[2] diskusi keenam
Post on 02-Jun-2018
235 Views
Preview:
TRANSCRIPT
-
8/10/2019 [2] DISKUSI KEENAM
1/6
OBJEKTIF
Memperhalusi peristiwa bermukjizat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada
Rasulullah S.A.W.
Memahami keistimewaan dan pengajaran yang terdapat pada salah satu rukun Islam
iaitu solat.
Membantu untuk memahami isi kandungan al-Quran dan ajaran Islam melalui
perjalanan hidup Rasulullah S.A.W.
Mengukuhkan aqidah serta meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T.
1.0 MUQADDIMAH
Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari
Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami
perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Isra: 1)
Peristiwa Israk Mikraj merupakan suatu mukjizat bagi Rasulullah S.A.W di mana
ketika peristiwa tersebut, Rasulullah S.A.W menerima perintah kewajipan solat lima
waktu. Pelbagai keajaiban telah diperlihatkan kepada Baginda S.A.W menjadikan
peristiwa ini mempunyai nilai yang tinggi bagi umat Islam meskipun golongan antihadith dan orientalis barat mengatakan bahawa peristiwa ini tidak masuk akal. Bagi
kita selaku umat Islam yang beriman dan mempunyai akal yang sihat, wajib kita
mengimani peristiwa Israk Mikraj ini dan meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa
untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.
Israk ialah perjalanan pada malam hari yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W
bersama Malaikat Jibril dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa (Baitul
Maqdis). Manakala Mikraj pula ialah naiknya Rasulullah S.A.Wdari bumi ke langit
sehingga sampai ke Sidratul Muntaha.
DISKUSI 6 :
EKSPEDISI KE SIDRATUL MUNTAHA
(PENSYARIATAN SOLAT)
-
8/10/2019 [2] DISKUSI KEENAM
2/6
2.0 PERISTIWA
2.1 TARIKH BERLAKUNYA ISRAK MIKRAJ
Di dalam al-Rahiq al-Makhtum karya tersohor Syeikh al-Mubarakfuri telah
disenaraikan pendapat-pendapat ulama berkenaan tarikh Israk Mikraj.Antaranya ialah:
1. Al-Tabari : tahun pertama kenabian.
2. Al-Nawawi dan al-Qurtubi : tahun ke-5 kenabian.
3. Al-'Allamah al-Mansurfuri : malam ke-27 pada bulan Rejab tahun ke-10
kenabian.
4. Bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian.
5. Bulan Muharram tahun ke-13 kenabian.
6. Bulan Rabiul-awwal tahun ke-13 kenabian.
Selepas mengemukakan tarikh-tarikh di atas, al-Mubarakfuri menolak tiga
pendapat yang pertama kerana ianya bertentangan dengan fakta bahawa
isteri kesayangan Rasulullah S.A.W iaitu Khadijah binti Khuwailid wafat
sebelum Israk Mikraj, sedangkan beliau sebenarnya wafat pada bulan
Ramadhan tahun ke-10 kenabian. Jadi, hanya tinggal 3 pendapat yang berbaki.
Namun, menurut Syeikh al-Mubarakfuri, beliau tidak menemui ada ulama
yang merajihkan salah satu daripada pendapat tersebut. Namun gaya bahasa
surah al-Israa' menunjukkan peristiwa Israk Mikraj itu berlaku ketika masa-
masa yang akhir sebelum hijrah.
2.2 KRONOLOGI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
Para Imam al-Hadith meriwayatkan huraian lanjut mengenai peristiwa ini
berdasarkan hadith-hadith sahih. Berikut merupakan ringkasannya:
Ibnu al-Qayyim telah menyebut: Rasulullah S.A.W telah diisrakkan dengan
jasadnya dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang buraq
dan ditemani oleh Jibril. Rasulullah S.A.W turun ke Baitul Maqdis,
kemudian mengimami solat bersama para Anbiya' a.s yang terdahulu dan
buraq tersebut ditambat di halaman Masjidil Aqsa. Setelah baginda keluar
daripada Masjidil Aqsa, Jibril a.s datang dengan membawa tiga buah
bejana yang masing-masing berisikan madu, susu dan arak (dalam riwayat
yang lain mengatakan hanya susu dan madu).
Jibril a.s meminta baginda S.A.W mengambil salah satu daripada bejana
tersebut. Baginda S.A.W telah memilih susu kemudian meminumnya. Jibril
a.s pun berkata: Tepat. Allah berkehendak supaya engkau memilih fitrah.
Umatmu berada di atas fitrah.
-
8/10/2019 [2] DISKUSI KEENAM
3/6
Setelah itu, Rasulullah S.A.W dimikrajkan pada malam yang sama dari Baitul
Maqdis ke langit pertama. Di sana Rasulullah S.A.W telah melihat Nabi Adam
a.s, bapa sekalian manusia. Baginda S.A.W pun memberi salam kepadanya.
Kedatangan Baginda dialu-alukan lalu baginda membalas salam serta
diperakukan kenabiannya. Setelah itu, Allah S.W.T memperlihatkan kepadaBaginda S.A.W roh-roh para syuhada' di sebelah kanannya dan roh-roh yang
terseksa di sebelah kirinya. Apabila baginda menoleh ke kanan, baginda
tertawa dan apabila menoleh ke kiri, baginda menangis.
Ketika di langit kedua, Rasulullah S.A.W dipertemukan dengan Nabi Isa bin
Maryam dan Nabi Yahya bin Zakaria a.s.
Di langit ketiga, Rasulullah S.A.Wdipertemukan dengan Nabi Yusuf a.s.
Di langit keempat, Rasulullah S.A.Wdipertemukan dengan Nabi Idris a.s.
Di langit kelima, Rasulullah S.A.Wdipertemukan dengan Nabi Harun a.s.
Kemudian, baginda S.A.Wdimikrajkan ke langit keenam. Di sana baginda S.A.W
bertemu dengan Nabi Musa bin Imran a.s. Ketika baginda S.A.Wmeninggalkan
Nabi Musa, Nabi Musa menangis. Apabila ditanyakan mengapa, Nabi Musa a.s
menjawab; Aku menangis kerana orang yang diutuskan selepasku, umatnya
lebih ramai memasuki syurga daripada umatku.
Kemudian, di langit ketujuh, Rasulullah S.A.W dipertemukan dengan Nabi
Ibrahim a.s.
Setelah itu, baginda dibawa ke Baitul Ma'mur (kiblat bagi penduduk langit)
seterusnya dimikrajkan ke Sidratul Muntaha. Di sanalah Allah S.W.T
menyampaikan kepada baginda S.A.W segala apa yang telah disampaikan.
Antaranya Allah menyampaikan kewajipan solat lima waktu sehari semalam ke
atas tiap-tiap muslim lelaki dan perempuan yang mana pada mulanya
diwajibkan sebanyak lima puluh rakaat sehari semalam. Kemudian, Rasulullah
S.A.Wberulang-alik di antara langit keenam dan Sidratul Muntaha (dikatakan
sebanyak 9 kali - setiap kali kembali ke Sidratul Muntaha dikurangkan sebanyak
5 waktu). Peristiwa ini telah direkodkan di dalam Sahih al-Bukhari :
Aku turun menemui Musa a.s lalu baginda bertanya: Apakah yang
diperintahkan oleh Tuhanmu ke atas umatmu?Aku menjawab: Lima puluh
kali solat . Baginda berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah
keringanan kerana umatmu pasti tidak mampu melaksanakannya.Sesungguhnya aku telah menghadapi Bani Israil dan mengetahui ragam
-
8/10/2019 [2] DISKUSI KEENAM
4/6
mereka. Sabda Baginda: Aku pun kembali kepada Tuhanku seraya berkata:
Wahai Tuhanku, ringankanlah ke atas umatku.
Dia pun mengurangkan sebanyak lima. Aku pun kembali menemui Musa dan ku
katakan:Dia telah mengurangkan sebanyak lima. Kata Musa:
Sesungguhnya umatmu tidak menyanggupinya. Kembalilah kepada Tuhanmu
dan mintalah pengurangan. Aku pun terus berulang-alik antara Tuhanku dan
antara Musa a.s sehingga Dia berfirman: Wahai Muhammad, lima kali solat
sehari semalam itu, setiap kali solat itu menyamai sepuluh kali. Jadi,
kesemuanya menyamai lima puluh kali solat. Barang siapa ingin melakukan
kebaikan tetapi tidak melakukannya, tertulis baginya satu kebaikan. Jika ia
melakukannya, tercatat baginya sepuluh kebaikan. Barang siapa ingin
melakukan kejahatan tetapi tidak jadi melakukannya, tidak dicatat apa-apa
baginya. Kalau ia melakukannya, tertulis baginya satu kejahatan. KataBaginda; aku pun turun sehingga sampai di tempat Musa shallallahu alaihi
wasallam dan aku memberitahunya tentang perkara tadi. Baginda berkata
pulanglah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan. Rasulullah S.A.W pun
bersabda: aku pun berkata: aku telah menemui Tuhanku sehingga aku berasa
malu kepadanya. (al-Bukhari; 349)
Hadith di atas menceritakan Nabi Muhammad S.A.Wturun dan menemui Nabi
Musa a.s buat kali keduanya setelah menerima wahyu agung daripada Allah
S.W.Tberupa kefardhuan solat. Nabi Musa a.stahu umat Baginda tidak akanmampu melaksanakan solat sebanyak yang diperintahkan Allah itu berdasarkan
apa yang berlaku ke atas umatnya yang terdahulu iaitu Bani Israil. Lalu, Nabi
Musa mencadangkan agar Baginda meminta keringanan dari Allah S.W.T.
Baginda menurut sahaja cadangan Nabi Musa itu. Selepas naik ke Sidratul
Muntaha dan memohon keringanan, Allah menolak lima kali solat daripada
lima puluh kali pada asalnya. Selepas turun, Nabi Musa a.s mengulangi
cadangannya kerana jumlah empat puluh lima itu masih besar sehinggalah
Nabi Muhammad S.A.W berulang-alik antara Nabi Musa dengan Sidratul
Muntaha beberapa kali sehingga akhirnya solat yang diwajibkan menjadi limakali sahaja.
Pada subuh hari selepas peristiwa Israk itu, Jibril a.stelah datang dan mengajar
Nabi Muhammad S.A.W tentang cara, rukun-rukun dan segala sesuatu
mengenai fardhu solat dan waktu-waktunya.
Adapun Rasulullah S.A.W sebelum difardhukan solat itu kepadanya, Baginda
S.A.W solat sebanyak dua rakaat pagi dan dua rakaat petang. Segalanya adalah
sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim.
-
8/10/2019 [2] DISKUSI KEENAM
5/6
3.0 NILAI DAN PENGAJARAN
1. Membuktikan bahawa Baitul Maqdis bukanlah tempat yang biasa-biasa bahkan
ianya tempat suci di sisi Allah S.W.T dan menandakan di sana terdapat pertalian
erat di antara para Anbiya` a.s seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke
alam ini.
2. Menguji aqidah dan keimanan para Mukmin dalam mempercayai peristiwa yang
berlaku sepanjang Israk Mikraj. Dalil-dalil naqli ini wajib diimani oleh setiap orang
Islam walaupun Abu Jahal dan kaum Musyrikin ketika waktu itu serta orang kafir
sehingga kini mengatakan ianya tidak masuk akal. Bahkan terdapat kaum
Muslimin yang murtad selepas mendengar kisah ini.
3. Peristiwa ini juga memberi petunjuk kepada umat Islam supaya menjaga
keselamatan dan kehormatan tanah suci Baitul Maqdis daripada sebarang
pencerobohan dari luar dan dalam dan ianya telah mendorong Salahuddin al-
Ayyubi menyeru kaum Muslimin pada zamannya untuk bangkit menentang
tentera salib dan menghalau mereka pulang semula ke Eropah. Usaha
mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam
itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya.
Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian
terhadap Islam.
4. Susu menjadi pilihan Rasulullah S.A.W ketika Jibril a.s datang membawa satu
bejana yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak. Ianya sebagai simbolik
kepada Islam, agama fitrah dan semulajadi.
5. Kefardhuan solat pada malam Israk dan Mikraj menunjukkan hikmah mengapa
solat itu disyariatkan. Allah seolah-olah berkata kepada hamba-hambaNya yang
beriman:
Sekiranya Mikraj Rasul kamu dengan jasad dan roh ke langit
merupakan mukjizat, kamu pula diperuntukkan solat lima waktu
setiap hari, sebagai mikraj (anak tangga) untuk kamu naik menemuiKu
dengan roh dan hati kamu. Jadikan solat lima kali sehari sebagaipeningkatan roh yang boleh mengangkat kamu daripada tenggelam
KRONOLOGI
Masjidil Haram Masjidil Aqsa 7 Lapisan Langit
Baitul MakmurSidratul Muntaha
-
8/10/2019 [2] DISKUSI KEENAM
6/6
dalam hawa nafsu dan syahwat kamu, serta memperlihatkan kamu
kebesaran, kekuasaan dan keesaan Aku.
Ini mendorong kamu untuk memimpin muka bumi ini, bukan dengan
cara memperhamba, menguasai dan menakluki orang lain. Bahkan
melalui jalan kebaikan dan ketinggian, juga dengan cara kesucian danpeningkatan roh menerusi jalan solat.
RUJUKAN
1. Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah, Terjemahan Ustaz Mohd Darus Sanawi,
Dewan Pustaka Fajar, 1983.
2. Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy, al-Raheeq al-Makhtum, Terjemahan.
3. Al-Hafiz Abdul Ghani bin Abdul Wahid Al-Maqdisy, Al-Durrah al-Mudheeah Fi al-Sirah al-
Nabawiyyah,Terjemahan Team Indonesia, Maktab Dakwah dan Bimbingan Jaliyat Rabwah,
2011.
top related