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar agar dapat merealisasikan dunia ini menjadi sebuah taman kehidupan yang indah, aman, sejahtera, harmoni dan terhindar dari sebarang bencana yang boleh menghancurkan spesies kehidupan bernyawa di atasnya.

Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab BersamaSMAHADZIR

Kini, manusia dan alam semula jadi dikatakan sedang menuju pertembungan. Kegiatan manusia yang teruk telah memudaratkannya dan sering berlaku kerosakan yang sukar dipulihkan terhadap alam sekitar dan sumber kritikal. Jika tidak dihentikan dan dibiarkan berterusan, kebanyakan amalan kita kini akan meletakkan risiko yang serius terhadap masa depan yang indah bagi manusia, alam tumbuh-tumbuhan, serta haiwan, dan hal ini mungkin mengubah dunia hidup kita sehingga tidak mampu untuk menampung kehidupan yang sebenarnya.

Perubahan asas diperlukan segera sekiranya kita mahu mengelakkan pertembungan yang bakal dihadapi. Alam sekitar kita sedang mengalami tekanan kritikal. Jadi, di sinilah letaknya tanggungjawab kita bersama dalam menjaga alam sekitar. Tidak kira apa pun bangsa dan kepercayaan agama, tanggungjawab ini harus dilihat secara menyeluruh dan rasional demi kelestarian dan kesejahteraan hidup makhluk sejagat. Kita perlu menjaga alam sebagai anugerah Tuhan yang diamanahkan kepada manusia. Bukan hanya sebagai sumber ekonomi untuk dieksploitasi bagi mengaut keuntungan. Kita hendaklah menghindari diri dari menjadi robot yang hanya didorong oleh desakan dan kuasa ekonomi serta konsumpsi. Undang-udang dan teknologi tidak akan dapat mengatasi masalah-masalah alam sekitar yang kita alami sekarang ini. Apa yang kita perlukan ialah perubahan radikal dalam pandangan hidup, nilai, sikap dan hubungan manusia dengan alam serta hubungan sesama manusia. Hakikat menjelaskan bahawa pencemaran alam sekitar berlaku kerana peningkatan jumlah manusia dan kegiatan ekonomi yang tidak terhingga yang berlaku dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini. Bilangan manusia dalam masa tersebut telah meningkat daripada 2.5 bilion kepada melebihi 6 bilion. Pengeluaran barangan dan perkhidmatan juga bertambah lebih lima kali ganda. Peningkatan kegiatan ekonomi dan teknologi yang digunakan lebih memudaratkan alam sekitar. Antara teknologi dahsyat yang sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar ialah teknologi keganasan, sama ada yang bersifat struktural, melalui kecuaian terhadap perkhidmatan asas yang mengakibatkan kesengsaraan dan maut, atau jenis teknologi yang melahirkan keluaran, proses, dan sisa yang boleh memudaratkan mahupun membunuh. Misalnya, penggunaan tidak bertanggungjawab pestisida yang bukan sahaja mencemarkan sistem perairan, malah mengakibatkan lebih satu juta kematian manusia di dunia. Selain itu terdapat juga teknologi manipulasi, sama ada melalui propaganda birokrasi mahupun pengiklanan yang mengakibatkan penggunaan yang tidak lestari yang sudah tentunya akan mempercepatkan proses kerosakan alam sekitar. Di tambah pula satu lagi teknologi iaitu teknologi pembaziran yang menghasilkan berjuta-juta tan sampah dan sisa buangan. Sebanyak 3.2 juta tan sisa buangan dieksport ke negara membangun yang sanggup menjadi padang sampah global. Kira-kira 1.2 bilion penghuni bumi boleh dilabelkan sebagai pengguna gelojoh atau menggayakan hidup yang tidak lestari dan bertanggungjawab terhadap 70% kemusnahan alam sekitar kita. Kalau dulu kita sering mendengar hujan asid, kini ada kabus asid pula. Sebanyak 16 jenis racun ditemukan dalam kabus asid. Kabus ini mengandungi 100 kali ketinggian asid berbanding dengan hujan. Ketinggian asid ini mampu memusnahkan tumbuhtumbuhan, termasuk hutan, serta memberi kesan buruk terhadap kesihatan. Penipisan lapisan ozon terus mengancam manusia. Dianggarkan antara lima hingga 20% lebih banyak sinaran radioaktif ultraviolet masuk ke bumi. Situasi ini boleh mengakibatkan rantai makanan, sama ada di dalam laut atau di darat, terjejas.

Kesihatan manusia juga akan terganggu kerana mengalami penyakit barah kulit, penyakit bular dan penekanan sistem imuniti. Dalam keadaan biasa, reaksi bahan kimia yang dihasilkan oleh cahaya matahari akan memusnahkan dan memulihkan lapisan ozon dalam satu edaran yang berterusan. Tetapi kegiatan manusia memburukkan lagi keadaan dengan memperkenalkan bahan baru iaitu klorin dan bromin, yang mengandungi bahan kimia yang kekal di atmosfera berabad-abad lamanya. Setiap atom klorin dan bromin akan memusnahkan beribu-ribu molekul ozon. Keadaan bertambah buruk apabila penggunaan tin penyembur aerosol, penyaman udara, kusyen, cip komputer, dan insulasi buih membenarkan lebih banyak sinaran radioaktif ultraviolet ke atmosfera. Bahan kimia ini turut menghalang radioaktif infra daripada keluar. Radioaktif infra ialah gas yang terbebas daripada kesan rumah hijau dan berperanan untuk memanaskan suhu bumi antara 15 hingga 20%. Oleh itu, lapisan ozon penting kerana dapat menghadkan jumlah sinaran solar radioaktif ultraviolet ke bumi. Tanpanya, kehidupan di bumi tidak mungkin wujud. Selain itu, penggunaan air secara rakus serta pencemaran alam sekitar turut membahayakan bekalannya untuk kegunaan manusia. Tuntutan tinggi terhadap air permukaan mengakibatkan kekurangan air yang serius di 80 buah negara yang mengandungi 40 peratus penduduk bumi. Pencemaran air sungai, tasik dan air bawah tanah turut menghadkan bekalan air, yang pasti menjejaskan kehidupan lain di bumi. Kini tekanan yang merosakkan laut kian teruk, khasnya di kawasan pantai yang menghasilkan tangkapan ikan yang tinggi. Beberapa buah kawasan penangkapan ikan menunjukkan tanda kepupusan. Sungai yang dahulunya hanya membawa tanah terhakis ke laut kini turut mengangkut sisa industri, pertanian, dan sebagainya yang sebilangannya beracun. Beberapa buah tasik besar dan laut kini mengalami masalah pengasidan. Kini kian banyak laut diserang oleh kesan algal blooms atau air pasang merah yang membahayakan kehidupan laut dan hasilnya. Algal blooms meningkat kerana bertambahnya pencemaran. Sebilangannya mengeluarkan toksin yang membahayakan hidupan laut yang lain. Toksin ini mungkin membiak di dalam badan hidupan laut dan membawa padah kepada manusia yang memakannya. Sebenarnya, kebanyakan algal blooms tidak mengandungi racun, tetapi membahayakan hidupan lain kerana memerlukan kandungan oksigen yang tinggi. Yang semakin membimbangkan ialah kenaikan paras laut kerana kenaikan suhu dunia. Kesan rumah kaca atau rumah hijau boleh mengakibatkan peningkatan paras laut sebanyak satu meter lagi bagi 50 hingga 60 tahun yang akan datang. Kesan yang diduga kerana peningkatan paras laut ialah hakisan pantai yang lebih cepat, kemusnahan sistem parit dan tali air serta pertambahan tahap kemasinan air bawah tanah, muara sungai, dan tanah pertanian. Kemusnahan tanah pertanian dan salinatasi air tawar akan berleluasa. Gelombang dan ribut taufan akan menghayutkan tebing pantai dan membuatkan kawasan pantai sukar dipertahankan. Hidupan laut mungkin pupus.

Di samping itu, hutan juga semakin kurang. Keadaan ini tambah kritikal kerana hutan pendukung kehidupan sebilangan besar makhluk bumi. Hutan hujan tropika serta hutan kering tropika dan hutan iklim sederhana dimusnahkan dengan pesatnya. Pada kadar kini, beberapa jenis hutan yang kritikal akan lenyap dalam masa beberapa tahun. Kebanyakan hutan hujan tropika akan pupus. Yang turut pupus ialah sebilangan besar spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Setiap tahun sejak tahun 1988, bumi kehilangan lebih banyak hutan tropika berbanding dengan tempoh kewujudan bumi selama 4.6 bilion tahun. Menjelang tahun 2100, sepertiga spesies yang kini hidup akan pupus. Walaupun hujan tropika cuma meliputi 7% jumlah keluasan bumi, kepentingannya terhadap biosfera adalah kritikal. Dengan keadaan yang panas lembap hampir sepanjang tahun, musim tumbesarnya berterusan. Hutan tropika mengandungi simpanan karbon yang tinggi. Apabila hutan berkurangan, karbon dibebaskan sebagai karbon monoksida di atmosfera. Situasi ini akan menyebabkan haba terperangkap di atmosfera lalu meningkatkan pemanasan dunia. Pemusnahan hutan tropika memberi sumbangan antara tujuh hingga 31% karbon dioksida yang dibebaskan setiap tahun. Hutan tropika merupakan habitat separuh daripada jumlah spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan di muka bumi ini. Banyak spesies masih belum ditemui, dikaji atau diberi nama. Tiada sesiapa yang tahu akan jumlah spesies yang hidup atau yang telah pupus. Menurut Edward Wilson dari Universiti Harvard, 10 ribu spesies mungkin pupus setiap tahun, lebih kurang satu dalam sejam. Kehilangan baka dapat memberi kesan kepada ekologi. Manusia menyebabkannya kerana banyak spesies di hutan tropika merupakan sumber penting bagi ubat-ubatan. Satu dalam empat jenis ubat berpunca dari hutan tropika, termasuklah ubat untuk rawatan leukemia kanak-kanak. Walaupun kepentingan hutan kepada manusia dan makhluk darat lain jelas, kedudukannya masih diselubungi kekaburan. Maka manusia perlu bertanggungjawab bagi menjamin kesejahteraan hutan yang masih wujud demi kewujudan manusia dan lain-lain makhluk bernyawa. Kesimpulannya, penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk merealisasikan perkara ini. Antaranya, kita mesti mengawal semua kegiatan yang merosakkan alam sekitar bagi memulihkan dan melindungi integriti sistem planet ini. Misalnya, beralih daripada menggunakan bahan tenaga fosil kepada sumber tenaga mesra alam yang lestari bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah kaca dan pencemaran udara dan air. Keutamaan mesti diberi kepada pembangunan sumber tenaga menurut keperluan dunia ketiga bersifat kecil dan secara relatif mudah dilaksanakan. Selain itu, kita mesti menghentikan aktiviti penebangan hutan, kerosakan dan kehilangan tanah pertanian, dan kepupusan spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kita mesti mengurus sumber secara lebih berkesan. Kita harus memberi keutamaan kepada penggunaan tenaga, air, dan bahan lain secara cekap, termasuk pengembangan pemuliharaan dan pengitaran. Kita mesti menstabilkan jumlah

penduduk. Hal ini hanya akan dicapai apabila semua negara mengaku memerlukan pemajuan ekonomi dan sosial, dan penerimaan sukarela perancangan keluarga yang efektif. Di samping itu, kita sebagai manusia juga mesti mengurangkan dan akhirnya menghapuskan kemiskinan. Kita mesti mempastikan kesaksamaan jantina, dan menjamin kawalan wanita terhadap keputusan melahirkan anak. Kita harus sedar bahawa kerosakan alam sekitar adalah antara ancaman dahsyat yang dihadapi dan usaha untuk mengurangkannya tidak berjaya sekiranya kadar penduduk tidak dikawal. Bencana paling teruk ialah terperangkap dalam lingkaran kemelesetan alam sekitar, kemiskinan, dan keresahan, yang membawa kepada keruntuhan sosial, ekonomi, dan alam sekitar. Kejayaan dalam usaha semesta ini memerlukan pengurangan yang besar dalam keganasan dan peperangan. Sumber yang digunakan bagi penyediaan dan perilaku peperangan, yang berjumlah melebihi USD1 trilion setahun, diperlukan bagi tugas baru ini. Etika baru diperlukan, termasuk sikap baru terhadap melaksanakan tanggungjawabmemelihara diri dan bumi. Keupayaan bumi ini terhad rapuh. Manusia tidak boleh terus membenarkannya dibinasakan. Kata pepatah Melayu, dunia ini hanya pinjaman. Dalam hal ini, agama Islam menuntut manusia bertindak sebagai khalifah di bumi ini dan memastikan bahawa dunia ciptaan Allah SWT ini terus kekal dalam keindahannya dan kegunaannya. Jika tidak, masanya akan tiba untuk seluruh dunia dan spesies manusia sendiri akan musnah disebabkan oleh tangan mereka sendiri.