Download - Assg Budaya ppg

Transcript

1.0.PENDAHULUANBudaya yang dikonsepsikan oleh orang ramai selalunya meliputi hal-hal mengenai kesenian. Sedangkan pengertian budaya dalam pengajian anthropologi adalah suatu jalinan yang kompleks. Perlakuan manusia yang dipelajari (learned behaviour) adalah menjadi asas kepada pertumbuhan budaya. Perlakuan-perlakuan manusia yang diterima dari proses pembelajaran terjalin dalam suatu sistem yang tersusun rapi, iaitu merupakan budaya. Definisi budaya itu berbagai-bagai sebagaimana yang diberikan oleh sarjana-sarjana anthropologi budaya. A.L. Kroeber dan C. Kluckhohn pernah mengumpul sehingga 160 definisi budaya yang telah digunakan oleh sarjana-sarjana. Kemudian mereka menganalisis dan membuat kesimpulan.Dalam bahasa Melayu budaya itu berasal daripada perkataan budi, iaitu kata Sanskrit yang bermaksud akal. Budaya itu ialah perlakuan-perlakuan manusia yang berkaitan dengan akal fikiran. Dalam intepretasi lain difahamkan bahawa budaya itu daripada rangkaian daya dan budi yang dapat dikatakan segala yang berupa cipta, rasa dan penggunaan fikiran manusia. Kebudayaan itu bermaksud segala hasil dari ciptaan itu. Budaya adalah kata singkat daripada kebudayaan.Adakala budaya itu didapati sama ertinya dengan peradaban, tetapi peradaban itu adalah sebahagian daripada budaya. Dalam budaya itu terdapat berbagai-bagai jalinan unsur, ada unsur yang amat besar dan ada unsur kecil. Unsur-unsur budaya itu dapat dikelasifikasikan kepada beberapa bahagian yang penting bagi memudahkan perbincangan akademik. Sebenarnya unsur-unsur itu saling berkaitan antara satu sama lain. Dan selalunya unsur-unsur itu bertindih sesama sendiri.

2.0.KONSEP BUDAYABudaya biasanya dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti yang ada dalam persekitaran manusia seperti kesenian, barangan, makanan, tarian dan sebagainya.Budaya juga diertikan sebagai, The way of life of a people, including their attitudes, values, beliefs, arts, sciences, modes of perception, and habits of thought and activity. Cultural features of forms of life are learned but are often toopervasive to be readily noticed from within.( Dictionary Of Philosophy, 1996 ).Di definisikan sebagai cara hidup yang diikuti oleh orang yang menjadi anggota kumpulan tertentu dan meliputi anasir sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap, nilai, peralatan budaya, atau apa-apa yang dihasilkan oleh mereka sebagai anggota masyarakat.( Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia, 2001).Kesimpulannya, budaya itu dari sudut bahasanya membawa makna cara hidup manusia,manakala sudut istilah pula menyatakan bahawa budaya itu ialah cara hidup orang ramai termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat berfikir serta cara perlakuan manusia yang menggerakkan jiwa. Budaya boleh dibahagikan kepada dua jenis besar iaitu : budaya kebendaan budaya bukan kebendaan Budaya kebendaan Ialah peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, kereta, perahu, senjatadan sebagainya, Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang berbeza dengan orang Inggeris atau orang Eskimo.Budaya bukan kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Contohnya, setiap masyarakat mempunyai adat istiadat yang berbeza-beza dalam menjalani kehidupan seperti perkahwinan masyarakat Melayu yang mana pihak lelaki yang memberi hantaran kepada pihak perempuan manakala, bagi masyarakat India, hantaran(dowri) perkahwinan diberi oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki.Kebudayaan adalah satu cara hidup yang dikembangkan oleh sesuatu masyarakat untuk memenuhi keperluan asasinya untuk terus hidup, meneruskan zuriatnya dan mengatur pengalaman sosialnya. Menurut definisi sosiologi, kebudayaan ialah cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama. Kebudayaan biasanya dikatakan sebagai benda-benda seperti lukisan, kesusasteraan, muzik dan falsafah. Kebudayaan bukan sahaja merupakan perkara yang seni dalam hidup, tetapi juga apa sahaja yang terdapat di persekitaran manusia yang dibuat oleh manusia. Perkataan budaya berasal dari akar kata yang tersusun daripada dua perkataan yang terpisah iaitu budi dan daya. Kalimah budi bererti cahaya atau sinar yang terletak di dalam batin manusia. Perkataan daya bertalian dengan upaya iaitu usaha, keaktifan manusia melaksanakan dengan anggotanya apa yang digerakkan oleh budinya. Perkataan budaya dalam bahasa Melayu yang berasal dari budi dan daya serta bahasa Arab al-thaqafah lebih menghampiri falsafah kebudayaan yang berhubung-kait dengan penjelmaan akal manusia. Begitu juga dalam penggunaan bahasa Inggerisnya, culture yang merujuk kepada hubung-kaitnya dengan aktiviti pertanian. Kemajuan dalam sektor pertanian pada zaman Renaisance menjadi titik tolak penggunaan istilah culture. Istilah kebudayaan merujuk dua proses utama, iaitu internal dan eksternal. Proses internal (dalaman) bersumberkan budi ataupun kecerdikan akal yang menjana proses eksternal yang berasaskan daya ataupun tenaga manusia sebagai momentum dalam mengatur urusan hidupan harian bermasyarakat. Istilah culture berasal dari perkataan Latin colere yang bermaksud menyedia dan mengerjakan tanah atau menanam. Orang Eropah memilih perkataan culture untuk menggambarkan pemikiran mereka di mana salah satu dari maknanya adalah berhubungan dengan kehidupan mereka yang sangat rapat dengan aktiviti pertanian (agriculture) pada masa tersebut. Justeru, sesiapa menyebut cultivated person merujuk seseorang yang mempunyai culture.

3.0.UNSUR-UNSUR YANG MEMBENTUK KEBUDAYAAN MELAYUBudaya tidak lahir secara langsung tetapi perlu dipelajari. Manusia perlu belajar untuk menguasai ilmu. Untuk mencipta sesuatu, manusia perlu belajar. Sebagai contoh untuk menunjukkan budaya itu dipelajari, kanak-kanak perlu diajar oleh ibubapanya untuk berbahasa dan berhubung. Dalam proses mempelajari, banyak unsur terlibat.Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu. Istilah Melayu merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik atau biologi), kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri genetik yang sama dan yang berasal dari alam Melayu.

Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu. Ia merangkumi subkeluarga seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu. Selepas kedatangan Islam bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa terpenting di dunia (Osman Bakar, Azizan Baharudin, dan Zaid Ahmad, 2009: 63-64). Masyarakat Melayu sudah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu. Selain daripada kemunculan unsur-unsur yang dibentuk sendiri dalam budaya Melayu, unsur-unsur baru juga diterima daripada interaksi dengan masyarakat luar. Perkembangan masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan kerajaan-kerajaan awal Melayu seperti Kerajaan Lembah Bujang (Kedah Tua), Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Kesultanan Johor dan seterusnya. Nilai-nilai masyarakat Melayu tergambar dalam setiap perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu. Kedatangan agama Hindu, Buddha dan Islam telah memantapkan lagi nilai-nilai yang sedia ada.

Bagi mengkaji nilai dalam budaya masyarakat Melayu, adalah penting untuk melihat secara ringkas pengaruh-pengaruh yang membentuk budaya masyarakat Melayu. Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah bertapak di dalam kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu. Pengaruh agama Hindu atau Buddha telah memberi kesan yang amat dalam dan kuat terutama sekali dalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu. Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan keseluruhan Pandangan Semesta Melayu. Pandangan dunia Melayu (Malay World view) dilihat dari pelbagai aspek iaitu merangkumi pandangan terhadap: (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 57) a) Alam nyata yang meliputi pandangan dan cerapan (persepsi) terhadap objek alam seperti laut, sungai, hutan dan gunung. b) Alam ghaib yang meliputi makhluk ghaib, alam selepas mati dan konsepsi kuasa atau tenaga dalam alam seperti semangat, nyawa dan roh. c) Sesama manusia yang meliputi pandangan terhadap orang lain dalam rangka hubungan kita-mereka (we-they)

Dalam budaya masyarakat Melayu, pelbagai upacara agama dilakukan yang menggambarkan interaksi manusia dengan kuasa ghaib. Penggunaan pelbagai lambang seperti bulan bintang juga melambangkan hubungan manusia dengan agama Islam. Cerita penglipur lara juga tidak hilang dalam budaya masyarakat Melayu. Amalan berpantun, pepatah, perbilangan dan sebagainya menggambarkan kebudayaan Melayu yang tinggi nilainya. Sebelum kedatangan agama Islam, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan animisme dan dinamisme. Animisme adalah percaya kepada setiap benda ada jiwa, roh dan semangat. Dinamisme pula, kepercayaan kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat dalam diri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan atau benda-benda yang boleh mendatangkan kesan baik dan buruk. Kedatangan Hindu atau Buddha telah menjadikan upacara keagamaan masyarakat Melayu lebih rapi dan formal. Kesan yang jelas sekali ialah pemisahan golongan raja, para bangsawan, golongan agama dan rakyat jelata. Dan ini telah menular dalam budaya masyarakat Melayu. Kedatangan agama Islam telah memberi jawapan terhadap kejadian alam, memantapkan keseluruhan pandangan semesta Melayu dan tertumpu kepada Tuhan (God-Centered) (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 60) Budaya masyarakat Melayu terbina dengan semulajadi sejak awal lagi. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh agama Hindu atau Buddha dan agama Islam telah mengukuhkan lagi sistem kepercayaan, kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu.

Pengaruh Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu Kedatangan Islam telah banyak mencorakkan suasana masyarakat Melayu. Kesan dan pengaruh kedatangan Islam dalam kebudayaan Melayu dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti, akidah, politik, sosial, undang-undang, ekonomi, kesenian, bahasa dan sastera serta pendidikan. Nilai-nilai keislaman dalam budaya Melayu amat jelas sekali. Agama Islam telah mengubah bentuk kepercayaan, corak hidup dan pandangan semesta masyarakat Melayu. Kepercayaan kepada dewa dan animisme bertukar keada kepercayaan kepada Allah S.W.T dan rasul-Nya. Walaupun Islam telah bertapak kuat alam kehidupan masyarakat Melayu, ini tidak bermakna kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha berjaya dikikis sepenuhnya daripada kehidupan masyarakat Melayu. Masih terdapat banyak petunjuk yang menggambarkan masyarakat Melayu terpengaruh dengan unsur-unsur sebelum kedatangan Islam.

Sosialisasi merujuk kepada proses mempelajari aspek-aspek kemasyarakatan atau perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat supaya seseorang itu dapat berfungsi dalam masyarakatnya. Pembudayaan (enculturation) merujuk kepada proses penerapan unsur-unsur budaya supaya seseorang bertindak dalam lingkungan peraturan, norma dan nilai masyarakatnya. (Nadiah bt Abdul Rahman dan Priscilla law Nguik Hung, 2008:70). Kedua-duanya bertujuan mengekalkan kesinambungan budaya Melayu. Keutamaan orang Melayu dalam proses sosialisasi dan pembudayaan ialah pembentukan jati-diri serta peribadi Melayu yang baik, berakhlak dan berbudi. Proses ini telah menanam nilai budaya yang kuat dalam masyarakat Melayu.

Difusi bermakna proses penyebaran unsur-unsur budaya daripada seorang individu kepada seorang individu lain, atau dari satu masyarakat kepada satu masyarakat lain. Proses penyebaran unsur-unsur budaya dalam masyarakat yang sama disebut difusi dalam masyarakat yang sama (intra-society diffusion) dan proses difusi antara masyarakat itu ialah inter-society diffusion. Intra-society diffusion selalunya merupakan penyebaran dan peresapan unsur-unsur budaya baru yang ditemui dari proses inovasi dan penciptaan.

Dalam anthropologi proses difusi budaya itu dimaksudkan penyebaran dan peresapan unsur-unsur budaya daripada satu masyarakat kepada satu masyarakat lain. Proses ini berlaku mungkin secara dibawa oleh orang-orang yang berpindah, iaitu proses migrasi, terutama dalam zaman pra-sejarah yang kerapkali berlaku migrasi kelompok-kelompok tertentu.

Difusi budaya boleh berlaku kerana kedatangan individu-individu dari luar, seperti pengembara, pedagang, pelaut dan sebagainya. Misalnya, dalam perkembangan unsur-unsur budaya Hindu ke Tanah Melayu ketika itu banyak memberi kesan kepada budaya melayu terutama dalam perkahwinan seperti berinai, bersanding. Begitu juga dalam kepercayaan orang melayu yang banyak dipengaruhi oleh kedatangan Hindu ke Tanah Melayu.Kini proses difusi tersangat cepat berlaku kerana terdapat berbagai-bagai kemudahan sistem komunikasi yang tersebar luas, seperti radio, tv dan filem.

Proses asimilasi pula berlaku dalam kelompok-kelompok yang budaya berbeza, mereka saling bergaul antara satu sama lain, dalam masa yang lama sehingga budaya-budaya dari kelompok-kelompok itu berubah saing menyesuaikan menjadi satu. Dalam komuniti Cina dan Siam di Kelantan mengalami proses asimilasi dengan budaya orang Melayu. Proses ini berlaku apabila terdapat pergaulan secara intensif dan luas dalam jangka masa yang lama. Kelompok-kelompok itu mesti mempunyai sikap toleransi dan simpati antara satu sama lain. Antara penghalang dalam proses ini ialah bila terdapat perasaan superioriti pada individu dalam budaya tertentu terhadap budaya yang dihadapinya, dan sifat takut kepada kekuatan budaya lain.

Proses akulturasi berlaku bila budaya tempatan bertembung dengan budaya asing, dan kemudian berlaku proses penerimaan budaya asing sesuai dengan kehendak-kehendak tempatan sehingga tidak menghilangkan identiti budaya sendiri. Contohnya dari segi pakaian, pengaruh barat jelas mempungaruhi masyrakat melayu waktu itu apabila kaum lelaki lebih selesa memakai pakaian barat seperti kot dan tie dalam menghadiri majlis rasmi berbanding memakai pakaian tradisional iaitu baju melayu. Proses ini berlaku kepada budaya Melayu sejak dulu kala, melampaui batas-batas tempatan. Proses ini berlaku oleh kerana adanya migrasi, pertembungan secara individu dengan budaya asing. Penerimaan unsur-unsur budaya asing itu tidak pula bertentangan dengan kehendak-kehendak budaya sendiri. Proses ini amat pesat berlaku apabila berlaku campur tangan kolonial Barat di negara-negara yang mundur.

Bersama dengan penyebaran agama-agama besar di dunia ini juga bermakna penyebaran budaya melalui proses akulturasi ini berlaku secara berleluasa. Pertembungan budaya-budaya Afrika, Asia, Oceania, Amerika Utara dengan Ero-Amerika menjadikan proses akulturasi itu pesat sekali berlaku dalam abad ke-20.

Dalam pengajian anthropologi budaya, tumpuan kepada penyelidikan proses akulturasi ini semakin diminati dan berkembang luas. Berbagai-bagai method dan pendekatan penyelidikan tentang ini telah dilakukan oleh sarjana-sarjana. Dalam penyelidikan ini memerlukan pengetahuan yang luas kerana ia melibatkan usaha perbandingan antara satu budaya dengan satu budaya lain.

Unsur-unsur budaya asing yang mudah diterima ialah yang bercorak atau bersifat konkrit, seperti budaya kebendaan (material culture), dan unsur-unsur budaya yang mempunyai fungsi atau gunanya yang tinggi kepada budaya yang menerima. Sesuatu unsur budaya yang diterima itu adalah yang mudah disesuaikan dengan keadaan masyarakat yang menerima. Unsur-unsur yang tidak sesuai dan dianggap sukar adalah lambat diterima.

Unsur-unsur budaya yang sukar diganti ialah unsur-unsur budaya yang sudah meluas dalam masyarakat dan diamalkan secara turun temurun, seperti sistem kekerabatan. Kedua, unsur-unsur budaya yang dialami dalam proses sosialisasi pada peringkat awal juga sukar digantikan, seperti makanan. Makanan itu adalah sukar diubah. Ketiga, unsur yang melibatkan agama dan kepercayaan juga adalah sukar diganti dan diubah. Begitu juga ritual yang berkaitan dengan hal ini.Individu yang dikatakan moden, maju dan progresif lebih mudah menerima unsur-unsur budaya asing berbanding dengan individu kolot atau kampungan. Proses urbanisasi juga memainkan peranan penting dalam menentukan pesatnya proses penerimaan. Pendidikan juga menjadi ukuran dalam menentukan mudah atau tidak seorang individu itu menerima unsur-unsur budaya asing. Lagi satu faktor ialah umur, iaitu antara golongan tua dan golongan muda. Golongan muda itu mudah mengalami devian dan menerima unsur-unsur budaya asing berbanding dengan golongan tua yang lebih kuat pegangan kepada tradisi.

Rumusan

Apa yang dapat disimpulkan ialah segala unsur lama itu masih lagi dikekalkan dan tidak semua dihapuskan. Ini disebabkan walaupun dengan hadirnya pengaruh asing, unsur lama masih lagi boleh diterap atau digunakan dalam pengaruh itu dengan mencampur adukkan kebudayaan tersebut. Tidak mudah untuk masyarakat untuk menerima pengaruh luar tetapi kebudayaan-kebudayaan yang dibawa oleh pengaruh luar itu ada sedikit sebanyak persamaan dengan unsur asli. Maka dari sini perkembangan masyarakat, budaya asli boleh berkembang.

4.0.UNSUR-UNSUR BUDAYA DALAM FILEM MELAYU

Filem adalah medium paling efektif dalam usaha memaparkan unsur-unsur budaya dalam sesuatu masyarakat. Filem menjadi perakam penting untuk bercerita tentang dunia dan manusia sekaligus memaparkan cara hidup masyarakat yang digarapkan. Fenomena filem di Malaysia kini banyak mengalami perubahan berbanding filem-filem tahun 60an hingga 90an. Penggunaan teknik terkini yang canggih dapat menandingi filem dari luar negara. Namun begitu kebanyakan produser filem kini lebih menginginkan untuk mengaut keuntungan berbanding menghasilkan filem yang dapat mengangkat martabat budaya sesuatu masyarakat. Tidak banyak filem yang mementingkan keunikan budaya untuk disampaikan kepada penonton.

Filem Magika antara filem yang menarik minat saya untuk di analisis. Filem ini terhasil daripada himpunan cerita mitos, kepercayaan dan pantang larang yang menjadi pegangan masyarakat Melayu dahulu kala. Ia mengetengahkan keunikan budaya orang Melayu yang sarat dengan pengajaran dan mesej tersendiri dalam situasi lebih menghiburkan.

Sehingga ke hari ini, tiada penerbit filem yang mampu mengumpulkan budaya Melayu dalam bentuk hiburan muzikal yang istimewa. Ia meliputi skrip yang mudah, lakonan mantap dan jalan penceritaan yang jelas. Bagaimanapun dalam Magika, kelainan terletak pada penyampaian muzik yang dilampirkan bersama dialog. Setiap pelakon perlu menyanyi sambil melakonkan watak sendiri. Dicampur pula dengan elemen kemelayuan yang ada pada setiap plot cerita menjadikan Magika kelihatan begitu hebat. Apatah lagi dengan suntikan teknologi perfileman iaitu imej penjanaan komputer (CGI) menjadikan filem buah tangan KRU Studios Sdn. Bhd. (KRU Studios) benar-benar menakjubkan.

Secara keseluruhan, Magika yang penuh dengan elemen romantik, komedi dan kasih sayang memberi nafas baru buat industri perfileman tanah air yang dahagakan pembaharuan. Ini kerana selama ini kita dihidangkan dengan pelbagai genre yang tipikal tetapi Magika membuka mata tentang kebolehan anak Melayu menghasilkan filem setanding dengan filem antarabangsa. Pengarah dan penulis skrip, Edry Abdul Halim berjaya menterjemahkan pantang larang secara baik dan tersusun tanpa meniru sebarang filem dongeng klasik Barat seperti Alice in Wonderland atau Jumanji.

Memandangkan kebudayaan mencakupi segala bidang kehidupan manusia, maka analisis filem ini tutut membincangkan secara ringkas aspek sosial, masyarakat, kekeluargaan, adat dan istiadat, serta ekonomi. Aspek ini hampir menerangkan kebudayaan masyarakat Melayu yang terdapat dalam filem ini.

Filem Magika menceritakan tentang perbezaan dua alam iaitu alam dunia kini dan alam dunia magika yang dikelilingi dengan kisah-kisah dongeng masyarakat melayu. Dari segi budaya berpakaian kita dapat melihat perbezaan pakaian yang lebih moden kearah kebaratan dan pakaian tradisional masyarakat melayu zaman dahulu seperti baju kebaya, baju melayu, pakaian kaum bangsawan, pakaian puteri di istana dan pakaian masyarakat kebanyakan pada waktu itu. Ini menunjukkan perubahan cara berpakaian dalam masyarakat melayu seiring dengan perubahan masa. Ini jelas dapat dilihat pada pakaian yang dipakai oleh Ayu dan adiknya Malik berbeza dengan pakaian yang dipakai masyarakat zaman dahulu di Tanah Melayu. Ayu dan Malik berpakaian kearah kebaratan sesuai dengan budaya masa kini, manakala masyarakat di dunia magika lebih kepada pakaian tradisional masyarakat melayu. Contohnya seperti pakaian pahlawan-pahlawan seperti Awang dan Hang Tuah seperti dalam gambar di bawah.

Kaum wanita zaman itu juga berpakaian tradisional seperti kebaya dan baju kurung. Hiasan kepala sepeti selendang dan bersanggul. Kepala dihasi dengan bunga-bunga menjadi kebiasaan gadis-gadis melayu zaman tersebut.

Dalam masyarakat Melayu, nilai kekeluargaan amat penting. saling menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelas sekali berlaku. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding orang-orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman lain. Dalam konteks Islam, Baginda S.A.W. tidak mengiktiraf umat yang tidak menghormati orang yang tua dan menyayangi orang yang orang muda. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat sekeliling. Saling menghormati salah satu nilai budaya orang Melayu tidak memandang rendah kepada orang lain. Orang Melayu saling menghormati orang lain dan bersikap rendah diri. Orang Melayu digalakkan memberi penghormatan terlebih dahulu kepada orang lain. Orang yang tidak membalas penghormatan yang diberi akan dipandang rendah.

Filem Magika ini membawakan juga budaya menghormati orang yang lebih tua terutama ibu dan bapa. budaya kekeluargaan yang tipikal yang biasa kita lihat dalam masyarakat dulu dan kini. Budaya kekeluargaan yang erat dapat dilihat dalam kedua-dua alam. Alam dunia Ayu dan Malik yang baru kehilangan ibu mereka walaupun ada sedikit perselisihan faham antara mereka, namun hubungan darah antara mereka menjadikan Ayu tidak berputus asa mencari Malik yang telah hilang di hutan. Dalam filem ini juga ditonjolkan pengorbanan seorang ibu iaitu ibu kepada Ayu dan Malik yang sanggup menyerahkan buah pinggangnya untuk Malik yang sedang tenat walaupun tahu risiko yang bakal dihadapinya. Hubungan antara Bawang Merah dan Bawang Putih dalam alam Magika juga melihatkan hubungan kekeluargaan dalam masyarakat melayu. Tidak akan putus air yang dicincang, itu gambaran untuk budaya kekeluargaan yang di bawa dalam filem ini. Walaupun berlaku ketidakfahaman, pergaduhan, akhirnya mereka akan berbaik semula. Hubungan anak beranak antara Belalang dan bapanya walaupun sedikit haru biru dengan perangai Pak Belalang, namun kita dapat lihat sikap menghormati orang tua yang ingin disampaikan walaupun secara tidak langsung.

Dalam budaya masyarakat Melayu juga adalah satu perkara penting yang harus diketahui oleh masyarakat kini iaitu mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim. Ini dapat dilihat daripada amalan gelaran dalam keluarga seperti, datuk, nenek, along, angah, pak cik dan mak cik. Apa yang paling jelas sekali ialah cara bagaimana mengikat hubungan silaturahim orang Melayu. Dalam filem Magika, walaupun Malik ditangkap oleh Nenek Kebayan untuk dijadikan bahan untuk membuat ubat awet muda, namun Malik masih memanggil Nenek Kebayan sebagai makcik. Dia masih menghormati orang yang lebih tua darinya. Begitu juga dengan panggilan kakak kepada kakaknya Ayu. Walaupun mereka sering bertengkar, namun tidak sesekali dia memanggil panggilan lain kepada kakaknya.

Budaya meraikan tetamu merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melyu. Mengikut ajaran agama Islam, tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaik mungkin, malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya. Budaya ini juga diterapkan dalam filem ini yang dapat kita lihat dimana Badang menerima Ayu dan menolong Ayu untuk mencari adiknya yang hilang. Dia juga menolong Ayu mencari jalan pulang. Walaupun baru mengenali Ayu dan adiknya, Badang menerima mereka sebagai tetamu. Adegan dimana Badang menghulurkan makanan kepada Ayu dan adiknya jelas memaparkan budaya mendahulu dan meraikan tetamu. Begitu juga dengan adegan Badang menyediakan tempat tidur di rumah pokoknya kepada dua beradik tersebut.

Pendedahan dan penyesuaian masyarakat Melayu dengan budaya baru dari luar telah mengubah nilai budaya mereka. Namun bukan semua yang mengalami perubahan. Aspek kepercayaan animisme masih lagi dikekalkan. Animisme adalah percaya kepada setiap benda ada jiwa, roh dan semangat. Dinamisme pula, kepercayaan kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat dalam diri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan atau benda-benda yang boleh mendatangkan kesan baik dan buruk. Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada kepercayaan ini dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang-larang dan adat isitadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat sejak dahulu lagi dan mematuhinya. Contohnya, diawal babak dalam filem Magika yang mana nenek Ayu meminta Ayu segera mencari Malik yang merajuk lari ke dalam hutan kerana hari sudah senja. Jika tidak takut akan disorok bunian. Begitu juga dengan adegan dimana Malik ditegur oleh pokok kerana tidak meminta izin sebelum hendak membuang air. Kepercayaan ini masih di amalkan oleh sesetengah orang kerana percaya jika tidak meminta izin akan ditimpa bala bencana kerana dipercayai setiap benda mempunyai penunggu.

Budaya rasuah juga terdapat dalam filem ini walaupun tidak secara langsung. Ini menunjukkan budaya negatif ini telah lama bersarang dalam masyarakat walaupun situasinya tidak seserius mana. Adegan dalam filem ini yang menunjukkan budaya rasuah dimana Pak Pandir yang menerima duit syiling dari Ayu agar memberitahu Ayu dimana adiknya Malik berada. Walaupun ia dipaparkan sepintas lalu, namun menunjukkan rasuah tetap wujud walau di zaman manapun kita berada.

Secara keseluruhannya, filem ini boleh dikatakan sebuah filem yang berjaya menaikkan martabat perfileman negara yang sememangnya dahagakan filem yang memberi kelainan dari segi penceritaan dan isi kandungan. Matlamat utama Magika adalah untuk menjadikannya ia sebagai sebuah filem muzikal Malaysia yang kuat unsur-unsur Melayunya. Kerana itu, dalam filem ini penonton akan dapat melihat bagaimana pantang-larang yang menjadi amalan turun-temurun masyarakat Melayu ditonjolkan dalam filem ini tanpa perlu untuk mencedok mahupun mengikut acuan Barat kerana apa yang kita ada sudah cukup kuat untuk menzahirkannya ke bentuk filem. Filem ini juga sekali gus memberikan pendedahan kepada generasi muda yang mungkin tidak tahu tentang pantang-larang Melayu selain turut menyelitkan unsur kasih sayang dan kekeluargaan.

Penutup

Hasil kajian yang dibuat terhadap filem dapat saya katakan bahawa filem ini sedikit sebanyak memaparkan tentang realiti kehidupan masyarakat melayu hari ini. cerita-cerita mitos melayu yang cuba diketengahkan dan diubahsuai sesuai dengan masyarakat pada hari ini. Kajian budaya yang terdapat dalam filem ini diharapkan dapat memberi kesedaran tentang budaya masyarakat melayu yang ada diantaranya telah dilupakan dan tidak diamalkan. . Diharapkan dengan kajian ini juga dapat dijadikan sebagai salah satu usaha atau idea pengkaji untuk menjadikan industri perfileman ini sebagai industri yang mempunyai potensi yang besar agar dapat bersaing dengan dunia perfileman luar. Walaupun begitu, nilai-nilai dan budaya masyarakat tidak dilupakan supaya secara tidak langsung dapat menonjolkan budaya melayu di mata dunia.

.

5.0.REFLEKSIKerja Kursus BMM3142 Kebudayaan Melayu agak mencabar untuk saya siapkan kerana saya perlu membuat analisis tentang konsep dan unsur yang membentuk kebudayaan melayu selain menganalisis filem tempatan dari segi unsur-unsur budaya yang terdapat dalam filem ini. Namun begitu dengan penerangan yang jelas dari pensyarah En Ismail Bin Mohd Noh, dan juga bantuan rakan-rakan, Alhamdulillah akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan ini. Secara jujurnya saya akui tugasan ini agak menarik. Untuk tugasan yang pertama saya perlu mencari maklumat tentang konsep-konsep dan unsur-unsur yang membentuk kebudayaan melayu dan membuat analisis. Daripada tugasan ini saya dapat banyak maklumat dan pengetahuan tentang konsep dan unsur yang membentuk kebudayaan melayu. Secara umumnya, budaya boleh dimaksudkan dengan peradaban, tetapi peradaban itu juga adalah sebahagian daripada budaya. Dalam budaya itu terdapat berbagai-bagai jalinan unsur, ada unsur yang amat besar dan ada unsur kecil dan ianya saling berkaitan antara satu sama lain.

Dengan kajian terhadap konsep dan unsur membentuk kebudayaan melayu ini banyak memberi pengetahuan kepada saya agar lebih memahami konsep budaya melayu dan memudahkan saya untuk membuat tugasan kedua iaitu menganalisa unsur-unsur budaya melayu dalam filem. Saya memilih filem muzikal Magika arahan Edry KRU. Filem yang ditayangkan pada 2010 menjadi filem hits pada tahun tersebut dengan pelbagai kelainan berbanding filem lain. Penggunaan teknik CGI menjadikan filem ini menarik dan tidak jemu untuk ditonton.

Filem Magika boleh dikatakan filem yang mempunyai unsur-unsur Melayu yang kuat. Kerana itu, dalam filem ini penonton akan dapat melihat bagaimana pantang-larang yang menjadi amalan turun-temurun masyarakat Melayu ditonjolkan dalam filem ini. Filem ini boleh dikatakan satu usaha yang murni untuk memperkenalkan kembali budaya melayu yang semakin dilupakan oleh generasi hari ini. Filem ini banyak memberi pendedahan kepada generasi muda yang mungkin tidak tahu tentang pantang-larang Melayu. Selain itu, budaya berkeluarga dalam masyarakat Melayu juga dipaparkan dalam filem ini, kasih sayang, menghormati orang yang lebih tua, meraikan tetamu, dan budaya berpakaian masyarakat Melayu zaman dahulu juga digambarkan dalam filem ini. Ianya menjadikan filem ini sebuah filem yang menarik untuk dikaji.

Walaupun dengan kekangan masa dan tugas, ditambah lagi dengan kerja kursus bagi subjek lain juga yang perlu disiapkan, dan juga kesukaran untuk memahami dan memenuhi kehendak tugasan, dapat juga akhirnya saya menyiapkan kerja kursus ini. Akhir kata, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya pensyarah, serta rakan-rakan seperjuangan yang tidak jemu mencurahkan ilmu dan bimbingan dalam menjayakan kerja kursus ini.

Sekian, terima kasih.

Wan Norazlina Mohamad SallehBM2 / PPG Kohort 2

RUJUKAN

A.Aziz Deraman. (2005). Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Warisan Malaysia.

Ahmad Zaki Abd. Latif et al. (2009). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Oxford Fajar.

Anwar Ridhwan. (2005). Minda Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Azhar Hj. Mad. Aros. (2004). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Kertas 1 dan 2. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Universiti Putra Malaysia. Serdang.

Dr. Zaid Ahmad et al. (2006). Hubungan Etnik Di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.

Haron Daud. (1989). Sejarah Melayu, Satu Kajian Daripada Aspek Persejarahan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ishak Bin Saat. (2006). Sejarah Sosiobudaya Melayu. Karisma Publications Sdn. Bhd. Shah Alam.

Mohd Aris Haji Othman. (1985). Identiti Etnik Melayu, Siri Kemasyarakatan Fajar Bakti. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya.

18


Top Related