Download - Hari Aneka Bakat 2014
Hari Aneka Bakat 2014
Pada 3hb Nov (Isnin) yang lalu, telah berlangsung Hari Aneka Bakat 2014 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Pelbagai acara dipertandingkan dalam Hari Aneka Bakat tersebut. Antaranya ialah :
Acara sebelah pagi :
Pertandingan Pakaian Kebangsaan Prasekolah
Acara sebelah petang :
Pertandingan Nyanyian Solo
Pertandingan Nyanyian Berkumpulan
Pertandingan Bermain Alat Muzik
Pertandingan Lawak Jenaka
Pelbagai aksi dan persembahan menarik tercetus dalam Hari Aneka Bakat pada petang tersebut. Setiap persembahan dinilai oleh juri hakim yang telah dilantik dan keputusan untuk para pemenang akan diumum dalam perhimpunan pada minggu hadapan. Turut hadir menyaksikan Hari Aneka Bakat pada pagi dan petang tersebut ialah para ibu bapa murid-murid yang mengambil bahagian. Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada Panitia Muzik dan guru-guru yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Hari Aneka Bakat pada hari tersebut.
Pertandingan Sepak Takraw dan Bola Jaring Antara Rumah Sukan
Pada 21-23hb Oktober yang lalu bertempat di Dataran Terbuka SK Mukah, telah diadakan Pertandingan Sepak Takraw dan Bola Jaring antara Rumah Sukan. Pertandingan ini disertai oleh murid-murid Tahap 2 sahaja. Semua guru rumah sukan telah menyediakan pasukan masing-masing untuk berentap dalam pertandingan tersebut.
Tahniah buat semua yang terlibat menjayakan Pertandingan Sepak Takraw dan Bola Jaring antara Rumah Sukan tersebut. Keputusan dan hadiah kepada para pemenang akan diumum dan disampaikan dalam majlis perhimpunan minggu hadapan. Harap maklum.
Hari Sukan Sekolah
Pada 15hb hingga 17hb Oktober yang lalu telah berlangsung Hari Sukan Sekolah dengan jayanya bertempat di Padang SK Mukah. Walaupun Daerah Mukah dilanda musim hujan, ditambah dengan keadaan padang yang berbecak namun semua itu tidak melemahkan semangat kesukanan murid-murid dan menjejaskan aktiviti yang telah dirancang. Berikut merupakan aktiviti-aktiviti sempena Hari Sukan Sekolah yang telah diadakan sepanjang 3 hari yang lalu :
15hb Oktober :
Sukaneka Prasekolah dan Tahap 1
Lompat Jauh
Lompat Tinggi
Lontar Peluru
Acara Balapan
16hb Oktober :
Acara Perasmian Sukaneka PPKI
Sukaneka PPKI
Senam Robik
Acara Balapan
Acara Khas Pemilihan Atlet Sekolah ke acara jemputan
Raptai Majlis Penangguhan Hari Sukan
17hb Oktober :
Acara Perbarisan dan Lintas Hormat Kontijen Rumah Sukan
Nyanyian Lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan 1 Murid 1 Sukan
Bacaan Doa
Ucapan YDP PIBG dan Ucapan Perasmian Penangguhan Hari Sukan oleh En.Samsu, Penolong Pegawai Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Mukah.
Ikrar Hari Sukan
Acara Jemputan : Lari 100meter dan 4x100meter
Penyampaian Hadiah dan Medal
Antara sekolah yang menerima jemputan kita ke acara yang dipertandingkan ialah :
SK Kg.Tellian
SK Dua Sungai
SKJ(C) Chong Boon
SK St. Patrick
Olahragawan SK Mukah 2014 telah disandang oleh Abang Izzul Syahmi dari Tahun 5MB (Rumah Kuning) manakala gelaran Olahragawati SK Mukah dimenangi oleh Petra Nabila dari Tahun 6PA (Rumah Hijau). Secara keseluruhannya kedudukan rumah sukan adalah seperti berikut :
Johan : Rumah Hijau
Naib Johan : Rumah Kuning
Tempat ketiga : Rumah Biru
Tempat keempat : Rumah Merah
Acara khas iaitu acara perbarisan terbaik telah dimenangi oleh Kontijen Rumah Biru.
Pihak sekolah dan pihak PIBG SK Mukah mengucapkan tahniah buat semua guru-guru dan staf sekolah yang terlibat dalam menjayakan Hari Sukan Sekolah 2014.
Action Song dan Kalam Jama'ie Peringkat Negeri
Sepertimana yang telah diketahui ramai bahawa pada 2 Oktober yang lalu, pasukan Action Song sekolah kita telah bertolak bersama-sama jurulatih dan guru pengiring mereka ke Sibu baru-baru ini untuk menghadapi saingan di Pertandingan Action Song Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan di SMK Methodist Sibu.
Selain itu, untuk pengetahuan semua pada hari yang sama beberapa orang murid SK Mukah yang mewakili pasukan Kalam Jama'ie Bahagian Mukah untuk bertanding di Peringkat Negeri Sarawak juga telah bertolak ke Sibu. Kedua-dua pertandingan tersebut berlangsung pada hari yang sama iaitu pada hari Jumaat 3hb Oktober 2014.
Namun, nasib tidak menyebelahi kedua-dua pasukan daripada Bahagian Mukah pada tahun ini. Kedua-dua pasukan telah berjaya menduduki tempat ke-4 daripada beberapa bahagian-bahagian yang lain.
Terima kasih buat guru-guru yang telah bertungkus-lumus dan mengorbankan banyak masa dan tenaga dalam melatih pasukan Action Song serta Kalam Jama'ie sehingga berjaya ke peringkat negeri ini. Tahniah atas pencapaian yang membanggakan pada tahun ini. Mudah-mudahan kita berjaya lagi pada tahun hadapan. InsyaAllah.
Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Karnival Bahasa Malaysia
Pada 27hb hingga 31hb Oktober yang lalu, bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik telah diadakanSambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Karnival Bahasa Malaysia Peringkat Sekolah Kebangsaan Mukah. Pelbagai pertandingan telah dianjurkan oleh Panitia Bahasa Malaysia yang dipimpin oleh Cikgu Zubaidah. Semua pertandingan tersebut terbuka kepada murid-murid dari prasekolah hingga Tahun 6. Semua pertandingan diadakan pada waktu petang dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Antara pertandingan yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang minggu tersebut ialah :
Pertandingan Bercerita
Pertandingan Pidato
Pertandingan Mewarna
Kuiz Bahasa Malaysia
Pertandingan Tulisan "Tercantik"
Turut hadir menyaksikan pertandingan setiap petang ialah para ibu bapa murid-murid yang mengambil bahagian. Keputusan untuk para pemenang pertandingan akan diumumkan dalam perhimpunan pada minggu hadapan.Tahniah buat semua guru yang terlibat khususnya guru-guru daripada Panitia Bahasa Malaysia kerana telah melaksanakanSambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Karnival Bahasa Malaysia dengan jayanya.