budaya pembelajaran

13

Click here to load reader

Upload: faris

Post on 25-Nov-2015

135 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

budaya

TRANSCRIPT

1. Bincangkan berserta contoh-contoh yang sesuai tentang implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap guru dan murid.

Implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap guruAntara implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap guru ialah memberi layanan yang adil kepada setiap murid. Layanan yang adil kepada murid-murid adalah sangat dituntut kepada setiap guru untuk membina pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Guru perlu memberi layanan yang adil mengikut keperluan individu setiap murid. Mengenali latar belakang murid, taraf sosioekonomi, tempat tinggal, budaya, adat resam, kepercayaan dan agama akan membolehkan guru memberikan layanan yang lebih adil kepada murid (Noriati et al., 2014). Saya berpendapat bahawa guru tidak seharusnya melabel ataupun membuat generalisasi kepada murid-murid mengikut latar belakang murid secara umum. Ini akan menyebabkan guru tidak dapat memberikan layanan yang adil dan baik kepada setiap murid-muridnya. Dengan ini, prestasi akademik dan kokurikulum murid di sekolah akan terjejas akibat daripada layanan yang tidak adil daripada guru kepada murid. Menurut Gollnick & Chinn (1990), walaupun guru cuba sedaya mungkin untuk melayan semua pelajar secara adil, tetapi sikap dan tingkah laku mereka terhadap pelajar banyak dipengaruhi oleh proses pembudayaan yang dilalui oleh guru tersebut.Sebagai contoh terdapat murid yang tinggal di kawasan rumah kos rendah ataupun kampung dan sekumpulan murid lagi tinggal di kawasan perumahan mewah dan elit. Umum kita mengetahui bahawa mereka yang tinggal di kawasan kampung akan ketinggalan dalam pelajaran dan tercicir sepanjang pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru seharusnya menggunakan maklumat latar belakang keluarga murid untuk memahami tingkah laku dan luahan perasaan murid yang dipengaruhi oleh persekitaran (Noriati et al. , 2014). Hal inilah yang perlu diambil perhatian oleh guru dalam mendepani murid-murid di sekolah.Selain itu, implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap guru ialah pemilihan bahan sumber yang menarik dan kreatif. Antara ciri pemilihan bahan sumber yang berkesan ialah memilih bahan sumber sesuai dengan pengetahuan dan budaya murid. Pembinaan bahan sumber yang sesuai dapat mewujudkan budaya pembelajaran murid yang lebih berkesan. Guru mestilah memasukkan semua unsur budaya pelbagai kaum dan etnik dalam pembinaan bahan sumber. Dengan ini, murid akan lebih bermotivasi untuk belajar walaupun mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.Sebagai contoh guru perlu mempunyai idea dan pengetahuan yang luas dalam pembinaan sesebuah bahan sumber untuk meraikan kepelbagaian budaya kaum dan etnik di Malaysia. Guru hendaklah mengelakkan unsur-unsur negatif dan sensitif bagi mana-mana etnik dan kaum. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya perbalahan antara kaum di sekolah walaupun hanya membabitkan bahan sumber yang kecil dan sedikit. Bahan sumber menjadi antara alat terpenting dalam membina budaya pembelajaran yang aktif dan sihat di dalam kelas dan sekitar kawasan sekolah.Antara implikasi lain kepelbagaian sosiobudaya terhadap guru ialah menggunakan kaedah pengajaran yang menarik dan terkini. Tugas guru bukan sekadar menggambarkan sepintas lalu isi kandungan, tetapi guru harus boleh menggerakkan murid untuk memberi rumusan berdasarkan pengalaman pembelajaran tersebut. Aktiviti seperti ini boleh memberi impak positif kepada pengajaran guru lantas membentuk pengajaran dan pembelajaran yang bermanfaat kepada pembinaan budaya yang sihat. Menurut Syed Ismail & Ahmad Subki (2012), setiap rumusan pengajaran guru di dalam kelas boleh dipindahkan dalam pelbagai bentuk seperti susunan dalam bait-bait puisi, sajak, pantun, soal jawab dan main peranan. Elemen-elemen ini secara tidak langsung memberi nafas baru kepada kaedah pengajaran guru yang lebih efektif dan mesra pengguna. Murid akan lebih seronok dan teruja untuk belajar jika minda mereka dirangsang oleh elemen-elemen yang pelbagai. Bahan-bahan grafik dan gambar-gambar yang dilukis mampu merangsang pemikiran, memudahkan pemahaman dan mengukuhkan ingatan para murid.Sebagai contoh guru menggunakan kaedah pengajaran yang melibatkan i-Think di dalam setiap aktiviti guru di dalam kelas. Murid-murid yang pelbagai kaum dan etnik akan bersama-sama berkolaborasi untuk menghasilkan peta minda yang kreatif untuk sesuatu aktiviti yang dikehendaki. Guru dapat melibatkan semua penglibatan murid yang pelbagai budaya dalam menghasilkan sesuatu tugasan. Hal ini juga selaras dengan pendapat Yahya (2005) yang menyatakan bahawa teknik penggunaan peta minda merupakan salah satu unsur kreatif dalam pengajaran.Di samping itu, implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap guru ialah mewujudkan pembelajaran koperatif. Melalui struktur pembelajaran koperatif, murid dalam kumpulan dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman, belajar bersama-sama, saling membantu dan berinteraksi untuk memastikan pencapaian kumpulan (Noriati et al. , 2014). Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mengeratkan hubungan dan mewujudkan kerjasama serta toleransi yang diperlukan dalam masyarakat majmuk. Berdasarkan hasil penyelidikan Zahara & Suzela (2011), mereka mendapati bahawa pembelajaran koperatif tidak akan berjaya tanpa peranan aktif guru dan murid. Guru harus memastikan bahawa kumpulan yang dibentuk mampu berfungsi dengan berkesan, mengurus tugasan pelajar dan memberi arahan apa yang patut dibuat. Sebagai contoh guru perlulah menggalakkan murid-murid untuk bekerja dalam kumpulan yang pelbagai budaya kaum dan etnik bagi mengetengahkan pembelajaran yang berkonsepkan koperatif. Pembelajaran koperatif sememangnya mampu meningkatkan pencapaian dari aspek kognitif dan aspek afektif di kalangan pelajar (Faizah 1999; Gillies 2002; Ghaith 2002).Akhir sekali, implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap guru ialah aspirasi dan jangkaan guru. Guru hendaklah sedar bahawa potensi pelajar bukan berdasarkan kelas sosial, jantina atau bangsa (Noriati et al. , 2014). Jangkaan guru terhadap prestasi murid berdasarkan elemen-elemen generalisasi adalah tidak adil bagi pelajar. Sebagai contoh guru yang mengajar di kelas-kelas baik akan menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang mendalam sementara murid kelas akhir menerima pembelajaran berbentuk ala kadar. Dengan layanan yang berbeza ini, jarak antara kelompok murid akan menjadi lebih jauh.Oleh yang demikian, guru perlu berubah sikap dan pandangan terhadap murid dan mengelakkan amalan diskriminasi. Tugas guru adalah untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan pengalaman dan keupayaan serta budaya murid. Hal ini akan menguatkan lagi pembentukan budaya pelbagai kaum dan etnik di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah yang melibatkan penglibatan semua murid dalam setiap aktiviti kelas dan mewujudkan interaksi pelbagai kaum dan etnik sebagai pembentukan budaya yang harmoni dan lestari selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap muridAntara implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap murid ialah kemahiran dan penguasaan bahasa. Penggunaan bahasa yang betul dan tepat semasa proses pengajaran dan pembelajaran memberi banyak impak kepada guru dan murid. Murid yang hanya menguasai dialek atau bahasa ibunda semata-mata berkemungkinan akan menghadapi masalah dalam pembelajaran. Antaranya ialah kurang faham bahan yang dibaca dan penerangan guru. Hal ini akan menyebabkan murid ketinggalan dalam proses pembelajaran.Sebaliknya, jika murid menguasai dua atau lebih bahasa, contohnya bahasa ibunda, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris akan lebih mudah menguasai pembelajaran memandangkan sinapsis yang terbentuk dalam otaknya. Lantaran itu, murid yang menguasai pelbagai bahasa ini akan cepat dan tangkas dalam pemahaman konsep dan menjadi pelajar pintar cerdas (Noriati et al. , 2014). Sebagai contoh, seorang murid kelahiran Kelantan yang menguasai bahasa dialek negerinya, bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Arab akan sentiasa bergerak laju dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana murid tersebut mempunyai pelbagai bahasa yang boleh meningkatkan lagi mutu kualiti belajar.Menurut Syed Ismail & Ahmad Subki (2012), penggunaan bahasa yang standard harus diamalkan oleh murid. Murid harus berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang betul. Selain itu, aktiviti yang bercorak ke arah peningkatan bahasa perlu disertai oleh murid supaya tahap penguasaan bahasa murid sentiasa bertambah. Perbendaharaan kata yang tepat akan membantu murid mencapai kematangan sosial yang sepatutnya.Implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap murid yang lain ialah kaum etnik. Murid yang tinggal dan belajar dalam lingkungan satu etnik yang selalunya mengamalkan budaya, cara fikir dan pandangan dunia yang sama kurang, kurang mendapat pendedahan akan budaya kaum lain. Justeru, pemahaman dan kesedaran budaya lain hanya dipelajari melalui bacaan dan bukan amalan. Kemungkinan proses menyesuaikan diri dengan kaum atau etnik lain akan menjadi sesuatu yang sukar.Murid yang belajar di sekolah dan persekitaran yang disertai oleh pelbagai kaum etnik akan terdedah kepada amalan, adat resam, pandangan dan cara fikir kaum etnik yang berbeza sama ada sedar ataupun sebaliknya. Murid dalam situasi ini akan dapat mempelajari bahasa etnik lain secara tidak langsung. Perasaan saling menerima dan menghormati dapat dipupuk hasil pergaulan pada masa formal belajar dan secara tidak formal. Hal inilah yang dikehendaki untuk terjadi kepada murid-murid di sekolah supaya mereka akan lebih menghargai kepelbagaian budaya pembelajaran. Dengan ini, murid akan lebih yakin untuk belajar dan terus fokus dalam setiap kali pembelajaran. Sebagai contoh, guru boleh menggabungkan kesemua kaum dan etnik dalam satu kumpulan yang sama dalam setiap kali adanya aktiviti berkumpulan yang memerlukan kepada perbincangan. Apabila murid-murid berada dalam satu kumpulan yang sama, mereka akan saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain. Perkara ini sangatlah diperlukan dalam membentuk budaya pembelajaran yang mantap dalam kalangan murid-murid sekolah.Di samping itu, kelas sosial juga merupakan salah satu kepada implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap murid. Murid secara umumnya terdiri daripada tiga kelas sosial iaitu rendah, sederhana dan tinggi. Murid yang tergolong dalam kelas sosial rendah menghadapi masalah berkaitan dengan pembiayaan dan kemudahan belajar yang kurang mencukupi. Oleh sebab itu, mereka kurang bersemangat untuk belajar dan berisiko menghadapi masalah keciciran dalam persekolahan. Murid yang terdiri daripada golongan sosioekonomi sederhana dan tinggi kurang menghadapi masalah kelengkapan dan kemudahan pembelajaran, berpeluang menghadiri kelas bimbingan berbayar, mendapat perhatian dan dorongan yang khusus daripada ibu bapa. Hasilnya, peluang mendapatkan pendidikan lebih meluas berbanding mereka yang berada dalam lingkungan taraf sosioekonomi rendah. Oleh itu, guru haruslah memainkan peranan yang penting agar murid-murid tidak terhimpit dengan tekanan akibat daripada tahap sosioekonomi keluarga mereka. Murid-murid berpeluang untuk menuntut ilmu dan mendapat pendidikan yang secukupnya daripada institusi sekolah.Sebagai contoh, murid-murid yang tinggal di kawasan setinggan perlulah dibimbing dengan adil supaya matlamat mereka untuk belajar akan tercapai. Kelas sosial murid-murid tidak boleh menghalang mereka untuk terus berjaya. Murid-murid ini sebenarnya mempunyai harapan yang cerah untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang.Antara implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap murid yang lain ialah gaya berfikir dan gaya belajar. Terdapat tiga gaya pembelajaran asas yang umum iaitu visual, audio dan kinestetik. Murid audio mudah untuk memahami isi pelajaran melalui proses mendengar. Murid visual perlu mendengar dan melihat untuk memahami isi pelajaran sementara murid kinestetik perlu terlibat melakukan aktiviti membuat untuk menguasai pembelajaran (Noriati et al. , 2014).Oleh itu, gaya pembelajaran dan gaya berfikir ini haruslah dititikberatkan sebagai satu wadah untuk meneruskan perjuangan murid-murid. Memiliki gaya pembelajaran yang hebat akan membuat diri seseorang murid itu menempa kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang. Gaya berfikir juga perlulah berada pada tahap yang maksimum bagi membuahkan hasil yang mantap.Implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap murid yang lain ialah tahu menghargai pandangan dan pendapat orang lain yang berbeza daripada kefahamannya. Sekolah menghadapi masalah sekiranya murid-muridnya sukar menyesuaikan diri mereka dalam pergaulan di sekolah. Dalam hal ini, pihak sekolah bertanggungjawab untuk membantu mereka mengatasi sikap dan pendirian ini supaya murid-murid ini dapat bergaul, membiasakan diri dan mengamalkan sikap bertolak ansur dengan murid-murid lain (Mohamed Nor, 1990). Tambahan pula, untuk meningkatkan peluang untuk berjaya dan menimbulkan kesefahaman serta perpaduan dalam kalangan murid, budaya asal seseorang murid itu perlu diterapkan. Hal ini kerana budaya murid itu dapat mempengaruhi tingkah lakunya di dalam bilik darjah ( Ting Len Siong, 2013).Sebagai contoh, apabila murid-murid berada dengan komuniti di sekolah yang pelbagai kaum dan etnik, mereka dapat belajar mengenai banyak perkara. Antaranya ialah belajar untuk menghargai pandangan dan pendapat orang lain. Hal ini adalah sangat penting kerana menghargai pandangan orang lain itu adalah satu perkara yang perlu ada dalam diri setiap insan yang ingin berjaya.

2. Cadangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh guru pada masa ini bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya.

Antara langkah yang boleh dilakukan oleh guru pada masa ini bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya ialah mewujudkan bilik darjah yang dinamik. Bilik darjah yang dinamik bermaksud guru mempunyai nilai kepimpinan demokratik. Hal ini membuktikan bahawa guru tersebut membenarkan berlakunya komunikasi dan perhubungan dua hala antara guru dan murid. Dengan ini, murid akan lebih selesa dan mereka akan terus berkomunikasi secara aktif sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Guru membantu murid untuk berkomunikasi secara sihat dengan adanya soal jawab dan perbincangan dalam kelas.Berkomunikasi secara lisan atau bukan lisan dengan berkesan amat penting untuk memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa komunikasi yang berkesan, objektif dan matlamat sesuatu pengajaran dan pembelajaran tidak mungkin dapat dicapai dengan sepenuhnya (Nor Shafrin et al. , 2009). Sebagai contoh, murid-murid sentiasa bertanya dan berkomunikasi dengan guru di dalam kelas jika mereka mempunyai sebarang masalah untuk diselesaikan. Ini jelas membuktikan bahawa guru mempunyai nilai kepimpinan demokratik iaitu sentiasa memimpin murid untuk berjaya dan kekal aktif di dalam kelas.Selain itu, langkah lain yang boleh dilakukan bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya ialah kebijaksanaan dalam berkomunikasi. Kebijaksanaan dalam berkomunikasi ialah mewujudkan komunikasi interpersonal antara murid pelbagai kaum. Guru menggalakkan berlakunya pergaulan aktif sesama murid bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini jelas dapat mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya di samping dapat berkomunikasi secara berkesan antara murid dengan murid yang lain. Di samping itu, persekitaran bilik darjah yang mesra budaya dapat diwujudkan dengan melaksanakan peraturan bilik darjah. Peraturan-peraturan ini meliputi semua peraturan yang sesuai untuk dilaksanakan di dalam kelas mengikut pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan peraturan-peraturan sekolah yang sedia ada. Peraturan-peraturan ini diwujudkan adalah untuk membentuk disiplin kelas yang mesra budaya. Sebagai contoh guru boleh melaksanakan peraturan-peraturan ini sebagai panduan untuk murid-murid bertindak secara positif sepanjang proses pengajaran. Antara peraturan tersebut ialah amalan menepati masa, sifat amanah, nilai tanggungjawab dalam setiap perbuatan di dalam kelas, perlulah menjaga kebersihan supaya tidak kotor dan sentiasa bekerjasama dalam melakukan setiap perkara. Peraturan-peraturan ini boleh membina sahsiah murid ke arah sahsiah terpuji dan membina modal insan yang berkualiti selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Antara langkah lain ialah guru sebagai pencetus idea. Ini adalah menarik kerana pada masa kini proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih tertumpu kepada strategi pemusatan murid. Oleh yang demikian, muridlah yang akan bergerak dan bertindak sepanjang proses pembelajaran. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang menguruskan murid-murid di dalam kelas. Strategi ini dilihat sebagai strategi yang sangat baik dan mampu membina jati diri murid yang kuat untuk terus belajar tanpa ada guru di dalam kelas. Murid boleh berdikari dan menjalani pembelajaran secara aktif tanpa ada bantuan guru sepenuhnya. Mengubah suai susun atur kerusi dan meja juga merupakan salah satu langkah bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Susunan-susunan ini perlulah dipelbagaikan mengikut kesesuaian aktiviti yang ingin dilaksanakan. Susunan kerusi dan meja merupakan faktor fizikal yang terpenting yang ada di dalam kelas yang perlu diperhatikan dengan serius. Susunan ini boleh menimbulkan rasa minat murid untuk belajar dan menyebabkan semua aktiviti yang dijalankan menjadi lebih mudah serta senang untuk dikendalikan. Sebagai contoh, guru boleh membentuk susunan yang berbentuk auditorium dan secara kumpulan. Hal ini akan menyebabkan pergerakan guru dan murid menjadi lebih selesa dan mudah sepanjang berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang bertindak sebagai fasilitator akan lebih mudah untuk memantau setiap pergerakan murid di dalam kelas. Pergerakan murid juga tidak akan terbatas dan mereka boleh bergerak secara bebas dan aktif bagi memenuhi keperluan proses pengajaran dan pembelajaran.Selain itu, langkah bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya juga dapat direalisasikan dengan mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan perbezaan budaya murid. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam kelas sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan dengan menggunakan kaedah-kaedah yang menarik dan mampu merangsang minda murid untuk belajar secara holistik.Sebagai contoh, terdapat banyak kaedah yang boleh dilakukan oleh guru untuk menjalankan aktiviti yang boleh mewujudkan persekitaran bilik darjah mesra budaya. Hal ini juga disokong oleh Noriati, Boon Pong Yin, Sharifah Fakhriah & Zuraidah (2014). Memilih murid daripada pelbagai etnik untuk aktiviti berkumpulan dan tindakan ini menggalakkan perkongsian idea, pandangan dan pendapat. Selain itu, guru juga perlu melayan kerenah murid dengan adil tanpa membeza-bezakan etnik dan keturunan murid. Guru juga perlu memupuk nilai menghargai budaya etnik lain dengan menonjolkannya melalui aktiviti pembelajaran. Di samping itu, guru boleh mengadakan lawatan ke destinasi untuk menyingkap sejarah dan budaya yang dimiliki oleh sesuatu etnik misalnya ke muzium, perkampungan orang Asli dan Taman Budaya.Akhir sekali, guru perlulah melaksanakan pengurusan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Guru sepatutnya meraih peluang dalam mempelbagaikan sumber pengajaran melalui pelbagai budaya dan etnik murid-muridnya (Noriati et al., 2014). Hal ini mampu menarik minat murid-murid untuk terus fokus dan memberi perhatian semasa di dalam kelas. Selain menjadikan proses belajar menyeronokkan, murid diasuh untuk melihat bukan sahaja perbezaan yang wujud dalam masyarakat pelbagai etnik, sebaliknya turut mencari persamaan yang dapat dikongsi bersama-sama.Menurut Noriati, Boon Pong Yin, Sharifah Fakhriah & Zuraidah (2014), antara tindakan yang boleh diambil oleh guru dalam perkara ini ialah memilih sumber pembelajaran yang mengandungi ciri-ciri budaya sesuatu etnik bagi memupuk pemahaman dan perkongsian nilai budaya. Contohnya, makanan pada musim perayaan dan adat istiadat perkahwinan. Tindakan yang kedua ialah memilih bahan atau sumber pembelajaran yang menonjolkan kepentingan hubungan kemanusiaan tanpa mengira perbezaan etnik. Guru boleh memilih sumber yang paling sesuai untuk memupuk perasaan kasih sayang antara etnik melalui penggunaan sumber yang sesuai seperti melalui cerita, lagu, klip video dan foto.

RUJUKANFaizah Mohd. Ghazali. (1999). Kesan Pembelajaran Koperatif Menggunakan Alat Ujian Pencapaian dalam Matematik. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.Ghaith, G.M. (2002). The Relationship between Cooperative Learning, Perception of Social Support and Academic Achievement. Sistem 30: 263-267 (atas talian) http://www.elsevier.com/locate/system (18 Mac 2014).Gillies, R.M. (2002). Cooperative Learning Experiences. A two year follow up. Journal of Education Research 96(1): 15-20.Gollnick, D.M. & Chinn, P.C. (1990). Multicultural Education in Pluralistic Society. Columbus Ohio: Merrill Publicity.Mohamed Nor Che Nor. (1990). Asas-asas Pendidikan; Satu Pengenalan. Petaling Jaya: Flo Enterprise.Nor Shafrin Ahmad, Fadzilah Amzah & Rahimi Che Aman. (2009). Kemahiran Guru Pelatih Universiti Sains Malaysia. Jurnal Pendidik dan Pendidikan. Jilid 24. ms 125-142.Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid. (2014). Budaya dan Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2012). Budaya dan Pembelajaran. Selangor: Penerbit Multimedia Sdn. Bhd.Ting Len Siong. (2013). Budaya dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.Yahya Othman. (2005). Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Pahang: PTS Professional Printing Sdn. Bhd.Zahara Aziz & Suzela Bustam. (2011). Kesan Strategi Pembelajaran Koperatif Terhadap Pencapaian Geografi Tingkatan 1 Topik Tumbuhan Semulajadi dan Hidupan Liar. Jurnal Pendidikan Malaysia. Bilangan 36(1). ms 1-10.