jawi dan pendidikan: perspektif sejarah...pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah...

23

Upload: others

Post on 07-Nov-2020

12 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai
Page 2: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

1

Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah oleh Hazman Baharom

Sejak kebelakangan ini, polemik tentang pengenalan Jawi dalam pendidikan di Malaysia

menjadi lebih panas dan selalu terkait kontroversi. Di media sosial dan media arus perdana,

terdapat beberapa pihak berbeza yang menyokong dan menentang pengenalan Jawi kepada

semua pelajar secara umum, dengan pelbagai hujah di sebalik pendirian masing-masing.

Kontroversi ini telah memecahkan pendapat awam kepada beberapa kem, dan masing-masing

tampaknya tidak mahu beralah ataupun memahami perspektif satu sama lain. Keadaan ini

merunsingkan kerana perkara sepenting dan sebesar tulisan Jawi ini terlalu besar untuk

dikotak-kotakkan ke dalam beberapa ruang sempit perbincangan awam yang bertujuan untuk

memperoleh laba serta sokongan politik massa semata-mata.

Daripada perbincangan umum di media, perbahasan tentang pengenalan Jawi dalam

pendidikan di Malaysia kepada semua pelajar tanpa mengira aliran melalui subjek Bahasa

Melayu banyak berlandaskan andaian; apabila yang sepihak mempertahankannya atas dasar

nasionalisme Melayu-Islam, manakala sepihak lagi menentangnya kerana tidak mahu

“Islamisasi” atau “Arabisasi.” Namun, jika kita meneliti sejarah penggunaan Jawi di

Nusantara umumnya dan Malaya/Malaysia khususnya, ia lebih daripada sekadar simbol

nasionalisme atau agenda “Islamisasi” sahaja. Sorotan sejarahnya adalah lebih kompleks dan

berwarna-warni, dan bukan bersifat dikotomi seperti yang terzahir daripada banyak

perbahasan di ruang awam.

Pada hari ini, salah satu hujah yang menentang pengenalan semula Jawi dalam pendidikan

Bahasa Melayu bertitik tolak daripada kerisauan sesetengah pihak bahawa Jawi merupakan

simbol “Islamisasi”. Hal ini disebabkan huruf Jawi merupakan asalnya huruf Arab, dan ke-

Araban itu pula disemaertikan dengan ke-Islaman. Hujah ini mendapat sambutan yang hangat

khususnya dalam kalangan kelompok bukan beragama Islam di Malaysia. Ia boleh dikatakan

kerisauan yang rasional, tetapi pada hakikatnya, jika diteliti secara mendalam, proses

mempelajari Jawi sebagai salah satu tulisan Bahasa Melayu bukanlah proses Islamisasi dalam

pendidikan. Kita akan meneliti lebih lanjut tentang perkara ini nanti.

Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat

sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai hujah seperti “Jawi ialah

identiti Islam”, “apabila tahu membaca Jawi, maka mudahlah membaca Quran”, dan “Jawi

merupakan tulisan kitab-kitab klasik agama Islam di Nusantara” dan sebagainya. Hujah-hujah

berpaksikan agama ini, yang sebenarnya hujah arus perdana golongan pro-Jawi, sedikit

sebanyak memberi kesan kepada persepsi golongan anti-Jawi. Namun, persoalan yang perlu

kita lunaskan ialah, benarkah Jawi bersamaan dengan “identiti Islam”? Adakah orang yang

pandai membaca Jawi akan pandai membaca Quran secara automatik? Dan adakah belajar

Jawi itu semata-mata bertujuan untuk mendalami kitab-kitab agama Islam? Jika kita meneliti

hujah-hujah ini, ia juga sebenarnya tidak tepat. Maka, sebenarnya, kedua-dua belah pihak,

baik yang pro-Jawi atau anti-Jawi, sedang bertarung atas andaian dan bukannya berpijak

kepada asas yang kukuh.

Artikel ini bertujuan untuk meninjau kembali sejarah tulisan Jawi secara ringkas di Nusantara

dan Malaya/Malaysia bersama-sama penggunaannya. Pada awal abad ke-20, terdapat

beberapa inteligensia Melayu yang terlibat dalam perbahasan tentang bahasa, budaya, dan

pendidikan seperti Abdullah Munshi, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), dan Syed Sheikh al-

Page 3: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

2

Hadi. Pemikiran mereka ini banyak melatari gerakan modenisme serta nasionalisme di Tanah

Melayu menjelang Perang Dunia II. Artikel ini akan meninjau secara ringkas pemikiran

mereka. Selepas perang, kebangkitan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) telah turut menjadi

signifikan dalam konteks nasionalisme dan bahasa, dan mereka juga banyak menyumbang

dalam perbahasan berkaitan tulisan Jawi dalam konteks perkembangan bahasa dan sastera

Melayu. Seterusnya, setelah Persekutuan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada

British pada tahun 1957, terdapat beberapa perkembangan penting pula dalam penggunaan

tulisan Jawi melalui sistem pendidikan kebangsaan. Ketika ini, terdapat beberapa laporan dan

dokumen dasar pendidikan yang menggariskan tentang visi nasional serta letak duduk tulisan

Jawi di dalamnya. Artikel ini akan meneliti laporan-laporan dan dokumen berkenaan untuk

lebih memahami perkembangan tulisan Jawi di Malaysia vis-à-vis sistem pendidikan nasional.

Seterusnya, beberapa intipati perbahasan penting sepanjang sejarah akan diekstrak dan

dianalisis melalui lensa kemasyarakatan hari ini.

Sejarah Ringkas Jawi di Nusantara

Sejarah Jawi di Nusantara telah bermula sejak Islam tiba di kawasan ini, kerana Jawi

merupakan ubah suai daripada sistem tulisan Bahasa Arab. Beberapa bunyi dan huruf telah

ditambah untuk disesuaikan dengan pertuturan Bahasa Melayu, iaitu cha, nga, pa, ga, va, dan

nya. Proses ini berlaku melalui penggunaan tulisan Arab untuk menulis karya-karya

berbahasa Melayu seperti teks-teks keagamaan, politik, sejarah, epik, kesusasteraan, dan

sebagainya. Hanya selepas bermulanya penggunaan tulisan Jawi, Bahasa Melayu mula

berubah citranya menjadi bahasa yang mula mengungkap pelbagai bidang ilmu ketika itu,

berbeza dengan Bahasa Melayu kuno sebelumnya. Menurut Syed Muhammad Naquib al-

Attas, Bahasa Melayu dengan bentuknya yang mapan hanya bermula selepas pengaruh Islam,

dengan terhasilnya pelbagai karya dalam korpus keilmuan berbahasa Melayu dan bertulisan

Jawi. (Al-Attas, 1972; Borham, 2012)

Di sini, terdapat beberapa teks klasik dan inskripsi penting yang menunjukkan penggunaan

awal tulisan Jawi dalam mengungkap Bahasa Melayu dengan pelbagai tujuan. Contoh batu

bersurat yang penting ialah Batu Bersurat Terengganu (1303 M) dan Batu Bersurat

Pengkalan Kempas (1467 M), manakala teks-teks kesusasteraan yang penting pula ialah

Hikayat Raja-raja Pasai (abad ke-14 M), karya saduran seperti Hikayat Seri Rama (kira-kira

abad ke-13 M), dan karya sejarah seperti Sulalatus Salatin (1612 M). Daripada teks-teks ini,

tulisan Jawi digunakan bukan sahaja untuk mengungkap konsep serta istilah Bahasa Melayu,

tetapi terdapat beberapa istilah Sanskrit juga diungkap dalam tulisan baharu ini. Sebagai

contoh, istilah Dewata Mulia Raya yang terdapat di Batu Bersurat Terengganu merupakan

istilah pra-Islam yang merujuk kepada Tuhan. Walaupun ia dikekalkan, tetapi maksudnya

mula merujuk kepada maksud Tuhan dalam agama Islam. (Uthman, 2012) Proses transisi

orang Melayu dari tulisan pra-Jawi (seperti pallava) kepada Jawi turut boleh dilihat melalui

Batu Bersurat Pengkalan Kempas, apabila teks tersebut mempunyai dua versi di tempat yang

sama—Jawi dan pallava. Dalam kesemua teks ini, walaupun sistem ejaan Jawi dan tatabahasa

tidak konsisten secara jitu antara satu sama lain (perkara biasa yang dialami dalam proses

transisi penulisan), kita sudah mampu mencerap usaha-usaha untuk menggunakan tulisan

Jawi bagi mengungkap ilmu-ilmu tinggi dan konsep-konsep khusus dalam Bahasa Melayu.

Selepas agama Islam tersebar dengan meluas di kawasan Nusantara, hampir semua kerajaan

atau kesultanan di kawasan Kepulauan Melayu saling berkomunikasi dengan tulisan Jawi.

Page 4: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

3

Perkara ini boleh dilihat melalui surat-surat diplomasi antara kerajaan seperti Melaka dengan

Aceh, Ternate dengan Portugal (1521) 1 , malah sejauh Johor dengan Perancis (1857) 2 .

Perkembangan ini membuktikan penerimaan tulisan Jawi sebagai tulisan yang mampu

menjadi sistem menulis ungkapan lingua franca Kepulauan Melayu ketika itu. Perkara ini

tidaklah menafikan kewujudan serta kepentingan sistem-sistem penulisan lain yang turut

digunakan di Nusantara ketika itu walaupun dengan skop lebih kecil, seperti aksara kawi dan

pegon (Jawa), lontarq (Sulawesi), aksara Sunda (Sunda), dan lain-lain.3

Terdapat beberapa usaha penting daripada pihak pentadbir, mubaligh, atau pengembara

kolonial untuk mendokumenkan bunyi, sistem tulisan, dan terjemahan perkataan-perkataan

Melayu ke dalam bahasa mereka masing-masing. Antara usaha-usaha awal yang penting

termasuklah catatan Antonio Pigafetta (1521) terhadap perkataan-perkataan Melayu yang

beliau dengar ketika di Nusantara, apabila beliau menulis catatan pelayaran bersama-sama

Ferdinand Magellan (Pigafetta, 1969). Perkataan-perkataan tersebut kemudian diterjemah ke

Bahasa Sepanyol. Seterusnya, catatan Hessel Gerritz (1598) turut melakukan hal yang sama,

iaitu mendokumenkan perkataan-perkataan Melayu dalam tulisan Rumi. Usaha ini diteruskan

oleh pengembara lain seperti Jacob Van Neck (1601), Caspar Wittens (1623), dan Thomas

Bowrey (1761). Pun begitu, meskipun semua tokoh Eropah ini mendokumenkan perkataan-

perkataan Melayu dalam tulisan Rumi yang mereka fahami lalu menterjemahnya ke bahasa

masing-masing, itu masih belum boleh digolongkan sebagai usaha perkamusan. Usaha

perkamusan Melayu pertama, bersama-sama pendokumentasian ejaan Jawi dan Ruminya

telah dilakukan oleh William Marsden (1838), salah seorang pegawai British di Malaya

(Marsden, 1984). Karya Marsden inilah yang pertama kali boleh dianggap sebagai kamus

Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris yang sistematik sifatnya.

Seterusnya, selepas zaman kolonial, tulisan Jawi di Nusantara juga digunakan untuk

menterjemah teks-teks dari kebudayaan Eropah, seperti terjemahan Bible di wilayah Hindia

Timur (istilah Belanda untuk Kepulauan Melayu). Usaha ini dilakukan oleh pedagang dan

cendekiawan Belanda untuk kegunaan khusus orang-orang tempatan yang sudah memeluk

agama Kristian Katolik khususnya di Ambon. Terjemahan pertama Bible ke dalam Bahasa

Melayu bertulisan Jawi telah dilakukan oleh Albert Cornelius Ruyl dan Jan van Hasel antara

tahun 1628 dan 1638. Setelah itu, terdapat banyak terjemahan lain memandangkan

terjemahan awal ini adalah tidak lengkap dan berdepan dengan pelbagai masalah teknikal

penterjemahan istilah-istilah khusus (Hunt, 1989). Namun, terjemahan mereka ini selepas itu

diubah kepada aksara Latin. Dalam konteks semenanjung dan Singapura, perkara sama

dilakukan oleh Munshi Abdullah (1821), dan Munshi turut menghasilkan satu lagi terjemahan

dalam aksara Latin pada 1852 bersama-sama muridnya Benjamin Keasberry. Versi ini telah

menjadi edisi yang digunakan di semenanjung, Borneo, dan Sumatera.

Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, pengaruh sastera moden mula memberi

kesan kepada penulisan-penulisan dalam korpus kesusasteraan Melayu. Hal ini dimungkinkan

dengan meningkatnya kesedaran nasionalisme berikutan penulisan-penulisan nasionalis di

bahagian dunia yang lain, seperti di Timur Tengah. Kesannya, ramai inteligensia Melayu

1Lihat dua pucuk surat Sultan Abu Hayat kepada Raja Portugal yang ditulis pada tahun 1521 dan 1522.

(Blagden, 1930; Gallop, 2007). 2 Lihat surat Temenggung Daing Ibrahim kepada Napoleon III bertarikh 17 Syaaban 1273 (12 April 1857)

(Gallop, 2013). 3 Untuk sejarah ringkas Bahasa Melayu, lihat Collins (2018).

Page 5: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

4

yang mempunyai pertalian dengan institusi pendidikan dan budaya di Timur Tengah mula

menulis dalam Bahasa Melayu untuk menyebarkan kesedaran nasionalisme. Pada masa yang

sama, terdapat juga inteligensia yang mendapat pendidikan Barat, yang ingin melakukan

perkara yang sama. Perbezaan dalam aliran pengajian mereka ini turut menyumbang kepada

perbahasan yang bakal menyusul tentang bahasa, aksara, dan penyusunan tatabahasa nanti.

Inteligensia Melayu Menjelang Abad ke-20 dan Nasionalisme

Menjelang awal abad ke-20, terdapat beberapa inteligensia Melayu yang mula berfikir

tentang pendidikan, pemberdayaan bangsa, dan usaha mencapai kemerdekaan. Nama-nama

penting yang terkait dengan fenomena ini termasuklah Raja Ali Haji dan Munshi Abdullah

(penghujung abad ke-19), Zainal ‘Abidin bin Ahmad (Za’ba), Haji Abdul Malik Karim

Amrullah (HAMKA), dan Syed Sheikh al-Hadi. Tokoh-tokoh yang disenaraikan ini

merupakan para pemuka penting dalam proses pengembangan pemikiran serta penulisan

dalam Bahasa Melayu. Namun, dalam isu perubahan tulisan Jawi ke Rumi untuk menulis

Bahasa Melayu, perbahasan yang paling jelas dapat dilihat melalui tulisan-tulisan oleh Za’ba

dan HAMKA. Raja Ali Haji menyumbang kepada pengembangan ilmu Bahasa Melayu yang

lebih sistematik, melalui penghasilan Bustan al-Katibin (1857) dan Kitab Pengetahuan

Bahasa (1850-an), namun sumbangan beliau masihlah kepada pembaharuan ejaan Jawi pada

zamannya. Syed Sheikh al-Hadi pula, sekembali dari Mesir, banyak melacak idea-idea

modenisme kepada para pembaca di semenanjung, dan secara tidak langsung, membuka

wacana yang lebih lancar menuju penerimaan sistem penulisan baharu dalam abjad Rumi.4

Pada penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20, pemodenan bahasa merupakan sesuatu

yang rancak berlaku di negara-negara Asia, khususnya yang berdepan dengan pengalaman

kolonial. Antara modenisasi yang menjadi wacana penting ketika itu ialah perumian tulisan

Bahasa Turki,5 debat tentang tulisan Bahasa Cina (sama ada perlu kekal dalam bentuk tradisi

atau dipermudahkan) (Tsang, 1967), 6 wacana tulisan Jepun moden (sama ada perlu

dikurangkan jumlah Kanji tradisional atau tidak, atau relevankah lagi Kanji secara

keseluruhan) (Moriguchi, 1967), 7 pergelutan dalam proses pembentukan Bahasa Filipino

sebagai bahasa rasmi Filipina (Isidiro, 1967),8 dilema pemodenan Bahasa Hindi sebagai

bahasa rasmi di India dalam konteks kemajmukan bahasa yang terlalu banyak (Sharma,

1967),9 dan pelbagai proses lagi. Justeru, proses perumian dalam sejarah moden Bahasa

Melayu perlu difahami dalam konteks negara pasca-kolonial ini, bukan sebagai satu proses

yang berdiri sendiri. Ia berlaku di tengah-tengah kerancakan wacana pemodenan bahasa di

4 Secara umumnya, negara-negara Asia pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 berada di

persimpangan dalam persoalan kebudayaan, khususnya bahasa dan sistem tulisan, tatkala berdepan dengan

pemodenan dari Barat. Untuk huraian lebih lanjut, lihat Alisjahbana (Ed.) (1967). Untuk idea-idea Syed Sheikh

al-Hadi, lihat Gordon (2018). 5 Untuk pengalaman Turki dalam politiknya sejak Empayar Uthmaniyah yang menyaksikan Bahasa Turki

menjadi bahasa ilmu yang menggunakan aksara Arab, lihat Finkel (2005). Untuk proses pemodenan Turki,

termasuk tulisannya, setelah berlakunya tekanan pelbagai arah dari Eropah, lihat de Bellaigue (2018) dan Rogan

(2015). 6 Lihat huraian Tsang (1967), dalam Alisjahbana (1967). 7 Lihat huraian Moriguchi (1967), dalam Alisjahbana (1967). Untuk perbincangan lebih lanjut tentang bahasa,

sastera Jepun moden, dan pendidikan, lihat Takenishi (1995) dan Okubo (1988). 8 Lihat huraian Isidiro (1967), dalam Alisjahbana (1967). 9 Lihat huraian Sharma (1967), dalam Alisjahbana (1967).

Page 6: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

5

Asia, sebagai salah satu usaha menuju kemerdekaan dan mengisinya nanti. Ketika itu juga,

negara-negara Asia perlu bangkit sendiri untuk bersaing dengan kuasa-kuasa Eropah yang

sekian lama menjajah mereka—maka adalah normal apabila kearifan Eropah, termasuklah

sistem tulisan seperti huruf Latin, turut diambil dan dimanfaatkan di Asia.

Ketika awal abad ke-20, debat tentang penggunaan tulisan yang paling sesuai untuk

memodenkan Bahasa Melayu/Indonesia telah pun berlangsung. Ketika visi kemerdekaan

Indonesia dilaungkan menerusi Sumpah Pemuda 1928, idea tentang satu bahasa dan satu

tulisan menjadi lebih lantang. Bagi nasionalis Indonesia, hanya tulisan Rumi yang mampu

memajukan dan memodenkan Bahasa Indonesia sebagai agenda kemerdekaan. Perkara ini

turut mempengaruhi nasionalis dan pemikir di Malaya. Sebagai contoh, salah seorang

pemikir penting Melayu, Zainal Abidin bin Ahmad (tersohor dengan gelaran Pendeta Za’ba)

dalam tulisan-tulisan beliau amat jelas menyokong proses perumian sebagai proses

memajukan bahasa dan sastera Melayu. Antara hasil karya beliau yang paling penting ialah

panduan ejaan Rumi yang telah dihasilkan beliau, yang menjadi antara kamus ejaan Rumi

terpenting di Malaya ketika itu (Hj. Omar, 2014).

Idea tentang perumian ini, bagi para nasionalis pada zaman itu, adalah salah satu daripada

pengisian kemerdekaan suatu hari nanti. Menurut Za’ba, terdapat beberapa hujah beliau yang

menyokong tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu berbanding tulisan Jawi, meskipun beliau

pada asalnya merupakan produk pendidikan agama tradisional di institusi pondok/pesantren.

Hujah pertama beliau adalah untuk memudahkan pembelajaran semua orang terhadap Bahasa

Melayu, apabila huruf Rumi telah digunakan secara meluas selepas pengaruh Eropah pada

zaman kolonial. Dalam hal ini, beliau memberikan contoh beberapa bahasa lain di dunia yang

sedang melalui proses perumian juga, seperti Turki, Parsi, dan debat tentang perumian tulisan

Cina. Bagi beliau, bahasa-bahasa lain di dunia juga sedang dalam proses merumikan tulisan

masing-masing untuk kemudahan komunikasi dan perkembangan bahasa itu juga pada masa

depan, justeru Bahasa Melayu turut perlu dirumikan. Sesuatu bahasa tidak akan berubah jika

tulisannya berubah, kerana tulisan itu hanyalah “kulit”, tetapi isinya tetap Bahasa Melayu

(Za’ba, 2007; 2013).10

Selain itu, Za’ba juga berhujah perihal kemampuan tulisan Rumi untuk berdepan dengan

kemajuan teknologi percetakan seperti mesin cetak pada awal abad ke-20. Menurut beliau,

tulisan Jawi masih belum mampu berasimilasi dengan teknologi tersebut kerana sistem

ejaannya yang bersambung-sambung, tidak seperti tulisan Rumi yang hurufnya satu-satu.

Huruf Jawi pula perlu dibesarkan saiznya dan tidak ekonomikal, berbanding tulisan Rumi

yang boleh dikecilkan dan dibesarkan mengikut keperluan penulis dan pembaca. Maka bagi

Za’ba, Bahasa Melayu hanya boleh benar-benar memanfaatkan teknologi baharu ini dengan

cara menulis dan membacanya dalam tulisan Rumi. Menurut Za’ba,

Dan lagi perkakas “type-writer” (Mesin tulis) huruf Rumi senang mengerjakan-nya apabila

menaip apa2 surat atau karangan, tidak payah dan cherewet seperti perkakas typewriter Jawi

yang banyak mata taip-nya itu. Lagi pun typewriter huruf Rumi itu senang mendapat-nya walau

di-mana punsebab banyak terpakai di-pejabat2 dan di-gudang2 perniagaan di-mana2 negeri.

Maka apa pun bahasa yang memakai-nya, asalkan typewriter huruf Latin boleh-lah di-taipkan

bahasa Melayu huruf Rumi, walau di-London, walau di-negeri China, di-negeri Jepun, India,

Masir, Switzerland, Peranchis, Spain, dan lain-nya. Ada pun “typewriter” Jawi maka ia-itu

10 Lihat Za’ba (2007), dalam Abdullah Hassan (ed.) (2007).

Page 7: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

6

perkakas khas, tidak mudah di-dapati di-mana2 tempat sahaja; di negeri Melayu ini pun jarang2

ada pejabat yang memakai-nya; jika ada maka lebeh susah membuat-nya dan tidak pula banyak

di-pakai orang dalam dunia (Za’ba, 2007; h. 121).

Petikan ini menunjukkan betapa Za’ba terkesan dengan teknologi baharu mesin taip yang

sedang meningkat naik ketika itu. Hal ini boleh difahami, khususnya apabila beliau sendiri

merupakan seorang yang pernah mendapat pendidikan di London. Pastilah beliau merasa

sendiri betapa efisiennya proses penulisan seiring dengan teknologi mesin taip tersebut.

Pada zaman yang lebih kurang sama dengan Za’ba juga, HAMKA telah menulis satu artikel

yang ditujukan kepada para intelektual di Semenanjung Malaya, supaya jangan mengubah

sistem tulisan Bahasa Melayu daripada Jawi kepada Rumi. Meskipun HAMKA sendiri

menulis dengan menggunakan aksara Rumi, kebimbangan beliau adalah berpaksikan

perubahan cara fikir masyarakat Melayu dengan berubahnya huruf yang digunakan untuk

menulis, serta segolongan besar cendekiawan tradisional Melayu (seperti para ulama di

pondok/pesantren) akan terus menjadi buta huruf secara sekelip mata. Hal ini tentunya akan

merencatkan perkembangan ilmu di seluruh dunia berbahasa Melayu, khususnya ilmu agama

Islam (Dungcik, 2017; Nahar & Safar, 2016). Menurut HAMKA, banyak bangsa lain di dunia

yang masih bertahan dengan tulisan tradisional mereka seperti orang Jepun dan China dengan

tulisan kanji mereka, maka tidak ada alasan kukuh untuk orang Melayu di semenanjung

mengikut langkah Indonesia secara besar-besaran berhijrah ke tulisan Jawi. Hujah beliau ini,

selain berfokus kepada simbol serta proses pembelajaran agama Islam, turut merujuk kepada

perubahan kadar celik/buta huruf. Malah, golongan cendekiawan tradisional akan lebih

terbeban pula dengan perubahan sistem tulisan ini (HAMKA, 1952; A. Kasim & Muhamad,

2015). Beliau telah merujuk pengalaman Indonesia sendiri setelah 30 tahun proses perumian

besar-besaran dimulakan sebagai rentetan dari Sumpah Pemuda dan gerakan mencapai

kemerdekaan republik itu.

Peranan ASAS 50

Pada dekad menjelang kemerdekaan dan selepas Perang Dunia II, para penulis, cendekiawan,

sasterawan, dan budayawan Malaya yang peka dengan perkembangan Bahasa Melayu mula

menubuhkan sebuah kumpulan aktivis bahasa dan budaya yang dikenali sebagai Angkatan

Sasterawan 50 (ASAS 50). Mereka sebagai sekretariat telah menganjurkan Kongres Bahasa

dan Persuratan Melayu yang bermula pada tahun 1952, dan sehinggalah kongres kali ke-8

pada tahun 2011. Dalam kongres pertama di Seaview Hotel, Singapura, tidak ada keputusan

tuntas untuk sama ada mengutamakan tulisan Rumi atau Jawi sebagai sistem tulisan rasmi

Bahasa Melayu. Hanya ketika kongres kedua di Sekolah King George V di Seremban,

barulah diputuskan bahawa Kongres akan berusaha memajukan persuratan dan sastera

Bahasa Melayu dalam tulisan Rumi, walaupun tidak sebulat suara. Cadangan dari Kesatuan

Guru2 Melayu Singapura (KGMS) yang dipersetujui majoriti kehadiran Kongres tersebut

ialah:

Kongres Persuratan Melayu Malaya yang bersidang hari ini mengambil keputusan sudah

sepatut-nya-lah Tulisan Rumi itu di-resmikan menjadi tulisan bagi Persuratan Melayu dengan

tidak menghapuskan Tulisan Jawi sahingga masa yang akan menentukan-nya (Hassan, 2007).

Page 8: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

7

Perkara ini datang daripada kesedaran yang sama, iaitu semangat nasionalisme untuk

memajukan Bahasa Melayu selepas merdeka (Ahmad, 1988). Satu sistem tulisan yang

seragam adalah diperlukan untuk menampung keperluan Bahasa Melayu mengungkapkan

terma-terma moden dan lebih mudah digunapakai selepas itu. Terdapat juga hujah yang

membantah, seperti yang telah dikemukakan oleh Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS).

Mereka berhujah bahawa disebabkan hampir 50% orang Melayu merupakan “angkatan tua”

yang tidak tahu huruf Rumi, adalah berisiko besar jika huruf Rumi langsung dijadikan tulisan

rasmi Bahasa Melayu. Menurut mereka juga, ada juga orang muda yang menulis dalam Rumi

tetapi lebih selesa membaca dalam tulisan Jawi (Hassan, 2007).

Namun, keputusan Kongres yang dianjurkan ASAS 50 untuk mendesak kerajaan Persekutuan

Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia melakukan projek perumian Bahasa Melayu besar-

besaran bukanlah berlaku secara sehala sahaja. Dalam prosiding kongres ASAS 50, kita

dapati terdapat beberapa hujah yang menentang perumian, yang paling lantang disuarakan

oleh Syeikh Abdullah Basmih. Menurut Syeikh Abdullah, tulisan Jawi merupakan simbol

penting bagi agama Islam sebagai agama yang terbesar penganutnya di kawasan Kepulauan

Melayu, dan ia telah terbukti sebagai sarana komunikasi sejak ratusan tahun sebelumnya.

Bukan itu sahaja, beliau melihat kepada hakikat bagaimana tulisan Jawi dapat memudahkan

orang-orang di Nusantara belajar agama Islam, kerana kitab-kitab di sini sememangnya sudah

ditulis dengan tulisan tersebut, malah huruf-huruf Jawi yang asalnya huruf-huruf Arab (beliau

merujuk huruf-huruf ini sebagai “huruf Islam”) itu bakal memudahkan orang Nusantara

belajar membaca al-Quran. Hujah-hujah beliau pula banyak dipetik daripada hujah-hujah

pemikir lainnya seperti HAMKA dan Dr Burhanuddin al-Helmy. Kata Syeikh Abdullah

untuk menyimpulkan ideanya,

Tidak shak lagi, kedua2 tulisan – Melayu (Jawi) dan Rumi ada-lah sama2 penting dan

mempunyai lapangan-nya masing2. Tetapi tidak-lah bijak kalau tulisan Rumi-lah sahaja yang

di’amakan dan tulisan Melayu yang berhurufkan huruf Islam ini di-jadikan sa-bagai anak tiri

dan di-jadikan hanya satu mata pelajaran di sekolah2 Melayu, saperti yang sedang di-

ranchangkan itu. Tindakan yang demikian tidak akan menyelesaikan masaalah ini malahan akan

melukakan hati sa-babagian besar bangsa Melayu (Basmih, 2007).11

Dalam empat kongres pertama ASAS 50, kita masih boleh mengesani perdebatan tentang isu

perumian tulisan Bahasa Melayu ini. Namun, dalam konteks ASAS 50, yang terdiri daripada

ramai sasterawan dan cendekiawan yang menerima pendidikan moden, adalah dijangka

apabila majoriti besar mereka akan menyokong penuh perumian tulisan Bahasa Melayu.

Dalam kongres-kongres awal tersebut, nama-nama yang banyak berhujah tentang perumian

termasuklah Za’ba, Asraf, Usman Awang, dan lain-lain. Hujah yang paling jelas untuk

mengekalkan tulisan Jawi pula hanya datang daripada Syeikh Abdullah Basmih. Disebabkan

kuasa mendesak ASAS 50 yang boleh dikatakan besar ke atas agenda Bahasa Melayu oleh

pihak kerajaan selepas merdeka, maka idea mereka disambut untuk dilaksanakan secara

bersungguh-sungguh.

Namun, terdapat masalah yang wujud daripada kehadiran Kongres Bahasa tersebut, sehingga

memungkinkan perbahasan tentang tulisan Jawi-Rumi menjadi berat sebelah. Dalam Kongres

kali pertama, salah satu peraturan Kongres adalah untuk tidak membenarkan para penerbit

dan peniaga menjadi peserta Kongres, mereka hanya boleh menjadi pemerhati. Sidang

11 Lihat Basmih (2007), dalam Hassan (2007); h. 182.

Page 9: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

8

penerbit Majalah Qalam telah meninggalkan persidangan disebabkan peraturan ini. Peraturan

ini telah mengetepikan sebilangan suara yang menyokong tulisan Jawi dikekalkan, yang

terdiri daripada para penggiat pendidikan tradisional di pondok/pesantren. Hal ini kerana,

mereka juga bekerja sebagai pencetak, penjual, dan pengedar kitab-kitab agama dalam tulisan

Jawi (Hassan, 2007; Rosli, komunikasi peribadi, 2020).

Dasar Bahasa dan Pendidikan Selepas Merdeka

Selepas merdeka, dasar, aliran, dan pendekatan pendidikan di Malaysia banyak yang masih

lagi merupakan warisan British. Sekolah aliran Inggeris merupakan majoriti khususnya dalam

konteks sekolah menengah, dan Bahasa Inggeris masih menjadi bahasa pengantar utama di

sekolah-sekolah tersebut. Sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai

bahasa pengantar utama mula ditubuhkan secara berperingkat sebagai kesinambungan kepada

Penyata Razak 1956. Penyata ini pula merupakan usaha mengharmonikan Laporan Barnes

dan Laporan Fenn-Wu sebelumnya. Penyata Razak, sebagai sebuah agenda pendidikan

nasional, membayangkan sebuah aliran pendidikan kebangsaan yang bersepadu, dengan

Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Pada tahun-tahun awal 1960-an, terdapat beberapa pertubuhan yang ditubuhkan untuk

memperjuangkan Bahasa Melayu, salah satunya ialah Persatuan Penuntut-penuntut Kolej

Islam Malaya (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah atau KISAS) (PPKIM) yang bermatlamat

untuk memperjuangkan masa depan pendidikan aliran Melayu. Mereka telah mendesak

kerajaan untuk menubuhkan sekolah menengah berasaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa

pengantar utama. Kegagalan kerajaan untuk mengikuti desakan ini menyebabkan satu

demonstrasi telah diadakan pada tahun 1967 (Sharif Adam, 2010). Hasil daripada

demonstrasi dan desakan berterusan, pihak kerajaan telah secara beransur-ansur menubuhkan

sekolah-sekolah menengah beraliran Melayu, malah pada 1970, turut menubuhkan Universiti

Kebangsaan Malaysia sebagai satu lagi usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa

ilmu.

Tindakan pihak kerajaan ini juga perlu dilihat melalui lensa perundangan. Untuk tujuan ini,

kita perlu melihat beberapa peruntukan perlembagaan yang berkaitan, dan perbahasan-

perbahasan yang bersangkut-paut dengan perkara ini. Terdapat tiga peruntukan penting dalam

undang-undang Malaysia berkait perkara ini. Pertama, Perkara 152 (1) Perlembagaan

Persekutuan menetapkan bahawa “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah

dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen”. Kemudian,

berkenaan soal tulisan yang paling sesuai untuk urusan rasmi dalam Bahasa Melayu, Akta

Bahasa Kebangsaan 1963/67 melalui Seksyen 9 menyatakan begini, “Tulisan bagi bahasa

kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan

Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.” Justeru

adalah jelas, bahawa dalam konteks Malaysia selepas merdeka, tulisan rasmi bagi Bahasa

Melayu ialah tulisan Rumi tanpa menafikan tulisan Jawi. Tentulah, gaya bahasa peruntukan

ini ditulis mempunyai implikasi besar terutamanya kepada fokus kerja-kerja perumian dan

pengabaian tulisan Jawi dari tahun ke tahun.

Peruntukan ini membuka ruang kepada proses perumian besar-besaran Bahasa Melayu

seiring dengan aspirasi para nasionalis sebelum merdeka. Seterusnya, Akta Pendidikan 1996

Page 10: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

9

juga telah membuka ruang untuk Bahasa Melayu (dengan tulisan Rumi) menjadi bahasa

pengantar utama di sekolah-sekolah di Malaysia. Sesuai dengan peruntukan Seksyen 17 (1)

Akta tersebut, “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua

institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan

yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang

dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.” Jika dibaca bersama dengan Akta

Bahasa Kebangsaan, bahasa kebangsaan yang dimaksudkan itu adalah dalam tulisan Rumi.

Tidak ada langsung sebutan “tulisan Jawi” dalam Akta Pendidikan ini, meskipun di Seksyen

50 yang berfokus kepada pendidikan agama. Hal ini mungkin tidak begitu penting, tetapi ia

menunjukkan fokus yang sudah hilang terhadap pendidikan tulisan Jawi melalui peruntukan

undang-undang pendidikan negara.

Untuk memahami perbahasan di peringkat perundangan, kita perlu merujuk hansard Parlimen

yang membahaskan perkara ini di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dengan cara

itu, kita akan lebih memahami apakah hujah-hujah yang menjadi pertimbangan pembuat

dasar pada ketika itu. Perdebatan di Dewan Rakyat tentang tulisan rasmi Bahasa Melayu telah

bermula sejak tahun 1959 lagi, apabila Dato’ Onn Jaafar, Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Selatan, Terengganu daripada Parti Negara mencadangkan supaya ditetapkan skrip Jawi

sebagai skrip rasmi Bahasa Melayu, dan pada masa yang sama skrip Rumi juga turut

digunakan. Ini merupakan saranan asal beliau di Dewan Rakyat pada 14 Disember 1959:

…That the script of the National Language shall be the Malay Script, more commonly known

as the Jawi Script, concurrently with the Latin Script, more commonly known as the Rumi

Script (Dewan Rakyat, 1959, 14 Disember, kol. 1561)

Setelah itu, perbahasan Dewan Rakyat menjurus kepada urutan Rumi dan Jawi dalam

peruntukan tersebut. Menurut Dato’ Onn lagi, orang-orang Melayu di bandar telah mula

mempelajari tulisan Rumi, tetapi majoriti orang Melayu di kampung dan kawasan luar bandar

masih secara umumnya menggunakan tulisan Jawi. Namun, beliau juga mengakui bahawa

bagi orang bukan Melayu, penggunaan tulisan Rumi adalah lebih munasabah kerana ia akan

memudahkan mereka semua belajar dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan. Untuk mencapai jalan tengah yang adil, maka beliau mencadangkan supaya

kedua-dua skrip tulisan menjadi tulisan rasmi untuk Bahasa Melayu, dengan tulisan Jawi

disebut dahulu. Pun begitu, dalam perbahasan lanjut, beliau mengakui bahawa kelebihan

tulisan Rumi adalah lebih besar berbanding tulisan Jawi, namun untuk mengutamakan tulisan

Rumi pada ketika itu masih tidak praktikal (Dewan Rakyat, 1959, 14 Disember, kol. 1564).

Kemudian, perbahasan diteruskan dengan cadangan pindaan oleh Abdul Hamid Khan

Sakhawat Ali Khan, Ahli Parlimen Batang Padang, Perak daripada UMNO. Ketika ini, urutan

tulisan diubah kepada tulisan Rumi disebut dahulu, dan kemudian barulah tulisan Jawi.

Menurut beliau, perkara ini bertepatan dengan Penyata Razak 1956, iaitu tulisan Rumi

hendaklah digunakan bagi pengajaran bahasa kebangsaan, selain untuk memudahkan semua

bangsa di Malaysia mempelajari bahasa tersebut. Tambahan lagi, proses penterjemahan

karya-karya sains, falsafah, dan ilmu-ilmu moden pun akan menjadi lebih mudah dengan

tulisan Rumi, apabila istilah-istilah khusus yang berasal daripada bahasa lain mahu dialih ke

Bahasa Melayu (Vente, 1981; Ibrahim, 2014). Isu penyatuan Bahasa Melayu di Malaysia

dengan Bahasa Indonesia turut disentuh, dan perkara ini juga menjadi justifikasi beliau

terhadap mengapa beliau mahu meminda peruntukan itu supaya diletakkan tulisan Rumi

Page 11: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

10

mendahului tulisan Jawi. 12 Bahkan, disebut juga bahawa Malaysia pernah membuat

perjanjian dengan Indonesia untuk saling menyatupadukan tulisan Rumi Bahasa Melayu.

Satu bantahan teknikal datang daripada Lim Kean Siew, Ahli Parlimen Datuk Keramat, Pulau

Pinang daripada Fron Sosialis, apabila beliau mengajukan peruntukan asal Perkara 152 (1)

Perlembagaan Persekutuan, yang hanya menyebut perkataan “script,” bukan “scripts,” justeru

cadangan akta tadi boleh jadi bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia membawa

implikasi wujudnya dua sistem tulisan serentak bagi Bahasa Melayu. Hal ini direspon oleh

Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak bahawa menurut General Clauses Ordinance

1948, kata tunggal juga boleh ditafsir sebagai kata ganda dan sebaliknya. Selain itu, Lim

Kean Siew turut membawa hujah berkenaan pengorbanan setara yang perlu dilakukan oleh

semua anak bangsa Malaya ketika itu. Beliau menyatakan komitmen masyarakat bukan

Melayu untuk menjunjung Bahasa Melayu, tetapi untuk melancarkan proses pembelajaran

semua pihak, tulisan Rumi haruslah diberi keutamaan. Memanglah, bagi ramai rakyat

berbangsa Melayu, mereka lebih terbiasa dengan tulisan Jawi secara tradisi ketika itu, tetapi

untuk membina “satu bangsa, satu negara, satu bahasa, dan satu tulisan,” semua pihak harus

melakukan pengorbanan secara bersama-sama (Dewan Rakyat, 1959, 14 Disember, kol. 1579-

1583).

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman turut menyumbang dalam perbahasan tersebut,

apabila beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk membangunkan potensi Bahasa Melayu

sebagai bahasa ilmu dan komunikasi serantau Asia Tenggara melalui tulisan yang paling

praktikal di peringkat antarabangsa. Namun, kerajaan tidak akan sekali-kali menafikan tulisan

Jawi, malah ia akan tetap digunapakai, bahkan para pelajar masih dikehendaki untuk belajar

kedua-dua tulisan secara serentak. Pada masa yang sama, kerajaan juga hendak

menggalakkan pengajian saintifik di universiti-universiti, maka adalah lebih kondusif jika

tulisan Rumi dikembangkan sebesar-besarnya sebagai sarana ilmiah. Tunku turut memetik

kes Bahasa Turki yang mengubah ke tulisan Rumi juga (Dewan Rakyat, 14 Disember 1959 kol.

1588-1590).

Bacaan pertama untuk menggubal Akta Bahasa Kebangsaan telah dilakukan pada 28

November 1962, manakala bacaan kedua pula pada 11 Mac 1963 di Dewan Rakyat. Tun

Abdul Razak membentangkan rasional yang serupa dalam perbahasannya, iaitu tulisan Rumi

ialah tulisan piawai di peringkat antarabangsa. Namun, kerajaan sekali-kali tidak akan

meninggalkan atau mengabaikan tulisan Jawi kerana bagi negeri-negeri seperti Kedah, Johor,

Perlis, dan Kelantan, tulisan Jawi sedang digunakan dengan meluas untuk urusan kerajaan

pada ketika itu (Dewan Rakyat, 1963, 11 Mac, kol. 3910-3912). Satu kegusaran telah disuarakan

oleh Zulkiflee Muhammad, Ahli Parlimen Bachok, Kelantan daripada PAS, bahawa frasa

“tidak menegah penggunaan tulisan Jawi” hanyalah berbentuk satu kelulusan. Adalah lebih

patut jika kerajaan sendiri mencadangkan untuk menggalakkan tulisan Jawi meskipun tidak

sampai setaraf dengan tulisan Rumi. Memandangkan perbezaan jumlah penggunaan antara

tulisan Rumi dengan tulisan Jawi adalah ketara di sekolah-sekolah, adalah boleh dijangka jika

tulisan Jawi akan dilupakan begitu saja pada masa depan, justeru bercanggah dengan

semangat asal peruntukan yang dibahaskan sejak tahun 1959 itu—bahawa tulisan Rumi dan

12 Perjanjian Persahabatan antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia telah

ditandatangani pada 17 April 1959. Salah satu kerjasama yang dijanjikan ialah kesepaduan bahasa Melayu-

Indonesia (Sharif Adam, 2010).

Page 12: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

11

Jawi boleh dipakai serentak. Hujah ini penting kerana menggunapakai logik tindakan

afirmatif ke atas penggunaan tulisan. Beliau menyimpulkan begini:

Mengwujudkan satu provision samata2 dengan mengatakan tidak apalah tulisan jawi kalau

hendak hidup ada-lah satu perkara yang tidak sa-suai dengan semangat keputusan yang telah di-

putuskan dalam Dewan ini. Tuan Yang di-Pertua, tulisan jawi tidak diluluskan dalam Dewan ini

sa-bagai tulisan yang sejajar kalau tidak ada kepentingan-nya dan kalau tidak ada kerana

kedudokan yang kuat dan kokoh dalam negeri ini. Tulisan jawi ini-lah yang mendokong bahasa

kebangsaan beberapa lama sa-belum wujud tulisan rumi. Maka oleh sebab yang demikian,

sudah pada tempat-nya Kerajaan menegakkan dasar-nya bahawa bahagian kelulusan atau

bahagian mengambil berat di-dalam tulisan jawi di-tegaskan lebeh banyak daripada sekarang,

terutama sa-kali dalam Kementerian Pelajaran (Dewan Rakyat, 1963, 11 Mac, kol. 3913).

Respon Tun Abdul Razak adalah tindakan menggalakkan penggunaan Jawi supaya tidak

dilupakan itu tidaklah mustahak, kerana yang lebih penting untuk kerajaan pada ketika itu

adalah untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan kepada semua lapisan

masyarakat. 13 Beliau mengulang sekali lagi hujah bahawa tulisan Rumi adalah bersifat

“internasional” dan akan memudahkan semua kaum mempelajari Bahasa Melayu. Pada masa

yang sama, beliau turut menyentuh akan perlunya syarat-syarat tertentu seperti syarat

perjawatan kerajaan berkaitan kemampuan berbahasa Melayu, supaya bahasa kebangsaan

terus hidup dan digunapakai (Dewan Rakyat, 1963, 11 Mac, kol. 3915). Secara retrospektif,

barangkali cadangan Zulkiflee Muhammad itu ada rasionalnya, apabila kita mengambil kira

trajektori sejarah sistem tulisan di negara kita.

Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, perbahasan di Dewan Negara pula hanya mengulang

noktah perbincangan yang sama. Sekali lagi, kegusaran Zulkiflee Muhammad tadi disuarakan

kembali oleh Senator Nik Hassan bin Haji Nik Yahya dari Kelantan, bahawasanya kerajaan

perlu menggalakkan pembelajaran tulisan Jawi. Rasional beliau adalah, jika satu tulisan saja

ditekankan dalam pendidikan, akan ada kemungkinan kekeliruan di kalangan orang awam,

dan akan memudahkan kejadian tipu-menipu dalam urusan perniagaan, percukaian, dan

pengeluaran resit transaksi (Dewan Negara, 1963, 15 Mac, kol. 552-554). Kemudian, Senator

Wan Ahmad Wan Daud yang mewakili negeri Perlis pula menambah bahawa banyak nama

orang Melayu tidak boleh disebut dengan betul tanpa mengetahui ejaan Arabnya yang asal.

Ejaan Arab ini hanya diketahui jika seseorang boleh membaca Jawi, kerana bunyi huruf-

huruf tersebut tidak ada setaranya dalam tulisan Rumi, seperti nama “Fatehah” dan “Saleh.”

Justeru, beliau turut mencadangkan supaya jika ejaan Rumi digunakan untuk nama-nama ini,

bolehlah diletakkan juga ejaan Jawi nama-nama tersebut dalam kurungan selepasnya (Dewan

Negara, 1963, 15 Mac, kol. 555).

Sekalipun peruntukan-peruntukan undang-undang untuk mengembangkan Bahasa Melayu

bertulisan Rumi sudah ada sejak awal 1960-an lagi seperti yang telah kita tinjau di atas, tetapi

hanya apabila Khir Johari menjadi Menteri Pendidikan buat kali kedua (1966-1970), kerja-

kerja mengembangkan perumian Bahasa Melayu di sekolah-sekolah dijalankan dengan giat.

Beliau telah menjalankan peruntukan Akta Bahasa Kebangsaan ini dengan mengembangkan

13 Ketika masalah antara Malaya-Singapura yang membawa kepada perpisahan kedua-dua negara tersebut, Lee

Kuan Yew turut tidak selesa dengan akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi yang ditulis dengan kecenderungan

nasionalis Melayu (Fletcher, 1969; h. 62).

Page 13: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

12

pengajian tulisan Rumi sebagai tulisan utama Bahasa Melayu di sekolah-sekolah seluruh

Malaysia.

Analisis Hujah

Di bahagian ini, kita akan menganalisis hujah-hujah pro-Jawi dan anti-Jawi. Terdapat

beberapa isu yang perlu kita fokus di bahagian ini.

Pertama, kita akan meneliti hujah kontemporari dari pihak pro- dan anti-Jawi. Seperti yang

telah disebut di permulaan, golongan anti-Jawi menyamaertikan Jawi dengan proses

“Islamisasi” dan “Arabisasi.” Dalam konteks Malaysia yang telah melalui proses

pengembangan institusi agama Islam sejak tahun 1980-an, kerisauan ini dapat difahami.

Namun, Jawi itu sendiri tidak boleh dikatakan sebagai “Arabisasi” atau “Islamisasi.” Hal ini

adalah disebabkan dua perkara: bahasa dan tulisan merupakan dua hal berbeza, dan Jawi

tidak semestinya digunakan untuk tujuan “agama Islam.”

Dalam sejarah manusia, bahasa dan tulisan bukanlah sesuatu yang boleh disamakan secara

langsung. Walaupun terdapat sistem tulisan yang lahir dari bahasa-bahasa tertentu, namun

perkara itu tidak menghalang bahasa lain untuk turut menggunakan sistem tulisan tersebut.

Contoh paling mudah ialah sistem tulisan Bahasa Cina (汉字). Apabila ia sampai ke Jepun, ia

menjadi Kanji (漢字) untuk menulis Bahasa Jepun (Kawade Shobo Shinsha, 1985). Begitu

juga di Vietnam dan Korea, apabila karakter Cina yang sama digunakan tetapi untuk menulis

Bahasa Vietnam dan Korea, sebelum Bahasa Vietnam dirumikan dan tulisan Hangul dicipta

di Korea. Dalam kes Jawi, perkara yang sama berlaku. Sistem tulisan yang berasal dari

Bahasa Arab itu diubahsuai dan digunakan untuk menulis Bahasa Melayu. Sebelum Jawi,

Bahasa Melayu turut ditulis dengan sistem-sistem lain seperti aksara rencong. Perkara ini

boleh dilihat melalui jadual di bawah:

Perkataan Tulisan Jawi Aksara Rencong

Saya

ساي

Jala

جالا

Jadual 1

Dalam Jadual 1 di atas, kita dapat melihat bagaimana perkataan-perkataan Bahasa Melayu

boleh ditulis dalam tiga skrip berbeza, iaitu tulisan Rumi, tulisan Jawi, dan aksara rencong.

Hal ini menunjukkan bagaimana sesuatu tulisan boleh berasal dari mana-mana budaya atau

bahasa, tetapi ia boleh juga digunakan untuk menulis sesuatu bahasa lain.

Seterusnya, tulisan Jawi tidak semestinya digunakan untuk tujuan agama Islam. Sebelum ini,

kita sudah melihat bagaimana Abdullah Munshi telah menterjemah Bible ke Bahasa Melayu

Page 14: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

13

dalam tulisan Jawi. Bahkan, iklan-iklan minuman beralkohol selepas merdeka di Malaya

turut ditulis dalam Jawi.

Gambar 1: Bible bertulisan Jawi. Tajuk bertulis “Injil al-Kudus: Tersurat oleh

Matthew.”

Page 15: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

14

Gambar 2: Iklan Tiger Beer (1933). Teks bertulis: “Beer Cap Harimau. Beli dan

minum ini beer yang paling baik sekali dengan harga yang murah.” Sumber: Fariza

Azlina Isahak, Arkib Negara Malaysia.

Page 16: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

15

Gambar 3: Iklan Tiger Beer (1933). Teks bertulis: “Kemudian daripada satu

permainan dapatkan Tiger Beer. Ia menyimpan awak kuat dan sihat.” Perhatikan

lelaki-lelaki bersongkok dalam iklan ini. Sumber: Fariza Azlina Isahak, Arkib Negara

Malaysia.

Page 17: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

16

Gambar 4: Iklan Tiger Beer (1933). Teks bertulis: “Mereka mengetahui apa yang

disukai oleh orang-orang mereka. Mereka pun suka juga! Tiger Beer!” Perhatikan imej

perempuan-perempuan berbaju kurung dan berkerudung dalam iklan. Sumber: Fariza

Azlina Isahak, Arkib Negara Malaysia.

Selain iklan arak, tulisan Jawi turut digunakan untuk menulis cerita yang bercanggah dengan

kesopanan “Melayu-Islam” seperti cerita-cerita lucah dan erotis. Perkara ini pastilah

membuktikan bahawa tulisan Jawi hanyalah satu bentuk tulisan, dan setelah zaman-berzaman,

ia tidak semestinya melambangkan agama Islam.

Page 18: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

17

Gambar 5: Buku cerita erotis, Perempuan dan Takdir (1963) oleh Wijaya Kemala.

Terbitan H.C. Mohd Abdul Rahman, Marang.

Kesemua contoh di atas menunjukkan bahawa Jawi digunakan sebagai tulisan Bahasa

Melayu, dan ia tidak semestinya digunakan untuk tujuan agama Islam—malah digunakan

untuk hal-hal “dosa” yang melanggar perintah agama Islam pula, seperti iklan arak dan

cerita-cerita erotis. 14 Maka, dari sini, kita perlu sedar bahawa pembelajaran Jawi tidak

bermaksud “Islamisasi” atau “Arabisasi.”

Bagi pihak pro-Jawi kontemporari pula, hujah oleh politikus seperti Nik Omar Nik Abdul

Aziz,15 iaitu Jawi akan memudahkan proses membaca Quran, dan menjadi identiti umat Islam

adalah rasional secara permukaan, tetapi jika diteliti, hujah ini juga tidak tepat. Hal ini kerana,

logik pembacaan tulisan Jawi Bahasa Melayu dengan pembacaan Bahasa Arab adalah

berbeza. Ada banyak contoh bagaimana ejaan yang sama dalam tulisan Jawi dan Arab,

sebutannya berbeza sama sekali. Perkara ini sebahagiannya boleh ditunjukkan dalam jadual

di bawah:

14 Untuk direktori yang lebih lengkap tentang buku-buku yang pernah terbit dalam tulisan Jawi, lihat Pusat

Rujukan Sehenti Penyelidikan Alam Melayu yang diselenggarakan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu

(ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. 15 Hujah ini pernah juga disebut lama sebelum ini oleh Allahyarham bapa beliau, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lihat laporan-laporan berita seperti Abdullah (2019, 4 Ogos) dan BERNAMA (2019).

Page 19: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

18

Tulisan Bacaan Jawi Bacaan Arab Maksud Perkataan Arab

أمنو

UMNO

Āmanū

Orang-orang beriman

لمس

lemas

lamasa

Menyentuh

Jadual 2: Perbezaan kaedah sebutan antara tulisan Jawi dan tulisan Arab.

Seterusnya, pembacaan Quran memerlukan ilmu-ilmu tambahan yang tidak terdapat dalam

pembacaan tulisan Jawi, khususnya ilmu tajwid. Tajwid ialah disiplin menyebut setiap

bacaan dalam Quran dengan cara yang khusus, maka mereka yang hanya tahu membaca Jawi

tetapi tidak memahami tajwid, tidaklah boleh membaca Quran dengan betul. Justeru, hujah

pro-Jawi yang meromantiskan Jawi sebagai jalan untuk mempelajari pembacaan Quran

adalah tidak tepat. Ia boleh memudahkan proses belajar membaca Quran, tetapi kemampuan

membaca Jawi masih tidak bermaksud kemampuan membaca Quran, dan begitu juga

sebaliknya. Pada masa yang sama, hujah tentang identiti Muslim juga tidak semestinya benar,

kerana seperti yang telah kita lihat di atas, Jawi tidak bermaksud tulisan yang membawa

identiti Muslim, bahkan ia digunakan pula untuk aktiviti yang bercanggah dengan Islam atau

menulis terjemahan kitab suci agama selain Islam.

Kedua, kita akan melihat hujah-hujah inteligensia Melayu antara pro-Jawi dengan pro-Rumi.

Hujah pro-Jawi, seperti oleh Sheikh Abdullah Basmih, banyak yang hanya berkisar kepada

kedudukan Jawi sebagai penanda identiti Muslim Nusantara, memudahkan proses belajar

membaca Quran, dan sebagai simbol bagi warisan Islam. Mungkin hujah yang paling kuat

ialah simbol warisan Islam, kerana Islam di Nusantara memang menggunakan tulisan Jawi

sebagai sarana intelektual dan penyebaran keagamaan. Pun begitu, seperti yang telah

diterangkan di atas, Jawi sebagai identiti “Muslim” dan “membaca Jawi akan membantu

membaca Quran” tidaklah tepat sepenuhnya.

Bagi hujah inteligensia seperti Za’ba dan pemikir-pemikir lain yang menyokong perumian

pula, mereka melihat kepada proses memudahkan pengistilahan saintifik dan penyesuaian

dengan zaman, apabila munculnya mesin cetak. Hujah pengistilahan saintifik ini juga

sebenarnya tidak tepat sepenuhnya, apabila perkataan-perkataan saintifik dari Bahasa

Inggeris (atau lain-lain Bahasa Eropah) perlu disesuaikan dulu, barulah dirumikan sebagai

istilah rasmi. Perkara ini disinggung panjang oleh tokoh-tokoh awal DBP seperti Hassan

Ahmad dan Syed Nasir, ketika mereka membahaskan tentang cabaran penterjemahan istilah

saintifik ke dalam Bahasa Melayu, yang hakikatnya tidak semudah me-Melayukan ejaan

Bahasa Inggeris (Ahmad, 1988). Ia mungkin memudahkan proses penyesuaian ejaan, tetapi

masih tidak mengelakkan Bahasa Melayu daripada perlu menjalani proses sukar penyesuaian

istilah.

Seterusnya, hujah tentang mesin cetak pula hanya benar ketika belum adanya komputer

digital yang mampu memproses huruf Jawi bersama sistem penyambungannya. Za’ba

berhujah dalam konteks masyarakatnya ketika itu yang melihat mesin cetak analog sebagai

teknologi tercanggih, yang sudah tidak lagi relevan kini. Pada masa ini, mungkin kesukaran

Page 20: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

19

menulis Jawi dan Rumi secara digital tidaklah berbeza secara ekstrem seperti pada zaman

mesin cetak dahulu.

Ketiga, hujah-hujah pembuat dasar di Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu hanya mengitar

semula saja hujah-hujah golongan inteligensia yang telah kita tinjau tadi. Justeru, kita tidak

perlu meninjau dengan panjang lebar lagi. Kemudian, kita juga perlu melihat hujah-hujah

politikus di ruang awam selepas merdeka sebagai reaksi kepada kegiatan perumian.

Kebanyakan hujah ini datang daripada politikus dari PAS sebagai respon terhadap usaha Khir

Johari. Menurut politikus PAS mutakhir ini, Khir Johari bersalah kerana telah memansuhkan

tulisan Jawi. Perkara ini telah menjadikan istilah-istilah yang berasal dari kosa kata Arab-

Islam telah hilang makna sebenarnya ekoran perumian. Justeru, terdapat masalah sosial yang

berlaku akibat kegagalan umat Islam di Malaysia kini menghayati agamanya sendiri.16

Terdapat beberapa masalah serius dalam penghujahan sebegini. Pertama, secara sejarawi,

Khir Johari tidak memansuhkan tulisan Jawi, tetapi semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran

kali kedua, proses perumian dilakukan terhadap hampir semua mata pelajaran di sekolah-

sekolah sebagai kesinambungan kepada dasar-dasar yang telah ditetapkan daripada Akta

Bahasa Kebangsaan, Penyata Razak, dan Penyata Rahman Talib sebelum itu. Kesannya,

memang tulisan Jawi terpinggir tetapi tidak dimansuhkan. Kedua, memang benar ungkapan

asal dari kosa kata Arab-Islam itu tidak dapat dilihat melalui ejaan Rumi, tetapi biarpun

menggunakan ejaan Jawi, jika seseorang tidak memahami Bahasa Arab, makna sebenarnya

tidak boleh diketahui juga. Terdapat satu jambatan logik yang dilompat di sini. Ketiga, tidak

ada korelasi antara “mengetahui makna sebenar dalam kosa kata Arab-Islam” bagi sesuatu

perkataan dengan peningkatan masalah sosial. Jika korelasinya ada, maka pastilah

masyarakat Arab yang setiap hari berbahasa Arab akan mempunyai masalah sosial paling

rendah di dunia.

Kesimpulan

Daripada tinjauan terhadap sejarah tulisan Jawi dan bagaimana proses perumian berlaku, kita

dapati bahawa prosesnya bukanlah berlaku secara linear dan sehala sahaja. Terdapat beberapa

perbahasan penting sepanjang proses tersebut, walaupun majoriti pemikir dan pembuat dasar

lebih memberat kepada proses perumian sejak awal abad ke-20 lagi. Namun, satu hakikat

yang tidak dapat dinafikan ialah, tulisan Jawi merupakan sebahagian warisan daripada sejarah

Bahasa Melayu yang panjang itu. Ia telah melalui pelbagai proses, daripada penjawian,

penyebaran Bahasa Melayu menjadi lingua franca yang medium tulisannya ialah Jawi,

sehinggalah kepada pemodenan sistem tulisan tersebut. Bahasa Melayu yang kini dituturkan

di Malaysia pernah hidup dan membesar dalam rahim tulisan Jawi, maka sebagai rakyat

Malaysia, adalah penting untuk turut serta memahami bahagian sejarah bahasa kebangsaan

yang signifikan ini.

16 Lihat pendapat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam artikel Sinar Harian (2013). Hujah ini juga boleh

jadi berkait dengan asosiasi pendidikan sedia ada bahawa Jawi merupakan tulisan yang digunakan dalam

Pendidikan Islam (Abdullah & Liu, 2018).

Page 21: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

20

BIBLIOGRAFI

A. Kasim, K.B. & Muhamad, A. (2015). Saranan HAMKA Terhadap Perpaduan Bangsa

Serumpun Malaysia—Indonesia. International Journal of the Malay World and Civilisation;

3(1).

Abdullah, N.A.T. & Liu, O.P. (2018). Latar Belakang Sejarah Sistem Pendidikan Dan

Masyarakat Majoriti Minoriti Di Malaysia [Pembentangan Kertas Kerja]. International

Colloquium on Integration Platform: Binding Differences and Diversity.

Abdullah, S.M. (2019, 4 Ogos). YADIM Supports Government’s Move on Khat. New Straits

Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/08/510022/yadim-supports-govts-move-

khat

Ahmad, H. (1988). Bahasa, Sastera, Buku: Cetusan Fikiran. Kuala Lumpur: DBP.

Al-Attas, S.M.N. (1972). Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. UKM.

Alisjahbana, S.T. (Ed.) (1967). The Modernization of Languages in Asia. Malaysian Society

of Asian Studies.

BERNAMA (2019, 6 Ogos). YADIM Sokong Pengenalan Tulisan Jawi, Seni Khat: Nik Omar.

Sinar Harian. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/08/510022/yadim-supports-govts-

move-khat

Blagden, C.O. (1930). Two Malay Letters from Ternate in the Moluccas, Written in 1521 and

1522. Bulletin of the School of Oriental Studies, Vol. 6, No. 1; h. 87-101.

Borham, A.J. (2012). Tulisan Jawi: Tulisan Serantau. [Pembentangan Kertas Kerja].

Ucaptama Seminar Tulisan Jawi dan Teknologi Peringkat Kebangsaaan 2012, Universiti

Malaysia Pahang.

Collins, J.T. (2018). Malay, World Language: A Short History (3rd Ed.). DBP.

de Bellaigue, C. (2018). The Islamic Enlightenment: The Modern Struggle Between Faith and

Reason. Vintage.

Dewan Negara. (1963, 15 Mac). Parliamentary Debates Official Report [Hansard], vol. 4 no.

7. [Versi elektronik]. https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DN-15031963.pdf

Dewan Rakyat. (1959, 14 Disember). Parliamentary Debates Official Report [Hansard], vol.

1 no. 16. [Versi elektronik]. https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-14121959.pdf

Dewan Rakyat. (1963, 11 Mac). Parliamentary Debates Official Report [Hansard], vol. 4 no.

37. ([Versi elektronik]. https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-11031963.pdf

Dungcik, M. (2017). Jawi’s Writing as a Malay Islamic Intellectual Tradition. Journal of

Malay Islamic Studies, Vol. 1, No. 2.

Finkel, C. (2005). Osman’s Dream: A History of the Ottoman Empire. Basic Books.

Page 22: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

21

Fletcher, N.M. (1969). The Separation of Singapore from Malaysia. Data Paper, No. 73.

Ithaca: Cornell University.

Gallop, A.T. (2007). Elevatio in Malay Diplomatics. AnIsl 41 (2007), h. 41-57.

Gallop, A.T. (2013, 22 Ogos). A ‘Golden Letter’ in Malay to Napoleon III. British Library.

https://blogs.bl.uk/asian-and-african/2013/08/a-golden-letter-in-malay-to-napoleon-iii.html

Gordon, A. (2018). Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady; terj. Mohd Rashidi Nasharuddin &

Shuhaib Ar Rumy Ismail. IRF.

HAMKA. (1952, Februari). Majalah Qalam, bilangan 19.

Hassan, A. (Ed.) (2007). Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI (1952-2002).

Persatuan Penterjemah Malaysia.

Hj. Omar, A. (2014). Za’ba: Ahli Fikir dan Ahli Bahasa. DBP.

Hunt, R.A. (1989). The History of the Translation of the Bible into Bahasa Malaysia.

JMBRAS, Vol 52, Part 1; h. 35-56.

Ibrahim, A. (2014). Bahasa dan Tantangan Intelektualisme. SIRD.

Marsden, W. (1984). A Dictionary and Grammar of the Malayan Language. Oxford

University Press.

Nahar, N. & Safar, J. (2016). Pengajaran Jawi Berkesan Dalam Usaha Memartabatkan

Warisan Budaya Bangsa [Pembentangan Kertas Kerja]. Proceedings of the International

Conference on Education towards Global Peace.

Kawade Shobo Shinsha. (1985). Kanji. Dalam Nihon Rekishi Daijiten [“Kamus Besar Sejarah

Jepun”] (Jilid 3, p. 288).

Okubo, T. (1988). Bungaku to Kyouiku no Ronri [“Perbahasan tentang Sastera dan

Pendidikan.”]. Koubundo.

Pigafetta, A. (1969). Magellan’s Voyage: A Narrative Account of the 1st Navigation. Terj.

Skelton, R.A. The Folio Society.

Pusat Rujukan Sehenti Penyelidikan Alam Melayu (tiada tarikh). Antara Buku Tulisan Jawi

Terawal Mengikut Susunan Kronologi (1920-1960).

http://www.malaycivilization.com.my/exhibits/show/karya-jawi/antara-buku-tulisan-jawi-

teraw

Roff, W.R. (2009). Studies on Islam and Society in Southeast Asia. NUS Press.

Rogan, E. (2015). The Fall of the Ottomans. Vintage.

Rosli, Muhammad Syukri [Pengarah Akademi Jawi Malaysia]. (2020, 25 Ogos). Komunikasi

peribadi [panggilan Zoom].

Page 23: Jawi dan Pendidikan: Perspektif Sejarah...Pada masa yang sama, salah satu sebab mengapa hujah “Islamisasi” di atas mendapat sambutan adalah kerana golongan pro-Jawi turut menggunapakai

22

Sharif Adam, S.D. (2010). Perjuangan dan Cabaran Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan di

Malaysia 1957-1966. Jurnal Sejarah, Vol. 18, No. 18.

Sinar Harian (2013, 20 Februari). UMNO Dipersalah Hapus Tulisan Jawi. Sinar Harian.

https://www.sinarharian.com.my/politik/umno-dipersalah-hapus-tulisan-jawi-1.132811

Takenishi, H. (1995). Nihon no Bungaku Ron [“Wacana Sastera Jepun”]. Kodansha.

Uthman, M.Z. (Ed.). (2012). Batu Bersurat of Terengganu: Its Correct Date, Religio-

Cultural, and Scientific Dimensions. Jabatan Warisan Negara.

Vente, R.E., Bathal, R.S. & Nakooda, R.M. (1981). Cultural Heritage Versus Technological

Development. Maruzen Asia.

Za’ba (2013). Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya. Klasika Media.

__________________________________________________________________________________________

Hazman Baharom ialah seorang pensyarah, penulis, dan penterjemah. Beliau telah

menulis dua buku, menterjemah tiga buku, dan menterjemah sastera Jepun seperti

cerpen-cerpen Kawabata Yasunari ke Bahasa Melayu.

Alamat Emel: [email protected]